Semalam, satu lagi kemalangan pembinaan berlaku di Lebuhraya SUKE, menjadikannya kejadian ketiga yang berlaku hanya dalam masa enam (6) bulan. Kejadian malang ini telah meragut tiga nyawa dan menyebabkan seorang pemandu cedera parah.
Seperti yang dinyatakan oleh Menteri Kanan Kerja Raya Dato’ Sri Fadillah Yusof, terdapat pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) di mana kontraktor tidak menutup lorong lalu lintas di bawahnya sementara penyelenggaraan dilakukan untuk peluncur kren gantry.
Namun, gambar-gambar lokasi kejadian menunjukkan struktur rasuk jatuh tepat di sebelah kren gantry. Oleh itu, apakah kren gantri sedang menjalani kerja-kerja penyelenggaraan seperti yang dituntut atau sedang mengangkat rasuk sebelum kecelakaan? Kami menuntut penjelasan daripada Menteri mengenai perkara ini.
Kami menggesa agar tindakan tegas mesti diambil segera terhadap kontraktor dan subkontraktor yang melanggar SOP. Di samping itu, Perintah Berhenti Kerja juga harus dikeluarkan dengan segera untuk keseluruhan pembinaan Lebuhraya SUKE, supaya pihak berkuasa dapat mengkaji rancangan penilaian dan mitigasi keseluruhan projek.
Kontraktor dan subkontraktor yang tidak cekap mesti disenaraihitamkan dan dihapuskan daripada projek ini sebelum kemalangan pembinaan lain di Lebuhraya SUKE berlaku lagi.
Projek ini juga melibatkan beberapa pihak berkuasa dan agensi yang seharusnya memeriksa dan memantau keselamatannya. Oleh itu, kakitangan di Kementerian Kerja Raya (KKR), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dan PROLINTAS (syarikat konsesi SUKE) yang juga terlibat dalam projek ini mesti dipertanggungjawabkan.
Kami juga mendesak pihak kerajaan untuk menunjukkan ketelusan maksimum dalam menangani kejadian ini, agar kebenaran dan keadilan diberikan kepada mangsa korban. Laporan penyiasatan dengan sebab, akibat, tindakan dan langkah pencegahan mesti disediakan kepada umum.
Sudah tiba masanya pihak kerajaan bertindak secara aktif untuk mencegah kecelakaan pembinaan yang boleh meragut nyawa yang tidak bersalah, dan bukan hanya langkah-langkah pasif yang hanya bertindak balas apabila berlaku kemalangan. Oleh itu, kerangka keselamatan yang ketat, berkesan dan bebas mesti dilaksanakan secepat mungkin untuk menjamin keselamatan awam.
AKMAL NASIR
Ahli Parlimen Johor Bahru
Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia
JHEN SEAH
Pengerusi Biro Profesional
AMK Malaysia