Carian
October 4, 2019

Keputusan Mahkamah Koroner Berkenaan Kematian Allahyarham Adib

KENYATAAN MEDIA

Keputusan Mahkamah Koroner Berkenaan Kematian Allahyarham Adib

Saya amat terkesan dengan keputusan Mahkamah Koroner hari ini yang mengumumkan bahawa kematian Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim adalah disebabkan tindakan jenayah beberapa individu yang tidak dikenali, dari kalangan sekumpulan perusuh yang berada berhampiran kuil di Seafield November lalu.

Saya juga menerima baik pengumuman Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, bahawa pihak Polis Di-Raja Malaysia akan mengkaji semula kes tersebut, dan saya berharap pihak PDRM bersama Peguam Negara akan dapat menentukan tindakan tegas yang perlu diambil selepas ini.

Bagi saya, individu-individu yang terlibat dalam tindakan jenayah ini sehingga mengakibatkan kematian Allahyarham Adib wajib dibawa ke muka pengadilan. Keadilan buat Allahyarham Adib dan keluarganya adalah keadilan buat semua rakyat Malaysia.

Pada masa yang sama, saya berharap semua pihak akan bersabar dan tidak melakukan sebarang tindakan yang menyalahi undang-undang.

Saya juga berharap agar keputusan Mahkamah Koroner ini dapat memberi peluang untuk perbetul keadaan demi memastikan kejadian yang cukup menyedihkan ini tidak berulang lagi.

Fahmi Fadzil
Ahli Parlimen Lembah Pantai
Pengarah Komunikasi KEADILAN

27 September 2019

Related Posts
crossmenuchevron-up