Carian
October 8, 2019

WKB2030: Isu Kemiskinan dan Kesenjangan Ekonomi di Malaysia

 

nwy_shamsul_140619_14_2x

 

Kenyataan Media – WKB2030: Isu Kemiskinan dan Kesenjangan Ekonomi di Malaysia

Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) merujuk kepada Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) yang telah dilancarkan oleh Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 5 Oktober lalu yang inti patinya adalah iltizam untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang terus membangun secara mampan seiring dengan pengagihan ekonomi yang adil, saksama dan inklusif pada semua peringkat kumpulan pendapatan, etnik, wilayah dan rantaian bekalan.

Pada Seminar Ekonomi Kemiskinan dan Kesenjangan di Malaysia – “Takrifan dan Pelaksanaan” yang telah di jalankan pada 24 September 2019 yang lalu anjuran bersama Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Parlimen, telah mengambil resolusi bagaimana kerajaan Pakatan Harapan (PH) harus membetulkan fokus untuk mencipta sebuah ekonomi yang belas dan prihatin kepada golongan miskin tanpa mengira kaum dan kelompok.

Sehubungan dengan itu, KEADILAN meminta kerajaan agar memberikan tumpuan khas kepada isu kemiskinan pada Belanjawan 2020 yang akan dibentangkan pada hari Jumaat ini. KEADILAN juga ingin menyarankan supaya wacana WKB2030 khususnya isu kemiskinan ini dijadikan akar perbahasan di setiap Dewan Undangan Negeri pada perbahasan belanjawan di setiap negeri tidak lama lagi.

Secara dasarnya KEADILAN menyeru semua pihak agar menekankan kepada isu keadilan sosial dimana pengagihan kekayaan negara itu harus diagihkan secara adil dan saksama. Statistik-statistik berkaitan kemiskinan yang dijana oleh pihak-pihak yang bertanggung jawab haruslah merentas wilayah, tidak mengelirukan serta dipenghujungnya perlu ada titik pertemuan dan kesepakatan.

KEADILAN melihat dengan penuh teliti ucapan Pengerusi Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Parlimen Datuk Seri Anwar Ibrahim yang secara asasnya agak khuatir apabila Vietnam menunjukkan peningkatan ekonomi yang cukup pantas sedangkan pertumbuhan ekonomi Malaysia kelihatan agak terbantut semenjak sepuluh tahun yang lalu. Sekiranya ini berterusan, kemungkinan Malaysia akan ketinggalan dari segi pertumbuhan ekonomi ketimbang Vietnam dan Indonesia.

Sehubungan dengan itu KEADILAN berpendapat bahawa adalah amat wajar sekali WKB2030 memberikan tumpuan kepada pembangunan ekonomi sejahtera khususnya kepada masalah kemiskinan rakyat. Adalah wajar untuk semua pihak beringat bahawa antara punca dan inti utama mengapa rakyat menolak Barisan Nasional semasa pilihanraya ke 14 dahulu adalah kerana kegersangan ekonomi dan keterdesakan untuk kelangsungan hidup.

Isu perumahan rakyat juga harus diberikan perhatian yang serius dan mendalam memandangkan kebelakangan ini kerajaan dilihat seolah-olah menyebelahi puak-puak tertentu yang hanya ingin mengaut keuntungan atas jualan-jualan rumah mewah yang langsung tidak mampu dimiliki oleh rakyat kebanyakkan. Projek perumahan awam dan mampu milik harus dilipat gandakan dan harga asas rumah mampu milik ini harus disemak dan dikaji semula bagi memastikan bayaran pinjamannya tidak membebankan pembelinya disetiap penghujung bulan.

Seminar Ekonomi Kemiskinan dan Kesenjangan di Malaysia yang telah dijalankan ini adalah satu program yang seiring dengan hasrat Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang berusaha untuk merapatkan jurang kemiskinan antara negeri kaya dan miskin, bandar dan luar bandar serta pendapatan pekerja. Justeru, KEADILAN akan terus menyokong segala usaha murni kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai negara berdasarkan ekonomi yang terus berkembang dengan rancak dan mampan disamping mengutamakan ekonomi dan kebajikan keseluruhan rakyatnya tanpa mengira bangsa dan agama.

DATUK SERI SHAMSUL ISKANDAR MOHD AKIN
Ketua Penerangan Parti KEADILAN Rakyat Malaysia
Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya
8 Oktober 2019

Related Posts
crossmenuchevron-up