Carian

Sejarah Parti

Sejarah Parti

Primary Item (H2)

SEJARAH PARTI

- Dr.Syed Husin Ali

  1. Teras utama dasar perjuangan Parti terletak pada namanya, iaitu  Keadilan Rakyat. Konsep Keadilan bukannya baru. Ia sudah lama  wujud dan mempunyai asas pada (a) ajaran agama, (b) leluhur dan  legenda, dan (c) sejarah bangsa dan kemanusiaan.
  2. Semua agama besar tegas mengajar dan mengutamakan nilai  tentang Keadilan. Bagi Islam, terdapat banyak ayat dalam Al Quran berhubung dengannya. Misalnya, “InnalLaha ya’murukum  bil adl wal ihsan”. Nabi Musa menentang kuasa Firaun lambang  keangkuhan, yang disokong Qarun penindas (ekonomi) dan Haman  (kepercayaan), demi keadilan dan kebebasan. Mereka yang berniaga  disuruh adil dalam timbangan mereka.
  3. Antara legenda Melayu yang penting ialah pertarungan antara  Hang Tuah dengan Hang Jebat yang juga menetapkan asas siasah  pemerintahan adil ditaati (sembah); pemerintah (Raja) zalim  disanggah. Jebat dilambangkan sebagai seorang pahlawan yang  mahu memperjuangkan keadilan bagi sahabatnya Tuah, yang  dilihatnya sebagai dizalimi raja. Malangnya, bila mendapat kuasa,  Jebat menjadi curang dan korup. Itu salah satu sebab dia kecundang.
  4. Dalam sejarah manusia berulang kali terdapat contoh golongan  rakyat tertindas berjuang untuk menegakkan keadilan serta kebebasan. Hamba berontak melawan tuan, rakyat jelata bangkit  menentang Raja, pekerja bangun mencabar pemodal dan rakyat  berjuang menghalau penjajahan. Kesemuanya mahukan keadilan  dan pembebasan dalam pelbagai bidang.

Zaman Penjajahan 

  1. Di bawah penjajahan, negara ditekan dan rakyat ditindas. Kekayaan  negara diangkut keluar untuk membangun ekonomi penjajah dan  tidak digunakan untuk faedah dan kesejahteraan rakyat. Nasib  rakyat tidak dipedulikan. Keadaan sosio-ekonomi rakyat terbiar  dan terletak jauh lebih rendah daripada golongan penjajah yang  berkuasa. Hanya segolongan kecil elit yang bekerjasama dengan  penjajah yang diberikan sedikit keistimewaan.
  2. Dalam abad ke-20 rakyat yang terjajah di seluruh dunia bangkit  untuk memerdekakan negara dan membebaskan bangsa. Di negara  ini mula-mula sekali badan-badan seperti Parti Kebangsaan Melayu  Malaya (PKMM), yang dipimpin oleh Dr Burhanuddin Helmi dan  kemudian Ishak Hj Muhamad (Pak Sako), serta sayap pemudanya,  Angkatan Pemuda Insaf (API) pimpinan Ahmad Boestamam dan  sayap wanitanya Angkatan Wanita Sedar (AWAS pimpinan Shamsiah  Fakeh), Hizbul Muslimin yang dipimpin oleh Ustaz Abu Bakar  Bakir. Parti Komunis Malaya (dengan Chin Peng sebagai Setiausaha  Agungnya) berganding bersama persatuan-persatuan pekerja untuk  berjuang menegakkan kemerdekaan dan pembebasan.
  3. Dalam pada itu beberapa pertubuhan politik dan bukan politik telah  menubuhkan sebuah gabungan pelbagai kaum bernama PUTERA AMCJA untuk mencapai tujuan ini. Gabungan PUTERA (terdiri dari pertubuhan-pertubuhan Melayu) dan AMCJA (All-Malaya  Council of Joint Action), (terdiri daripada pertubuhan bukan  Melayu) sangat digeruni oleh penjajah. Ia merupakan gabungan  bukan-perkauman yang bersatu tenaga untuk mencapai satu tujuan  menghalau penjajahan dan mendirikan negara bebas serta adil.  Gabungan ini diketuai oleh Dr Burhanuddin Helmy dan Tan Cheng  Lok (kemudian bergelar Sir).
  4. Berikutan penjajah British mengisytiharkan undang-undang  Darurat pada bulan Jun 1948, parti-parti serta pertubuhan progresif  yang memperjuangkan kemerdekaan tulen untuk negara ini telah  diharamkan. PUTERA-AMCJA turut ditutup. Berpuluh ribu  pemimpin serta anggota semua pertubuhan yang merupakan  gerakan raksasa rakyat menuntut kemerdekaan itu ditahan tanpa  dibicarakan. Banyak kampung Melayu yang dianggap menyokong  pejuang-pejuang kemerdekaan dan kediaman Cina yang dituduh  membantu komunis dipindahkan secara paksa.

Zaman Merdeka 

  1. Buat seketika, wujud satu kekosongan politik dan perjuangan  kemerdekaan dilemahkan. Dalam keadaan tersebut, penjajah British  telah menggalakkan beberapa orang pegawai kerajaan Melayu  terutama dari golongan bangsawan untuk membentuk UMNO.  United Malay National Organisation, yang nama asalnya Pertubuhan  Kebangsaan Melayu Bersatu (Pekembar) disokong serta digalak  oleh penjajah untuk mengisi kekosongan dan menjadi pengganti  yang dipilih untuk menjuarai usaha menuntut kemerdekaan.
  2. UMNO berjaya menonjolkan dirinya sebagai pembela orang1Melayu dan institusi raja, dengan memimpin penentangan terhadap  rancangan Malayan Union anjuran penjajah Inggeris yang dibawa  oleh McMichael. Mula-mula slogan perjuangan UMNO ialah  “Hidup Melayu” dan hanya kemudian bertukar kepada “Merdeka”.  Perbezaan dasar mengenai kewarganegaraan menyebabkan Dato  onn meninggalkan UMNO. Perjuangan kemerdekaan yang dibawa  UMNO diterima oleh kuasa penjajah. Akhirnya British bersetuju  menganugerhkan kemerdekaan kepada Tengku Abdul Rahman,  pemimpin UMNO dan PERIKATAN, iaitu gabungan UMNO  berserta MCA dan MIC.
  3. PERIKATAN ditubuhkan hasil gesaan dari Jabatan Jajahan Britih  (Colonial Office) agar UMNO membuktikan kerjasama antara kaum  sebelum kemerdekaan boleh diberi. Sebelum Merdeka mula-mula  terjalin kerjasama antara UMNO, MCA dan MIC untuk bertanding  dalam pilihanraya munisipaliti Kuala Lumpur. Ini membawa kepada  pembenukan Perikatan, yang telah memenangi pilihanrya pertama  pada tahun 1955. Akhirnya Malaya mencapai kemerdekaan pada 31  Ogos 1957 di bawah anjuran Perikatan. Pada 16 September 1965,  selepas Konfrontasi dari Indonesia, Malaysia ditubuhkan dengan  gabungan Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak.
  4. Walaupun Perisytiharan Kemerdekaan yang dibaca oleh Tunku Abdul  Rahman menyebut tentang membina keadilan serta kesejahteraan  untuk rakyat, namun ini tidak dilaksanakan. Perikatan menerima  kemerdekaan dengan mewarisi dan melaksana kebanyakan sistem  dan polisi yang dijalankan oleh penjajah. Umpamanya, dari segi  ekonomi diteruskan dasar pasaran bebas atau kapitalis yang tidak  membela rakyat sepenuhnya. Dari segi pertahanan, negara masih  terikat dan bergantung kepada kuasa-kuasa Anglo-Amerika  termasuk perjanjian pertahanan dengan Australia dan New Zealand. Dari segi keselamatan diteruskan undang-undang darurat  dan diperkenalkan pula ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) dan  Akta Hasutan yang zalim.
  5. Tidak dinafikan ada percubaan untuk membawa pembangunan  kepada kawasan dan penduduk kampung melalui rancangan Buku  Hijau ciptaan PM Abdul Razak Hussein. Akan tetapi ia tidak begitu  berjaya mengurangkan jurang sosio-ekonomi yang bertambah  melebar di antara golongan miskin dengan golongan kaya dan  di antara kawasan kampung dengan kawasan bandar. Dasar  Ekonomi Baru (DEB), diperkenalkan selepas Peristiwa 13 Mei  1969 yang berdarah, untuk memperbaiki ekonomi orang Melayu  dan Bumiputera yang susah lebih berjaya diperalat oleh segelintir  pemimpin untuk memperkayakan diri sendiri serta kroni mereka.  Hal ini ketara sekali berlaku di bawah pemerintahan yang diterajui  Dr Mahathir Mohamad selama 22 tahun.
  6. Pada tahun 1997, dalam suasana krisis ekonomi yang melanda  negara (dan rantau ini), berlaku kemelut dalam politik pemerintah.  PM Mahathir termakan fitnah terhadap Timbalannya dan dengan  kezaliman Firauni memecat Anwar Ibrahim dan mengaibkannya  serta anak isterinya. Mahathir menggunakan kuasa sepenuhpenuhnya dengan memperalatkan institusi-institusi utama seperti  polis, mahkamah dan media. Sebahagian besar rakyat marah kerana  merasakan ketidakadilan telah berlaku. Mereka bangkit melalui  pilihanraya dan jalanraya untuk menegakkan keadilan.
  7. Gerakan Reformasi, yang dimulakan Anwar sebelum dipenjara,1melalui rapat-rapat raksaksa yang mendapat sokong besar dari  rakyat, berkembang luas selepas itu. Gerakan ini bukan semata mata bertujuan untuk membebaskan Anwar saja, walaupun  sering penjurusannya ke sana. Perjuangan serta matlamat gerakan  Reformasi yang lebih luas terbukti dan dihuraikan dalam Deklarasi  Permatang Pauh.
  8. Semasa gelombang Reformasi inilah timbul idea menubuhkan  ADIL sebagai sebuah NGO. Oleh kerana tuntutan keadaan dan juga  kesedaran rakyat, ADIL kemudian dikembangkan menjadi sebuah  parti politik, Parti Keadilan Nasional (keADILan). Parti ini dipimpin  oleh Dr Wan Azizah Ismail dan mendukung semangat deklarasi itu.  Ia mengemukakan dasar serta agenda agak luas walaupun kelihatan  juga unsur mengutamakan tuntutan keadilan dan pembebasan  untuk Anwar.
  9. Sehingga sekarang persepsi yang timbul di kalangan sebahagian  orang ramai dan juga di antara sebilangan kecil aktivis parti  serta reformis ialah matlamat keADILan cuma untuk menuntut  kebebasan Anwar. Persepsi ini sengaja diperkukuh serta disebar luas  oleh propaganda pemerinah melalui media yang mereka miliki dan  kuasai. Mereka menuduh dan mahu rakyat percaya keADILan tidak  mempunyai matlamat selain itu. Ini tidak benar.
  10. Sebenarnya, bagi keADILan waktu itu, Awar melambangkan  kezaliman yang dilakukan ke atas seorang pemimpin yang dihormati.  Segala alat pemerintah, terutama mahkamah, polis dan media  digunakan untuk memburuk dan mencederakan beliau. Jika ini  boleh berlaku kepada pemimpin seperti Anwar, sudah tentu mudah  saja ia boleh dikenakan ke atas rakyat biasa. Bahkan memang ramai  rakyat yang sudah dizalimi.
  11. Mereka ditekan oleh pelbagai kuasa dan undang-undang zalim,  terutama ISA. Mereka difitnah sebagai pro-komunislah, pro-Islam  extremislah, mengancam keselamatanlah, mahu menggulingkan  kerajaanlah dan macam-macam lagi. Semua tuduhan tidak  dibuktikan dan semua yang ditahan tidak dibawa ke mahkamah.  Fitnah pemerintah disambut dengan keganasan polis, pembohongan  media dan mahkamah berat sebelah.
  12. Oleh itu, Anwar menjadi lambang mangsa kezaliman pemerintah.  Perjuangan untuk membebaskan Anwar menjadi lambang  perjuangan untuk membebaskan tahanan politik, dan membebaskan  mahkamah, polis dan media daripada dikongkong dan diperalatkan  oleh pemerintah yang zalim. Maka itulah reformasi atau perubahan  dalam pelbagai bidang diperlukan. Inilah yang menjadi antara dasar  perjuangan Keadilan Nasional, sesuai dengan Deklarasi Permatang  Pauh.
  13. Sebelum pilihanraya umum 1999, keADILan, PAS, DAP dan  PRM telah menjana sebuah gabungan yang diberi nama Barisan  Alternatif (BA). BA telah mengeluarkan sebuah Manifesto Bersama  yang lengkap serta terperinci. Gabungan ini serta manifesto ini  membuktikan dasar serta visi keADILan yang lebih luas bersama  parti-parti bukan pemeritah yang lain. Dengan sokongan meluas  dari pengundi Melayu, BA telah mendapat kemenangan agak besar.  Kemenangan ini tentu akan lebih besar sekiranya pengundi bukan  Melayu tidak beralih kepada UMNO-BN.

DASAR KEADILAN 

Pada 3 Ogos 2003, percantuman di antara Parti Keadilan Nasional  (keADILan) dengan Parti Rakyat Malaysia (PRM) diisytiharkan.  Percantuman ini disokong dengan majoriti melebihi 2/3 oleh  Mesyuarat Agung keADILan dan Kongres PRM sebelumnya. Akan  tetapi ada percubaan pihak pemerintah untuk melengah-lengahkan  pengiktirafan keputusan ini. Oleh itu kedua-dua parti mendakwa  Pendaftar Pertubuhan (ROS) di mahkamah. Akhirnya, Mahkamah  Tinggi Shah Alam mengeluarkan perintah supaya percantuman  keADILan dengan PRM dibenarkan untuk membentuk Parti  Keadilan Rakyat (KEADILAN).

  1. PRM sudah wujud lebih lama dan mempuyai sejarah serta tradisi  berlainan sedikit dari keADILan. Ia ditubuhkan pada tahun 1955,  di penghujung zaman penjajahan dan mewarisi perjuangan Parti  Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM). PKMM diharam pemerintah  dan ramai pemimpinnya ditahan di bawah undang-undang Darurat.  Ahmad Boestamam yang memimpin API, sayap pemuda PKMM  dan pernah ditahan oleh British, menjadi Ketua Umum PRM.
  2. Berikutan keputusan Kongresnya pada tahun 2002 PRM, disetujui  oleh lebih dua pertiga perwakilan yang hadir untuk ditutup.  Akan tetapi dengan tindakan ROS kemudiannya membenarkan  PRM boleh terus wujud, sebilangan kecil ahli jawatankuasa yang sudah memasuki dan memegang jawatan dalam Jawatankuasa  Peralihan KEADILAN telah keluar dan meneruskan serpihan  itu. Perkembangan selanjutnya membuktikan mereka ini jelas  menjalankan aktiviti yang secara objektif dapat dilihat sebagai  menjadi alat kepada pimpinan parti-parti musuh yang hendak  menimbulkan masalah kepada KEADILAN.
  3. PRM yang asal (bukan seperti serpihan sekarng) wujud sebagai  parti pelbagai kaum. Intisari dasarnya dari mula ialah untuk  menegakkan kemerdekaan dan keadilan sosial yang tulen. Orientasi  asalnya menjurus kepada golongan bawahan tertindas digelar  Marhein. Peredaran masa dan transformasi masyarakat membawa  perubahan dan meluaskan lagi dasar serta orientasinya. Dasar  PRM untuk menegakkan keadilan, demokrasi dan perubahan  progresif dalam sistem serta institusi pemerintahan dan masyarakat  mendekatkannya dengan dasar keADILan.
  4. Melalui PRM, KEADILAN mewarisi dasar perjuangan lampau yang  bersejarah. Melalui keADILan pula, KEADILAN mengintegrasikan  idealisme serta pengalaman menghadapi cabaran baru dalam  suasana yang sudah berubah. Tidak banyak masalah dihadapi  untuk memadukan dasar perjuangan kedua-dua parti. Malah  gabungan kedua parti dianggap mantap kerana melalui PRM,  diwarisi kekentalan semangat, walaupun dilanda badai dan tekanan,  sementara KEADILAN menampilkan kekuatan dan semangat baru  Reformasi terutama di kalangan muda. Akhirnya diterima motto  dan dasar perjuangan bagi KEADILAN seperti termaktub dalam  Perlembagaan Parti. Walaupun Perlembagaan ini telah dipinda dari  segi organisasi Parti, namun asas atau dasar perjuangannya tetap  utuh dan tidak berubah.
  5. Motto atau cogankata perjuangan Parti, seperti tercatat dalam  Fasal 3 Perlembagan Parti, ialah “Keadilan Untuk Semua”. (Motto  ini tidak mahu diterima oleh ROS; mereka mahu KEADILAN  menukar perkataan Keadilan kepada Kesaksamaan). Keadilan yang  hendak kita janjikan dan pastikan adalah menyeluruh, dengan  tidak mengira perbezaan kaum, kelas, gender, kawasan kediaman  dan lain-lain. Keadilan yang dimaksudkan tidak terbatas kepada  mahkamah dan undang-undang saja. Ia merangkum juga keadilan  untuk mendapatkan peluang ekonomi, hak politik dan kemudahan  sosial - pelajaran, kesihatan, perumahan dan sebagainya.
  6. Dasar Parti pula termaktub dalam Fasal 5 di bawah tajuk “Tujuan  dan Matlamat Perjuangan”. Ia mengandungi 17 perkara. Yang  pertama dan terpenting ialah: “Mewujudkan masyarakat adil dan  negara demokratik yang progresif serta bersatu”. Perincian tentang  segala unsur yang hendak diwujudkan dalam masyarakat dan negara  terkandung dalam 16 perkara yang lain. Ini meliputi, kedudukan  raja, kedaulatan undang-undang, kebebasaan asasi, kedudukan  agama, soal bahasa, sistem persekutuan, kemuliaan insan, sistem  ekonomi, kedudukan istimewa Melayu, kemudahan sosial, jaminan  pekerja, martabat wanita, hak belia, nasib Orang Asal, alam sekitar  dan hubungan antarabangsa.
  7. Moto serta tujuan dan matlamat perjuangan KEADILAN merupakan  panduan kepada Parti dan semua anggotanya. Inilah visi dan misi  Parti. Setiap anggota Parti harus memahami, mengingati, dan  menghadamnya. Sdr Anwar adalah jurubicara dan penjelma dasar  perjuangan Parti, terutama dalam memenghuraikan isu-isu penting.  Oleh itu, ucapan-ucapan beliau hendaklah kita jadikan bahan kajian  dan panduan juga.
  8. Setiap anggota Parti, terutama sekali pimpinan, perlu mengetahui,  mengkaji, memahami dan menghayati 17 Perkara dalam  Perlembagaan Parti yang menjadi dasar perjuangan kita bersama.  Selain itu kita harus juga berbuat yang sama terhadap Deklarasi  Permatang Pauh dan ucapan-ucapan serta kenyataan-kenyataan  penting pemimpin utama Parti. Dasar perjuangan Parti, bersama  yang lain itu meletakkan dasar dan garis panduan bagi kita bergerak  membuat perubahan menuju pembinaan masyarakat adil dan  negara demokratik yang progresif serta bersatu.
  9. Selepas kemenangan agak besar parti-parti pembangkang dalam  pilihanraya ke-12 pada 8 Mac 2008, mereka mewujudkan gabungan  bernama PAKATAN RAKYAT. Para pemimpin UMNO-BN mula  meniup api kaum dan agama yang sempit untuk mendapatkan  sokongan orang Melayu. Mereka menggunakan media pengampu  untuk menghebahkan kononnya parti-parti dalam PAKATAN anti Melayu. Ia memburuhkkan semua pemimpin utama tiap-tiap Parti.  Dalam satu Konvensyen yang dihadiri oleh 1500 orang wakil (500  dari tiap-tiap Parti dalam PAKATAN), satu Dasar Bersama telah  disetujui. Dasar ini diasaskan kepada keadilan serta demokrasi,  dan tidak bersifat perkauman sempit. Walaupun sebelum dan  semasa PRU-13 UMNO-BN mempertingkatkan kempennya  terhadap PAKATAN, namun gabungan pembangkang ini mendapat  kemenangan lebih besar lagi.
  10. Berdasarkan Perlembagaan Parti, ucapan-ucapan serta kenyataan kenyataan pimpinan utama KEADILAN, dan juga Dasar Bersama  PAKATAN, boleh dirumuskan intisari dasar Parti Kedilan Rakyat. Ia  berpaksikan empat prinsip penting, iaitu: (a) keadilan untuk semua  (ertinya keadilan yang tidak memilih bulu), (b) kepedulian terhadap  rakyat (iaitu mengambil berat ke atas terutama nasib rakyat dari golongan bawahan dan lain-lain yang tertindas), (c) mewujudkan  integrasi serta perpaduan negara-bangsa, dan (d) mendukung  ketinggian nilai moral dan etika (yang harus didukung khususnya  oleh pemimpin).
  11. Prinsip-prinsip ini boleh menjadi panduan kepada semua dasar  dalam pelbagai bidang. Dalam menghayati dan melaksana misi  dan visi Parti, kita perlu berorientasikan prinsip-prinsip ini. Maka  itulah dalam bahagian-bahagian lain kita akan melihat bagaimana  keempat-empat prinsip ini merupakan paksi yang penting bagi  semua dasar Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN).

KEADILAN DAN POLITIK TIDAK  PERKAUMAN 

  1. Politik dan masyarakat perkauman di negara ini diperkenal dan  diperluaskan dalam zaman penjajah. Ia menjadi asas dasar pecah serta  perintah (divide and rule) yang dilaksanakan untuk melanjutkan  kuasa serta kepentingan penjajahan elit pemerintahnya.
  2. Politik perkauman dan dasar pecah serta perintah, yang dimulakan  oleh penjajah di negara ini, diwarisi dan diteruskan oleh UMNO-BN  sejak Merdeka lagi. Politik dan dasar ini menguntungkan segelintir  yang berkuasa serta kaya dan meminggir serta merugikan golongan  miskin dan golongan tertindas lain.
  3. UMNO-BN sebenarnya parti perkauman, walaupun didakwa  sebaliknya. Hampir semua parti komponennya mempunyai  anggota dari satu kaum saja. Dasar yang dilaksanakan semua parti  komponen, walaupun yang kononnya bersifat pelbagai kaum dari  segi keanggotaan, adalah berbentuk perkauman.
  4. Dasar-dasar Kerajaan UMNO-BN pada asasnya bersifat perkauman  juga. Itu sebab ia menjadi punca ketegangan dan pergaduhan  kaum yang mengancam perpaduan bangsa. Itu sebab agenda asal  kemerdekaan, iaitu untuk membina satu bangsa bersatu padu dan menegakkan keadilan sosial gagal sejak Merdeka pada tahun 1957.
  1. Sebenarnya tidak salah sekiranya golongan rakyat, bahkan juga  badan-badan tertentu termasuk parti politik, membela hak serta  kepentingan kaumnya sendiri. Syaratnya: (a) hendaklah diutamakan  hak serta kepentingan golongan miskin, (b) hendaklah dibela  juga golongan senasib dari kaum lain, dan (c) henaklah jangan  menimbulkan kebencian kaum.
  2. Tidak ada salahnya satu-satu kaum menghormati bahasa, sekolah,  budaya dan agama masing-masing. Akan tetapi perlulah: (a)  ada penerimaan peruntukan Perlembagaan yang menetapkan  kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dengan memberi ruang  kepada umat Islam menghayati ajaranya dan menekankan keadilan  dan kemanusiaan sejagat – Rahmatanlil alamin. Pemeliharaan  agama lainya dipertahan dan dijamin kebebasan penganut  mengamalkanya; (b) BM sebagai bahasa perhubungan (lingua  franca) dan kebangsaan yang penting; (c) ada pengakuan hak semua  kaum, dan tidak ada sikap memandang rendah apatah lagi menekan  bahasa, sekolah, budaya dan agama masing-masing; (d) ada galakan  untuk saling mempelajari, memahami dan menghormati bahasa,  pelajaran, budaya dan agama kaum lain; dan (e) ada usaha untuk  menghayati dan mengembangkan nilai-nilai serta unsur-unsur  budaya dan agama yang universal.
  3. Di negara ini golongan berkuasa dan kaya mengandungi segelintir  orang dari pelbagai kaum yang bekerjasama rapat. Golongan miskin,  terpinggir, terbiar, tertindas dan berpendapatan rendah merupakan  majoriti. Mereka terdiri dari semua kaum – Melayu, Cina, India,  Iban, Kadazandusun, Bajau, Penan, Orang Asal (Asli) dan lain-lain.  Mereka hampir senasib. Merekalah yang patut mula-mula sekali  dibantu dan dibela.
  4. Parti Keadilan Rakyat menolak politik, dasar dan budaya perkauman.  Ia membuka ruang anggota Parti kepada semua kaum dan golongan.  Ia mengemukakan dasar yang tidak perkauman. Ini percubaan  baru yang memang susah dilaksanakan tetapi perlu dicapai. Diakui  bahawa dalam KEADILAN sendiri masih ada anasir-anasir yang  terus berfikir serta bertindak secara perkauman. Perkara ini perlu  diatasi dan dikikis segera.
  5. Setiap pemimpin, aktivis, ahli dan penyokong KEADILAN  hendaklah berfikir dan bertindak secara tidak perkauman. Perlu  dijauhkan fikiran serta sikap perkauman, terutama yang sempit.  Sebarang tindakan yang diambil janganlah melibatkan hanya satu satu kaum dan mengutama serta membela hak serta kepentingan  kaum itu saja. Lebih penting lagi ia hendaklah jangan sampai  menimbulkan kebencian kaum lain.
  1. Adalah lebih baik sekiranya digalak serta dilaksanakan agar tindakan  aktivis India mempertahan kuil disertai oleh aktivis Melayu dan  Cina. Begitu juga, manakala ada aktivis Melayu membela peneroka  bandar yang diusir secara paksa, aktivis India dan Cina mesti  memberi sokongan. Seterusnya, jika ada aktivis Tionghua yang  membela sekolah Cina yang cuba dipaksa tutup, aktivis India dan  Melayu harus bersama. Begitulah selanjutnya dengan pembelaan  ke atas nasib orang-orang Iban, Kadazan, Bajau, Penan dll. yang  ditekan.
  2. Ada tiga perkara yang boleh menjadi panduan kepada kita bagi  menentukan sikap dan tindakan yang tidak perkauman. Pertama,  beri keutamaan kepada kepentingan negara-bangsa kita sendiri  lebih daripada kepentingan kuasa asing yang dominan. Kedua, beri  lebih keutamaan kepada hak rakyat jelata yang didiskriminasi lebih  dari keistimewaan untuk golongan segelintir yang kaya-berkuasa;  ertinya laksanakan semangat kepedulian rakyat. Ketiga, bertindak  atas asas keadilan untuk semua, dari segi kaum, gender dan taraf  berlainan, dan hindarkan sikap serta tindakan perkauman.
  3. Penjajahan serta imperialisme bentuk lama sekarang diganti dengan  penjajahan berbentuk baru, yang menggunakan wajah globalisasi.  Walaupun globalisasi merupakan arus yang tidak boleh ditahan, kita  perlu pastikan ia tidak digunakan hanya untuk keuntungan kapitalis  antarabangsa dan mengorbankan kepeningan negara dan rakyat  kita sendiri. Dari segi inilah FTA dan TPPA tidak boleh diterima  bulat-bulat, bahkan perlu ditentang.
  4. Malaysia sebuah negara yang kaya, mempunyai hasil mahsul  yang banyak. Walaupun banyak usaha pembangunan dijalankan,  namun kemajuan yang dicapai oleh Malaysia sejak Merdeka lebih  rendah daripada yang dicapai oleh negara-negara sebaya dulu,  seperti Singapura, Taiwan dan Korea Selatan. Dari segi pendapatan  perkapita terkini, Singapura maju kira-kira empat kali ganda,  manakala Taiwan dan Korea Selatan pula maju kira-kira dua kali  ganda dari Malaysia. Pada hal mereka berada pada kedudukan  ekonomi yang sama (dari segi pendapatan perkapita) pada tahun  1960.
  5. Sungguhpun kadar kemiskinan dikatakan berkurang di negara kita,  namun jurang di antara golongan kaya-miskin semakin meluas,  dan antara yang tertinggi di Asia. Jurang atau kesenjangan sosio ekonomi semakin melebar antara wilayah dan di kalangan kaum  yang sama. Ini kerana kekayaan bertumpu hanya kepada segelintir,  yang punyai kuasa dan mereka yang rapat dengan golongan berkuasa  itu (kroni dan suku-sakat). Yang miskin, berpendapatan rendah dan  sederhana merupakan golongan majoriti; mereka terdiri dari semua  kaum.
  6. Dasar Ekonomi Baru (DEB) diperkenalkan pada tahun 1970  kononnya untuk membela nasib ekonomi orang Melayu, dengan  menghapus kemiskinan dan menambah golongan peniaga serta  pengusaha Melayu. Walaupun ada keuntungan yang diperolehi  orang Melayu dari segi peluang pekerjaan serta pendidikan, namun  golongan yang paling beruntung dan menjadi kaya raya ialah hanya  sebilangan kecil korporat Melayu beserta golongan bukan Melayu  yang bersyubhat dengan mereka. Bahkan bilangan bukan Melayu  yang maha-kaya lebih ramai.
  7. Golongan segelintir yang kaya ini merampas kuasa dan merompak  kekayaan dengan menggunakan nama DEB dan kedudukan  istimewa orang Melayu. Mereka menjadi kaya raya. Sebilangan  rakyat ramai Melayu dan Bumiputera masih jauh ketinggalan di  belakang, dari segi ekonomi, pendidikan, kesihatan dan lain-lain.  Ada juga golongan bukan Melayu yang senasib dengan mereka,  terutama India yang di estet dan juga Cina kawasan peneroka  bandar.
  8. Bukan saja DEB lebih menguntungkan segelintir yang berkuasa dan  kaya, bahkan ia juga menganaktirikan golongan Melayu dan bukan  Melayu yang miskin, terpinggir dan tertindas. Orang Asal dan India  adalah dari kalangan yang termiskin di negara ini. Kedengaran  suara dari kalangan sesetengah pemimpin dan aktivis India yang  mahukan satu dasar ekonomi seperti DEB, yang boleh memberikan  sedikit manfaat kepada masyarakat India. Pendekatan kaum ini  tidak akan mengubah keadaan atau membela nasib majoriti orang  India.
  9. KEADILAN mahukan DEB diganti dengan Agenda Ekonomi  Malaysia (AEM), yang membela terutama sekali golongan rakyat bawahan berpendapatan rendah dan sederhana dari semua kaum  di segi ekonomi, pendidikan, kesihatan dan perumahan. Lebih  banyak kekayaan negara mesti ditumpukan demi kepentingan serta  kebajikan mereka ini, bukan untuk keistimewaan dan keuntungan  segelintir yang kayaraya dan berkuasa itu. Dasar seperti ini akan  menguntungkan semua golongan kaum, kerana ramai di kalangan  mereka adalah miskin, berpendapatan rendah dan sederhana.  Bahkan ia akan tetap menguntungkan orang Melayu Bumiputera  kerana mereka merupakan golongan miskin yang terbesar.
  10. Dari segi pendidikan pula, banyak peruntukan wang, alat serta  guru ditumpukan kepada sekolah-sekolah yang besar-besar dan  baik-baik, terutama di kawasan-kawasan bandar. Anak-sekolah di  kampung, di kawasan pendalaman dan estet masih ketinggalan. Ada  anak-anak Melayu kampung yang berjaya masuk sekolah-sekolah  bermutu yang terbuka untuk mereka. Anak-anak Cina mempunyai  sekolah-sekolah menengah Cina yang tinggi kualitinya, bahkan  berpeluang sampai ke Universiti. Tetapi, anak-anak India dari  ladang dan Orang Asal di pedalaman, misalnya, menemui jalan  buntu, sebab sistem pendidikan yang ada untuk mereka teruk sekali  keadaannya.
  11. Bagi masyarakat India dan Cina, umpamanya, memang boleh  difahami mengapa mereka mendesak soal bahasa ibunda mereka.  Akan tetapi, yang harus dipandang lebih penting ialah isi serta mutu  pendidikan yang anak-anak mereka terima. Dari segi ini pendidikan  Tamil ketinggalan. Seharusnya wujud pendemokrasian pendidikan  yang boleh memberikan peluang serta kemudahan lebih baik  dan luas bagi penuntut-penuntut India, Melayu, Tionghua, Iban,  Kadazandusun dan lain-lain, khususnya dari kawasan mundur dan  dari lapisan bawahan.
  12. Malang sekali, perubahan yang cuba dibawa oleh pihak Kerajaan  melalui Kementerian Pendidikan tidak membantu golongan yang  tercicir ini. Rancangan sekolah “cluster”, yang diberikan lebih  banyak peruntukan dan lebih luas kebebasan pentadbiran, banyak  menguntungkan sekolah-seolah yang memang sudah maju,  kebanyakan di bandar-bandar. Ertinya ia lebih membantu murid  murid dari kawasan dan golongan yang lebih kaya dan istimewa. Yang  miskin dan terpinggir di kawasan-kawasan pedalaman, kampung  dan ladang kebanyakannya akan terus terbiar dan ketinggalan.
  1. Kita perlu lebih prihatin pada isu dan masalah ekonomi, politik  dan sosial yang banyak menjejaskan kedudukan rakyat jelata. Kita  mesti membela mereka tanpa mengira kaum. Itu sebabnya Parti  kita menekankan prinsip moral dan pengurusan yang baik serta  semangat kepedulian rakyat yang merentasi batasan antara semua  kaum.
  2. Akhirnya, kita mesti menyedari bahaya dari pihak-pihak tertentu  yang cuba menimbulkan pecah belah dengan menggunakan isu  perkauman dan tafsiran agama yang sempit. Ini caranya mereka  boleh bertapak dan seterusnya berkuasa. Setelah berkuasa mereka  menjalankan dasar pecah dan perintah lebih buruk lagi untuk  melanjutkan kuasa mereka dan untuk mengaut kekayaan dari  negara yang dikuasai itu.

MEMPERKASA PARTI 

  1. Sebagai sebuah parti politik, sudah tentulah KEADILAN bercita cita untuk berkuasa. Kita memilih jalan perlembagaan, iaitu melalui  pilihanraya. Akar tetapi aktiviti kita bukan terbatas hanya kepada  menyertai pilihanraya berkala. Kita perlu juga membuat kerja  massa, melalui usaha-usaha untuk kebajikan rakyat dan menyertai  himpunan aman untuk menyuara, menuntut serta membela hak  serta kepentingan rakyat ramai sepanjang masa.
  2. Kita mesti jelas kuasa itu untuk apa dan untuk siapa? Kita mahukan  kuasa untuk membuat perubahan lebih adil dan demokratik dalam  pelbagai bidang ekonomi, politik, sosial dan untuk membina negara  bangsa yang bersatu padu. Dasar perjuangan kita tercatat dalam  Perlembagaan dan dijelaskan dalam banyak ucapan serta kenyataan  para pemimpin.
  3. Kita mahu perubahan bukan untuk memuaskan ketamakan diri  sendiri atau kerakusan segelintir yang berkuasa, akan tetapi kita  mahu perubahan yang membela hak, kepentingan serta kebajikan  rakyat jelata. Oleh itu sikap kepedulian rakyat sangat penting, iaitu  dengan mengambil berat terhadap rakyat dari golongan rendah dan  lemah.
  4. Untuk berkuasa Parti mesti perkasa, iaitu kuat, bersatu serta berkesan; pemimpin mesti gigih dan mempunyai komitmen serta  visi; dan anggota mesti berdisiplin komited kepada perjuangan serta  bersedia berkorban.
  5. Berbagai-bagai usaha dan langkah perlu diambil untuk memperkasa  Parti. Antara yang penting ialah dengan mengenal diri Parti serta  mengenal kawan dan lawan dalam perjuangan.
  6. Untuk mengenal diri parti, kita perlu mengetahui sejarah perjuangan  dan memahami KEADILAN sebenarnya pewaris perjuangan  rakyat untuk keadilan, kerbebasan serta kesaksamaan; memahami  kekuatan serta kelemahan parti untuk memperbaikinya lagi; dan  menghayati dalam fikiran serta tindakan asas murni perjuangan  Parti.
  7. Kita kenali lawan kita sebagai segolongan kecil yang berkuasa  dan menggunakan kuasa pemerintahan serta segala cabangnya  (mahkamah, polis dan media) sebagai alat untuk menegak serta  mempertahan kepentingan diri serta golongan sendiri, dan menekan  serta mengabai rakyat jelata.
  8. Semasa penjajahan (dalam perjuangan kemerdekaan) lawan rakyat  ialah penjajah; bukan semua orang/rakyat di negara penjajah,  tetapi hanya segolongan kecil elit yang menguasai politik, ekonomi,  ketenteraan dan lain-lain dalam negara penjajah itu.
  9. Kini, lawan kita ialah segelintir pemimpin UMNO-BN yang  menguasai sebahagian besar bidang politik, ekonomi serta  ketenteraan; mereka mengutamakan kepentingan diri, kroni serta  suku-sakat mereka. Lawan kita bukannya semua anggota UMNO
  10. Ramai ahli UMNO-BN yang tertekan, tertindas dan tertipu oleh  pemimpin mereka yang rakus serta korup, dan menentang korupsi, salah kuasa dan pilih kasih yang diamal oleh pemimpin mereka.
  11. Kawan politik sejati kita yang utama ialah sesama anggota Parti.  Kita boleh berbeza pendapat atau pandangan, tetapi seharusnya  mengutamakan semangat setiakawan. Kita mesti boleh dan berani  tegur-menegur serta kritik mengkritik dengan ikhlas dan membina.  Kita mengelak atau mengatasi permusuhan dan dendam kesumat  sesama kita.
  12. Kawan kita yang lain ialah individu, kumpulan, organisasi serta parti  yang menentang elit politik dan ekonomi yang berkuasa sekarang,  di samping menentang dasar-dasar yang menekan (melalui undang undang zalim), merugikan rakyat (melalui dasar-dasar anti rakyat)  menyusahkan rakyat (melalui korupsi, kenaikan harga barang barang keperluan yang tidak terkawal), dan mengancam keselamatan  (melalui bermacam-macam jenis jenayah dan sebagainya.)
  13. Secara objektif ramai ahli serta sesetengah pemimpin UMNO-BN  berpotensi menjadi kawan seperjuangan kita. Mereka tertipu serta  dapat diperalatkan oleh pemimpin rakus, kerana belum mempunyai  kesedaran atau disogok dengan pelbagai cara. Adalah menjadi tugas  kita menyedarkan mereka dan menarik hati mereka dan akhirnya  bersama kita.
  14. Kawan dan lawan tidak terdiri hanya dari satu kaum, keturunan atau  kepercayaan. Yang menjadi kawan dari segi politik tidak semestinya  mempunyai sikap dan dasar yang sama seratus peratus. Sikap dan  dasar yang penting serta serupa, boleh dijadikan program minima  untuk mereka bertindak sebagai kawan.
  15. Kawan dan lawan bukan saja terbatas dalam sesebuah negara. Bahkan  negara luar pun boleh menjadi kawan atau lawan kepada rakyat dan negara kita sendiri. Ada kuasa-kuasa besar yang wujud di dunia  sekarang mencuba dan sering berjaya mendominasi negara-negara  membangun, terutama dalam bidang ekonomi, politik, ketenteraan,  kebudayaan dan komunikasi. Mereka berperanan sebagai penjajah  bentuk baru.
  16. Sudah tentu penjajah bentuk baru itu tidak boleh dijadikan kawan  sejati. Mereka bertindak demi keuntungan negara dan rakyat mereka  sendiri dengan tidak mempedulikan akibat buruk ke atas negara  dan rakyat yang didominsinya. Sering berlaku elit pemerintah dari  sesetengah negara membangun bekerjasama bahkan bersyubhat  dengan elit pemerintah dari negara penjajah bentuk baru ini. Jelas  mereka lawan kita.

LAMPIRAN I 

Tujuan dan Matlamat Perjuangan Parti 

  1. Mewujudkan masyarakat adil dan negara demokratik, yang progresif  serta bersatu.
  2. Menghormati sistem Raja Berperlembagaan, memperkukuh  Demokrasi Berparlimen, dan mendukung hak serta kuasa rakyat,  dan berusaha untuk memantapkan sistem politik negara yang sesuai  dengan kehendak serta kepentingan rakyat.
  3. Menegakkan kedaulatan undang-undang yang adil, media massa  serta kehakiman yang bebas, dan pasukan keselamatan yang  berkecuali.
  4. Menjamin kebebasan berfikir, bersuara, bergerak, berhimpun dan  berpersatuan kepada semua.
  5. Mengukuhkan sistem pemerintahan Persekutuan yang adil,  bertanggungjawab serta demokratik dalam mengimbangi  kepentingan negeri-negeri dengan kekuasaan Pusat.
  6. Menghormati kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan sambil  mengiktiraf hak agama-agama lain, dan menggalakkan peranan  agama serta nilai-nilai sejagat untuk menegakkan kebenaran, keadilan,  ketinggian akhlak, pembangunan insan dan martabat manusia.
  7. Mempertingkatkan kemuliaan insan, menegakkan hak asasi manusia, dan berpegang teguh kepada prinsip integriti dan  akauntabiliti dalam bidang ekonomi, politik dan pentadbiran.
  8. Melaksanakan ekonomi yang adil serta dinamik, yang  mengutamakan pertumbuhan serta pengagihan yang adil dan bebas  daripada penindasan, kecurangan serta pembaziran, di samping  mengatasi kemiskinan dan membatasi penumpuan kekayaan.
  9. Memastikan kedudukan istimewa Melayu digunakan khusus untuk  menaikkan taraf sosio-ekonomi mereka yang miskin serta terbiar  serta pembelaan yang adil bagi golongan bukan Melayu yang miskin  dan terbiar, demi mencapai kesaksamaan untuk perpaduan nasional.
  10. Menyediakan pendidikan, kesihatan dan perumahan yang bermutu,  dengan bayaran yang murah lagi munasabah sebagai tanggungjawab  sosial pemerintah, terutama sekali bagi golongan berpendapatan  rendah dan sederhana.
  11. Memperjuangkan serta menjamin hak bekerja, upahan adil,  keselamatan di tempat kerja dan mutu kehidupan yang baik kepada  setiap orang.
  12. Memperjuangkan hak serta kepentingan wanita, dan menjamin  mereka mencapai taraf yang saksama dalam semua bidang.
  13. Memperjuangkan hak serta kepentingan belia, dan menjamin  peranan yang bermakna bagi mereka dalam semua bidang  kehidupan.
  14. Meningkatkan mutu hidup Orang Asal di samping menghormati  Adat mereka, menyediakan rancangan pembangunan yang sesuai  setelah berunding dengan mereka, dan melindungi hak mereka ke  atas Tanah Adat.
  15. Memajukan Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan serta  bahasa perantaraan, di samping menjamin hak rakyat mempelajari,  menggunakan dan berpeluang mendapat pendidikan dalam bahasa bahasa lain; dan menggalak perkembangan kebudayaan serta  kesenian Malaysia, berasaskan unsur-unsur unggul daripada semua  warisan peradaban yang wujud di negara ini.
  16. Melindungi alam semula jadi daripada pemusnahan; mencegah  perosakan serta meningkatkan mutu alam sekitar; dan memastikan  pembangunan yang mapan.
  17. Menegakkan sistem antarabangsa baru yang adil serta demokratik,  melaksanakan dasar luar yang bebas serta beretika, menolak proses  globalisasi yang mengancam kepentingan negara serta rakyat, dan  seterusnya melindungi ekonomi, politik serta keselamatan negara  daripada tertakluk kepada kepentingan kuasa-kuasa besar dunia.

LAMPIRAN II 

Rumusan Tujuan dan Matlamat Perjuangan Parti 

Fasal 5 Perlembagaan Parti adalah sumber terpenting dasar Parti. Fasal ini  menghuraikan Tujaun dan Matlamat Perjuangan Parti. Ia mengadungi  17 perkara dan meliputi pelbagai bidang. Yang pokok ialah:

(a) Politik: Mewujudkan masyarakat adil dan negara demokratik (5.1),  mendukung hak serta kuasa rakyat (5.2), mengukuhkan sistem  pemerintahan Persekutuan yang adil, bertanggungjawab serta  demokratik (5.7); melaksanakan dasar luar bebas serta beretika;  dan melindungi ekonomi, politik dan keselamatan negara dari  cerobohan kuasa besar;

(b) Ekonomi: Melaksanakan sistem ekonomi adil serta dinamik,  bebas daripada penindasan, korupsi, kecurangan, pembaziran dan  mencegah penumpuan kekayaan (5.9); menaikkan taraf sosio ekonomi semua golongan yang miskin atau terbiar; dan memastikan  kedudukan istimewa Melayu tidak disalahguna untuk mengayakan  segelintir kroni kaya (5.10); menjamin hak bekerja, upahan adil dan  mutu kehidupan yang baik bagi semua (5.12); meningkatkan alam  sekitar dan mencegah pemusnahannya (5.16);

(c) Sosial: Meyediakan pendidikan, kesihatan dan perumahan bermutu,  murah dan mudah bagi golongan berpendpatan rendah (5.11);  meningkatkan martabat serta peranan wanita dan memastikan mereka tidak menjadi mangsa diskriminasi serta eksploitasi (5.13);  memperjuang hak dan kemajuan potensi angkatan muda (5.14).

(d) Hak Asasi: Menegakkan hak asasi manusia serta kemuliaan insan  (5.8); menjamin kebebasan berfikir, bersuara, bergerak dan  berpersatuan (5.4); menegakkan undang-undang adil, media massa  bebas, kehakiman berwibawa dan pasukan keselamatan yang  profesional (5.3);

(e) Agama: Menghayati Islam sebagai agama Persekutuan dan menjamin  hak bukan Islam mengamalkan agama atau kepercayaan masing masing; menggalak peranan agama serta nilai-nilai sejagat untuk  menegakkan keadilan, kebenaran, ketinggian akhlak, pembangunan  insan dan martabat manusia (5.5);

(f) Bahasa dan Budaya: Mendaulatkan Bahasa Malaysia di samping  menjamin hak rakyat mengguna, mempelajari dan mendapat  pelajaran dalam bahasa ibunda; menggalak perkembangan budaya  dan seni Malaysia berasaskan semua warisan peradaban di negara  (5.6).

Lampiran 35

LAMPIRAN III 

Deklarasi Permatang Pauh 

Menyedari gesaan al-Quran yang bermaksud “tidaklah kami mahu  melainkan untuk melakukan islah sekuat daya kami”;

Dan berilhamkan tradisi budaya-budaya Asia yang keseluruhannya  menganjurkan pembaharuan diri dan masyarakat;

Dan menginsafi bahawa Malaysia kini dicengkam kemelut yang dahsyat  dan memerlukan kekuatan dalaman untuk bangun semula;

Maka kami rakyat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama bertekat  untuk melancarkan gerakan Reformasi yang menyeluruh:

Gerakan Reformasi yang terpancar perjuangan hati nurani, dari  kesedaran bahawa sesungguhnya diri manusia itu mulia dan merdeka,  mempunyai hak dan tanggungjawab, diri manusia haram dizalimi dan  diaibkan, haram dibelenggu dan disekat tanpa mengikut proses dan  undang-undang yang adil;

Gerakan Reformasi untuk menegakkan keadilan untuk semua, yang kuat  dan yang lemah, yang kaya dan yang miskin; membersihkan institusi  dan proses undang-undang dari dicemari oleh penyalahgunaan kuasa  dan rasuah;

Gerakan Reformasi untuk mendaulatkan kuasa rakyat melalui proses  demokrasi. Demokrasi itu satu kemestian, kerana semangat keadilan

yang ada dalam diri manusia membolehkan demokrasi dilaksana, tetapi  kecenderungan manusia untuk berlaku zalim menjadikan demokrasi  satu kewajipan;

Gerakan Reformasi untuk memperjuangkan keadilan ekonomi,  menjana pertumbuhan dan pengagihan yang saksama, jangan yang kaya  bertambah kaya yang miskin papa kedana. Dunia ini mencukupi untuk  keperluan semua, tetapi tidak mencukupi untuk memenuhi kerakusan  individu;

Gerakan Reformasi untuk membanteras rasuah dan penyalahgunaan  kuasa, mengikis manipulasi pasaran oleh segelintir golongan rakus dan  mahakaya;

Gerakan Reformasi untuk memperkukuhkan jayadiri budaya yang  dinamis, setia kepada warisan bangsa yang murni dan terbuka kepada  segala yang baik dari semua budaya;

Gerakan Reformasi untuk membawa bangsa Malaysia ke zaman maklumat  dan dunia tanpa sempadan, menjana kebijaksanaan, keyakinan dan  keterbukaan untuk menjalin persahabatan sejagat berdasarkan prinsip  kebenaran dan keadilan.

Kami akan menggerakkan Reformasi ini dengan aman, mengikut  semangat perlembagaan dan bernafaskan prinsip pemerintahan undang undang.

Masanya telah tiba. Bersatulah untuk Reformasi.

Permatang Pauh 12 September 1998

Anwar Ibrahim

crossmenuchevron-up