Carian
March 24, 2022

Apa Makna Politik Kekalahan Kerajaan Ismail Sabri Di Parlimen?

Pada petang Rabu 23 Mac 2022, buat pertama kali sejak Langkah Sheraton, Kerajaan telah mengalami kekalahan dalam pengundian di Parlimen.

Satu usul dibawa oleh Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin meminta Dewan Rakyat melanjutkan selama lima tahun lagi kuatkuasa Seksyen 4(5) Akta SOSMA untuk membolehkan Pihak Polis menahan tanpa bicara, tanpa di bawa ke hadapan Mahkamah selama 28 hari bagi seseorang yang ditahan di bawah Akta SOSMA.

16 orang ahli parlimen dari kerajaan dan pembangkang mengambil bahagian dalam perbahasan usul tersebut yang bermula dari jam 12 tengahari sehingga 4.00 petang diikuti dengan pengundian secara belah bahagi. Pihak Kerajaan mendapat 84 undi manakala Pihak Pembangkang mendapat 86 undi.

Ini adalah kekalahan pertama Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri di Parlimen. Kekalahan ini tidak memaksa Menteri Dalam Negeri atau Perdana Menteri meletakkan jawatan atau Kerajaan akan meminta Parlimen dibubarkan.

Tetapi tidak menghalang jika Menteri Dalam Negeri ingin mengambil tanggungjawab moral dengan meletakkan jawatan kerana kegagalannya mendapatkan kelulusan Dewan Rakyat terhadap satu usul penting yang berkaitan keselamatan iaitu SOSMA.

Mungkin secara kebetulan, mungkin tidak dirancang, tiga orang penting di pihak Kerajaan tidak hadir di Parlimen semasa pengundian, iaitu YB Pekan, YB Bagan Datuk dan YB Pagoh. Jika Najib, Zahid dan Muhyiddin hadir di Dewan Rakyat petang tadi dan mengundi menyokong usul tersebut sudah pasti Kerajaan Perdana Menteri Ismail Sabri tidak mengalami kekalahan, walaupun tipis tetapi amat memalukan selepas menang bergaya dalam Pilihanraya negeri Melaka, Sarawak dan Johor.

Kerajaan amat panik dengan kekalahan tidak disangka-sangka di Dewan Rakyat petang ini. Pada pagi ini, Timbalan Menteri yang menjaga hal ehwal Parlimen dan Undang-Undang, YB Mesjid Tanah mengemukakan usul di bawah Aturan Mesyuarat 12(1) bahawa sidang Dewan Rakyat hari ini tidak akan ditangguhkan sehingga selesai dibentangkan dan diputuskan Usul Menteri Dalam Negeri dan Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Perlembagaan Persekutuan.

Tetapi sebaik sahaja Kerajaan mengalami kekalahan dalam Usul yang dibawa oleh Menteri Dalam Negeri itu, maka dengan secepat kilat Timbalan Menteri YB Mesjid Tanah segera bangun mengemukakan usul terbaru iaitu menangguhkan mesyuarat Dewan Rakyat dengan serta merta.

Jelas sangat pihak Kerajaan berasa takut kalau hari ini Kerajaan akan kalah lagi dalam pengundian dalam pembentangan RUU Pindaan Perlembagaan Persekutuan yang memerlukan kelulusan dua pertiga ahli Dewan Rakyat.

Hassan Abdul Karim
Ahli Parlimen Pasir Gudang

Related Posts
crossmenuchevron-up