Respon balas Menteri Kanan Pertahanan Hishammuddin Hussein mengenai pencen dan kebajikan veteran Angkatan Tentera Malaysia adalah mengecewakan dan tidak ikhlas.
Nasib veteran Malaysia semakin mendapat perhatian, termasuk protes baru-baru ini di Tugu Negara oleh kira-kira 1,000 orang veteran.
Ia amat menyedihkan melihat para veteran tiada pilihan melainkan berdemonstrasi kerana mereka dinafikan kehidupan bermaruah selepas pengorbanan sekian lama.
Hishammuddin berkata isu ini tidak boleh diselesaikan oleh Kementerian Pertahanan secara sendirian, kerana ia ada kaitan dengan kemampuan kewangan negara.
Jelas ia adalah jawapan untuk lari daripada persoalan ini. Ya, kebajikan veteran, termasuk isu pencen, merentas tanggungjawab pelbagai Kementerian lain.
Namun, siapa lagi kalau bukan Kementerian Pertahanan harus menjuarai soal kebajikan veteran?
Tidak seperti sesetengah negara lain seperti Australia, Kanada, China dan Amerika Syarikat, Malaysia tidak mempunyai Kementerian Hal Ehwal Veteran.
Siapa lagi dalam kerajaan dan Kabinet, yang patut bertindak sebagai pejuang, penyokong dan pembela veteran jika bukan Menteri Pertahanan?
Para veteran yang turun ke Tugu Negara tidak meminta Hishammuddin mengibaskan tongkat sakti untuk menyelesaikan masalah mereka, sebaliknya, menunjukkan rasa prihatin, dan lebih penting inisiatif dan kepimpinan.
Sekurang-kurangnya Hishammuddin perlu berbincang, menggalakkan dan mendesak rakan-rakan dalam Jemaah Menteri untuk memberi tumpuan merumus dan kemudian melaksanakan penyelesaian kepada cabaran getir yang dihadapi veteran Malaysia.
Jika bukan Menteri Pertahanan yang sanggup mengetuai usaha mendesak bagi membantu bekas-bekas perajurit kita, siapa lagi?
Beliau telah menjadi Menteri yang telah memegang portfolio ini dari 2013—2018 dan sekali lagi dilantik pada tahun 2021.
Beliau telah menjadi Menteri Penuh sejak 1999 (kecuali tempoh pendek 2018-2020), maka sepatutnya masak dan mengerti dengan proses kerajaan.
Apa peluang yang veteran ada?
Apakah rancangan kerajaan ini untuk veteran? Tidak lama selepas menjadi Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob berkata pada Ogos 2021 beliau akan mengkaji cadangan bagi memastikan semua veteran mendapat pencen.
Pada Mei 2021, Hishammuddin menjanjikan “berita baik” tentang pengampunan kesalahan tentera dan penambahbaikan pencen balu tentera.
Apa terjadi kepada kajian dan berita baik yang diuar-uarkan ini?
Hari, minggu dan bulan berlalu, dan penderitaan veteran kita berterusan.
Di mana rasa mustahaknya? Di mana kepimpinannya?
Tidak hairanlah veteran kita berasa terabai dan tidak berpuas hati.
NIK NAZMI NIK AHMAD
AHLI PARLIMEN SETIAWANGSA