Idea terhadap penyatuan parti-parti politik pembangkang menjelang Pilihanraya Negeri Johor (PRN) disambut baik oleh KEADILAN dan rundingan kerusi dan segala perancangan bersama parti komponen berjalan dengan baik.
Namun begitu, sifat angkuh dan sombong yang ditonjolkan rakan baru Pakatan Harapan iaitu MUDA kelihatan menjejaskan keharmonian dan seolah-olah wujud agenda tersembunyi yang lebih besar.
Walaupun perlu diakui bahawa ini adalah sebahagian proses demokrasi yang wajar dihormati, namun dalam membentuk kerjasama yang kuat dan utuh, ianya memerlukan keikhlasan dan kejujuran.
Jika MUDA tidak menggambarkan sikap toleransi yang baik dan tidak menghormati rakan, maka atas dasar prinsip demokrasi, KEADILAN juga wajar meletakkan calon di kerusi-kerusi yang telah selesai proses rundingan sebelumnya.
Sikap Syed Saddiq dan MUDA yang angkuh serta sombong tidak jauh bezanya jika dibandingkan dengan Bersatu pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.
Majlis Presiden Pakatan Harapan perlu meneliti semula rundingan dan kerjasama bersama MUDA, jangan biarkan pisang berbuah dua kali.
FARHASH WAFA SALVADOR