Jumlah kes positif COVID-19 yang dilaporkan telah menurun dari 9,020 pada 29 Mei kepada 4,949 pada 14 Jun 2021. Ini bermakna terdapat kesenjangan dari segi data sekiranya diambil kira kadar kes positif dengan kadar kematian dalam tempoh sama.
Data umum ini tidak menggambarkan penurunan sebenar sebanyak 45% dalam laporan harian kes COVID-19. Penerusan penggunaan katil-katil ICU yang tinggi dan perebakan kes-kes COVID-19 yang parah menggambarkan virus ini sudah tersebar secara meluas dan kita sedang berhadapan dengan mutasi COVID-19 yang bertambah ganas.
Pada 29 Mei yang lalu, sebanyak 126,480 ujian saringan telah dilakukan dan kadar pengujian telah meningkat sebanyak 166% dalam 15 hari kebelakang. Kadar kes harian telah meningkat 104% pada tempoh masa yang sama dan kadar kes positif hampir atau telah melebihi 7% pada minggu pertama bulan Jun. Sejak 29 Mei, jumlah kes harian telah menurun sebanyak 45% dan jumlah ujian saringan juga menurun 44%. Kadar kes positif telah meningkat tiga hari berturut-turut dan secara puratanya sebanyak 6.67% untuk 7 hari kebelakang. Di sesetengah negeri, kadar kes positif adalah setinggi 13%.
Pengiraan matematik tahap rendah sudah memadai untuk merungkai kesenjangan-kesenjangan ini. Jika semalam kita jalankan ujian saringan sebanyak 100,000, berkemungkinan besar jumlah harian kes COVID-19 akan melebihi paras 7,000 kes. Jika 150,000 ujian saringan, kadar kes positif kita akan mencapai 10,000 kes.
Amat mudah untuk mengelabui pandangan umum terkait parahnya situasi pandemik di negara ini melalui data yang selektif dan tidak seimbang. Ia juga tidak mustahil untuk data ini dimanipulasi bagi menggambarkan virus itu sedang merebak pantas bagi mewajarkan langkah darurat. Namun, tidak cukup pantas untuk mengakui kelemahan mereka dalam mengawal dan membendung wabak.
Adakah jumlah harian melebihi 10,000 kes? Satu-satunya cara untuk mempastikannya adalah melalui penggunaan data dan sains. Jika kita pergiatkan ujian dan mengesan kes-kes baharu, maka kita mampu untuk asingkan mereka, lakukan pengesanan kontak dan memberi dukungan perubatan kepada yang dijangkiti. Sebaliknya, jika kita pertingkatkan kadar ujian, dan tidak mengesan kes-kes baharu, maka logiklah untuk mengatakan penularan wabak ini sedang menurun. Ramai pakar perubatan telah membangkitkan persoalan ini, tetapi Kementerian Kesihatan tidak mempedulikannya, malah jawapan yang diberikan paling tidak masuk akal.
Jika kita tidak patuhi sains saat ini, dan itulah sikap kerajaan PN ini, maka pengorbanan rakyat Malaysia sepanjang tempoh PKP ini adalah sia-sia. Virus ini akan terus merempuh dan mengorbankan banyak nyawa. Warga yang miskin dan melarat akan terus menerima kesan besar dari wabak dan PKP, juga dalam masa yang sama yang kaya akan bertambah kaya, malah mungkin menerima manfaat dari krisis ini. Ini sangat tidak adil, dan ia adalah kesan langsung dari kebijakan kerajaan PN dan juga peranan Parlimen yang dilenyapkan.
Pertimbangan politik dan nafsu serakah individu akan terus mempengaruhi strategi membendung wabak, dan ini adalah jalan kehancuran kerana kesannya akan ditanggung rakyat, dan ekonomi negara akan terus merudum.
Harus ada perubahan tuntas dalam strategi membendung wabak. Salah satu cara untuk keluar dari pandemik ini adalah dengan bersandarkan kaedah saintifik, perkongsian data, ketelusan dan kebertanggungjawaban. Kita tidak akan berjaya tanpa kekuatan rakyat. Ini hanya akan berlaku bilamana kepercayaan dan keyakinan antara rakyat dan kerajaan dapat dipulihkan.
ANWAR IBRAHIM