Carian
June 25, 2021

Pengambilan Khas Guru KPM Secara “One Off” Perlu Berfasa Dan Penelitian

Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan (JKPPH) mengambil maklum pengumuman YB Menteri Kanan Pendidikan berkaitan pengambilan khas guru KPM secara “one off” seramai 18,702 orang. JKPPH menyambut baik langkah ini sekiranya ia dapat menyelesaikan isu kekurangan guru selama ini dan memberi peluang pekerjaan kepada ramai graduan yang sedang menganggur. Walau bagaimanapun, setelah melihat komentar daripada pelbagai pihak dan juga mempertimbangkan kenyataan ini daripada pelbagai sudut dan pendekatan berstruktur, beberapa perkara wajib perlu dilihat dengan lebih teliti sebelum sebarang keputusan dibuat:

1. Sepertimana yang ditekankan oleh NUTP dan ramai pihak, isu kualiti guru hendaklah diberikan keutamaan dan tidak sesekali digadaikan. Proses melahirkan murid-murid yang cemerlang akademik dan sahsiah haruslah bermula dengan pemilihan guru yang terbaik. Memilih guru yang berkualiti hendaklah diadakan secara terancang, teliti dan tidak tergesa-gesa.

2. Proses temu duga dan pemilihan calon guru untuk mengisi kekosongan lebih lapan belas ribu itu hendaklah dilaksanakan secara bersemuka bagi membolehkan individu yang benar-benar layak sahaja dipilih dan bukan sekadar melalui dalam talian dan tergesa-gesa. Justeru, pemilihan yang dilakukan secara tergesa-gesa melalui proses temu duga secara dalam talian sahaja dikhuatiri tidak dapat memilih calon guru yang benar-benar berkelayakan. Hal ini jika tidak diuruskan secara profesional hanya akan meletakkan masa depan kualiti keguruan negara ini di dalam bahaya.

3. Apakah nasib para pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) yang sedang menuntut di tahun akhir di universiti-universiti awam? Mereka bakal menamatkan pengajian dalam bidang perguruan pada seawal hujung tahun ini atau tahun hadapan, tetapi tempat mereka telah diisi oleh calon-calon yang bukan daripada bidang tersebut lantaran pengambilan terus secara beramai-ramai ini. Apakah KPM dan Majlis Dekan Fakulti Pendidikan Universiti Awam telah berbincang akan perkara ini

4. JKPPH mencadangkan supaya pengambilan ini dilakukan secara berhati-hati dan berfasa:

Fasa 1: Melantik secara tetap guru-guru interim yang kini sedang berkhidmat di sekolah dan telah memperolehi Diploma Pendidikan tetapi belum dipanggil untuk pengesahan jawatan.

Fasa 2: Mendahulukan penempatkan calon-calon guru dalam kalangan graduan PISMP dan ISMP yang telah pun berdaftar dengan MYSPP tetapi belum mendapat penempatan yang mana jumlahnya melebihi 16,000 orang.

Fasa 3: Membuat pemilihan dalam kalangan graduan bidang lain yang benar-benar berkelayakan bagi mengisi kelompangan yang masih ada.

5. JKPPH juga menyuarakan kebimbangan berkaitan persiapan tempat bagi latihan perguruan untuk bakal guru bukan ISMP. Kenyataan Rektor IPGM yang menyebut bahawa guru-guru ambilan khas ini akan dilatih oleh IPGM menimbulkan beberapa persoalan:

5.1 Kemudahan sedia ada di 27 IPG kampus adalah amat terhad untuk menampung pelajar yang ramai secara serentak. Ini kerana kemudahan setiap IPG Kampus hanya mampu menampung sekitar 800 orang pelajar sahaja dalam satu sesi akademik. Setiap IPG kampus sekarang telah mempunyai pelajar PISMP dan PDPP sedia pada tahap optima.

5.2. Kalendar akademik baharu IPG dengan sistem tiga semester juga telah menyebabkan cuti semester IPG tidak selari dengan cuti penggal persekolahan. Ini menyebabkan sistem latihan diploma pendidikan dengan mod kursus dalam cuti (KDC) bagi guru khas ini amat sulit untuk dilaksanakan kerana akan bertembung dengan semester pengajian PISMP yang sedang berjalan.

5.3. Masih banyak IPG Kampus yang menghadapi masalah kekurangan pensyarah kesan daripada pengambilan pensyarah baharu yang diberhentikan sebelum ini. Justeru proses pengambilan pensyarah baharu bagi semua IPG hendaklah diselesaikan dengan segera.
Justeru, JKPPH menggesa agar perbincangan secara menyeluruh di antara pihak KPM, IPGM, SPP dan Majlis Dekan Fakulti Pendidikan Universiti Awam diadakan secara tuntas dan telus sebelum apa-apa tindakan diambil. YB Menteri Kanan Pendidikan dan Timbalan-Timbalannya dinasihatkan agar tidak terburu-buru di dalam membuat keputusan yang populis tetapi mempunyai impak jangka masa panjang dan risiko yang besar kepada masa depan pendidikan negara.

“MEMULIHKAN NEGARA, MENGEMBALIKAN DEMOKRASI”

YB Dr Maszlee Malik, Pengerusi JK Pendidikan Pakatan Harapan (Ahli Parlimen Simpang Renggam)
YB Nik Nazmi Nik Ahmad (Ahli Parlimen Setiawangsa, KEADILAN)
YB Datuk Dr Hasan Bahrom (Ahli Parlimen Tampin, AMANAH)
YB Teo Nie Ching (Ahli Parlimen Kulai, DAP)
YB Natrah binti Ismail (Ahli Parlimen Sekijang, KEADILAN)
YB Steven Sim Chee Keong (Ahli Parlimen Bukit Mertajam, DAP)
YB Rusnah Aluai (Ahli Parlimen Tangga Batu, KEADILAN)

Related Posts
crossmenuchevron-up