Saya ingin merujuk kenyataan Media Timbalan Menteri KPDNHEP Datuk Rosol Wahid yang mencadangkan penambahan AP Ayam Bulat demi menstabilkan harga ayam di pasaran sekali gus menyelesaikan masalah kenaikan harga.
Saya berpendapat Cadangan YB Datuk Rosol Wahid tidak wajar dan tidak memahami masalah sebenar punca kenaikan harga ayam. Cadangan beliau akan menindas penternak ayam yang telah lama mengalami kesusahan dan kerugian.
Masalah kenaikan harga ayam di pasaran adalah disebabkan oleh 2 faktor.
Faktor pertama adalah kos makanan haiwan yang telah naik mendadak. Mengikut harga pasaran dunia, kos jagung haiwan telah naik 47.8%, kacang soya telah naik 59.5% (Ogos 2020 hingga Februari 2021).
Akibat daripada itu, cost of production untuk ladang ayam telah meningkat mendadak. Ramai antara penternak telah mengalami kesusahan dan kerugian.
Namun demikian, harga ladang (ex-farm price) masih pada kadar yang stabil iaitu lebih kurang RM5.60-RM5.80 sekilo. Hanya naik sedikit berbanding tahun lepas. Ini disebabkan oleh bekalan yang tinggi tetapi permintaan pasaran yang rendah.
Dalam soal ini, Menteri KPDNHEP Datuk Alexander Nanta Linggi dengan lebih tepat menunjukkan masalah kenaikan kos makanan sebagai punca kenaikan harga ayam berbanding Timbalannya.
Oleh sebab itu, cadangan Timbalan Menteri KPDNHEP meningkatan AP ayam bulat tidak akan menyelesaikan masalah kerana ayam bulat dari luar negara lebih mahal kerana kenaikan harga makanan haiwan adalah masalah sedunia.
Faktor kedua kenaikan kos harga ayam adalah mungkin wujud gejala profit taking oleh rantaian industri.
Selama setahun, permintaan daging ayam adalah dalam tahap yang sangat lemah. Hotel tutup, restoran terjejas, industri pelancongan terkesan teruk. Semua masalah ini menyebabkan permintaan ayam bulat jatuh.
Rantaian industri ayam bulat dari pihak pemborong, peruncit, pemandu lori, lojistik, sehingga gerai kecil jual ayam telah mengalami kerugian sepanjang tahun sehingga sekarang. Saya cukup simpati terhadap golongan ini.
Permintaan daging ayam baru mula meningkat. Ada kemungkinan masalah profit taking untuk mengurangkan kerugian tahun lepas.
KPDNHEP sepatutnya menyiasat harga sepanjang rangkaian pasaran. Mereka harus bantu rantaian bekalan ayam bulat ini. Bantulah mereka, jangan hanya menggunakan saman sahaja.
Secara kesimpulan, bekalan ayam bulat di dalam negara mencukupi. Malaysia mempunyai Self Sustainable Level pada 98.2%.
Isu kenaikan harga adalah disebabkan oleh masalah lain yang harus disiasat lebih lanjut oleh KPDNHEP.
Janganlah meningkatkan AP import ayam yang akan merosakkan para penternak dan pengusaha industri ayam negara.