
22 Mac 2026 | Petaling Jaya
Perang yang bermula dengan serangan Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran pada 28 Februari 2026 kini telah merebak ke seluruh Asia Barat, sekaligus menyeret negara-negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) ke dalam kancah konflik tersebut. Lebih daripada 1,200 rakyat Iran telah terkorban. Infrastruktur awam di negara-negara Teluk juga telah musnah teruk.
Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah menjadi lumpuh akibat veto yang dikenakan oleh salah satu pihak yang terlibat dalam peperangan.
Keadilan menegaskan perkara berikut dengan jelas:
Pertama, kempen ketenteraan Amerika Syarikat dan Israel merupakan tindakan pencerobohan yang menyalahi undang-undang. Ia melanggar Perkara 2(4) Piagam PBB. Iran tidak memulakan peperangan ini, dan serangan ke atas Iran dilakukan tanpa kelulusan dari PBB. Ini adalah soal kedaulatan negara dan undang-undang antarabangsa.
Kedua, Iran mempunyai hak untuk mempertahankan dirinya. Perkara 51 Piagam PBB menjamin hak sesebuah negara berdaulat untuk mempertahankan diri daripada serangan bersenjata. Menafikan hak ini bermakna mendedahkan setiap negara kecil dan sederhana, termasuk Malaysia, kepada kepentingan kuasa besar yang zalim.
Ketiga, negara-negara GCC adalah mangsa peperangan yang bukan pilihan mereka. Mereka menjadi tuan rumah kepada pangkalan Amerika yang digunakan untuk menyerang Iran, menjadikan wilayah mereka sendiri sasaran ketenteraan yang sah. Proses keamanan yang utuh diperlukan untuk menangani keselamatan mereka tanpa mengabaikan punca utama konflik.
Malaysia tidak boleh berterusan menjadi pemerhati. Jarak geografi kita daripada konflik, sikap berkecuali, serta ketiadaan kepentingan politik menjadikan Malaysia sebagai perantara yang unik dan mempunyai kredibel. Rangka kerja dialog peradaban perdamaian yang dipelopori oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim juga mampu untuk menawarkan penyelesaian berteraskan etika yang melampaui perangkap mazhab dan geopolitik yang telah melumpuhkan pihak-pihak yang terlibat.Di dalam hal ini, Malaysia tidak boleh bertindak sendirian. Keadilan menyeru Kerajaan Malaysia untuk segera membentuk pakatan perantara bersama Afrika Selatan dan Brazil. Ketiga-tiga negara ini yang mewakili Asia Tenggara, Afrika dan Amerika Latin mempunyai persamaan dan kredebiliti dalam komitmen di dalam mendaulatkan undang-undang antarabangsa, tidak berpihak dan mengutamakan penyelesaian pertikaian secara aman. Sehubungan itu, Biro Hubungan Antarabangsa Keadilan menggesa kerajaan Malaysia agar mengambil langkah-langkah konkrit berikut:
1. Mengeluarkan tawaran bersama Brazil dan Afrika Selatan untuk menjadi perantara rundingan di lokasi yang neutral, dengan penegasan prinsip berkecuali dan komitmen untuk menamatkan pertumpahan darah serta kembali kepada meja rundingan berteraskan undang-undang antarabangsa.
2. Mengadakan sesi tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang berteraskan sumber peradaban Islam untuk keamanan, melangkaui kitaran kecaman yang biasa dilakukan, bagi mengaktifkan kerangka moral bersama seperti islah (perdamaian) dan musyawarah (perundingan) untuk menyelesaikan sekaligus menghentikan konflik berkenaan.
3. Menganjurkan dialog selari yang melibatkan pertubuhan masyarakat sivil, pemimpin agama dan tokoh-tokoh intelektual dari Iran, negara-negara Teluk dan seluruh dunia Islam bagi membina semula kepercayaan dan sikap saling menghormati semua pihak yang telah dihancurkan oleh peperangan.
Pakatan ini tidak akan bergantung kepada kekuatan ketenteraan. Ia akan bergantung kepada kredibiliti, kegigihan dan kuasa moral. Peperangan ini mesti dihentikan. Nyawa orang tidak berdosa tidak boleh dibiarkan terus melayang. Malaysia perlu tampil ke hadapan sebagai suara pendamai yang komited kepada kedaulatan, keadilan dan martabat semua negara.
Dr Maszlee Malik
Pengerusi
Biro Hubungan Antarabangsa
Parti Keadilan Rakyat (Keadilan)