Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin meremehkan kenyataan saya bahawa Pakatan Harapan telah membuat keputusan untuk tidak menjalankan kerjasama dengan PN. Katanya itu pendapat peribadi saya, bukan keputusan PH.
Yang jadi Timbalan Presiden KEADILAN dan duduk dalam Majlis Presiden PH adalah saya. Yang tahu apa keputusan PH dia.
Ada beberapa perangai pimpinan-pimpinan dalam PN yang masih belum dicuci sepenuhnya walaupun mereka mahu memimpin negara.
Pertama, mereka memandang rendah mereka yang lebih muda. Walaupun saya sudah berusia 45 tahun, telah berada dalam barisan kepimpinan KEADILAN sejak berusia awal 20an, di mata Muhyiddin saya hanya budak hingusan.
Sebab dalam PN, orang muda ini fungsinya bukan untuk membuat keputusan. Fungsi pimpinan berumur 40an ke bawah dalam PN hanyalah mengikut telunjuk mereka yang dua atau tiga dekad lebih tua. Ini budaya parti yang cuba menarik undi anak-anak muda yang menjadi majoriti pengundi kali ini.
Kedua, mereka pakar dalam bab-bab runding belakang. Pendirian rasmi parti lain mereka tidak hormat atau terima kerana mereka percaya mereka boleh berurusan dengan watak-watak tertentu yang sama berkepentingan seperti mereka.
Mereka bangga dengan budaya runding belakang yang membelakangi parti-parti lain ini kerana budaya inilah yang membolehkan Muhyiddin jadi Perdana Menteri. Mereka tidak hormat soal mandat, soal pilihan rakyat atau pilihan akar umbi parti. Mereka tidak hormat demokrasi.
Keputusan untuk memberi noktah kepada sebarang perbincangan bekerjasama dengan PN ini ialah keputusan Majlis Presiden PH yang terakhir. Keputusannya ialah PH akan menguatkan gabungan ini dan masuk PRU15 sebagai PH. Noktah.
Kalau ada satu dua orang pimpinan dari parti-parti dalam PH yang masih mahu berbincang dengan PN, itu pandangan peribadi mereka. Kalau Muhyiddin yakin akan ada Azmin kedua dalam PH, itu juga hak beliau.
Sebarang pandangan peribadi mana-mana pemimpin dalam parti-parti PH tidak akan mengikat keputusan bersama Majlis Presiden PH yang telah memberikan noktah kepada PN.
Rasional utama keputusan ini kerana kita tahu pelawaan PN untuk bekerjasama dengan PH bukanlah untuk menyelamatkan negara, seperti yang didakwa Muhyiddin. Ia untuk menyelamatkan jawatan dan kedudukan mereka yang mendapat jawatan hasil dari mengkhianati mandat rakyat dalam PRU14.
Rekod pentadbiran PN juga tidak baik.
Semasa watak-watak yang kini menjadi menteri PN berada dalam kerajaan PH dahulu, watak-watak inilah yang mengundang kekecewaan rakyat terhadap PH. Azmin Ali gagal sebagai menteri ekonomi, sumbangan terbesar Redzuan Yusof (Pak Wan) hanyalah idea kereta terbang. Sehingga sekarang PH dipersalahkan atas kebodohan idea watak-watak PPBM yang kini berada dalam PN.
Seorang lagi watak PN, Rina Harun dilantik menjadi Menteri Pembangunan Luar Bandar yang mengawal agensi-agensi penting yang sepatutnya boleh mengubah kehidupan rakyat di desa. Sehingga sekarang, tidak ada sebarang idea baru yang pernah diketengahkan Rina Harun. Yang hanya berubah penampilan Rina Harun, rakyat desa hidupnya sama.
Semua menteri-menteri besar dari PPBM kecundang dan sudah dilupakan kini. Tidak ada seorang pun menteri-menteri besar PPBM yang pentadbirannya ada kesan berpanjangan kepada rakyat.
Portfolio PTPTN juga diambil oleh PPBM. Pengerusi PTPTN adalah orang kuat PPMB. Kegagalan PPBM menjaga portfolio PTPTN itu juga yang digunakan sebagai peluru oleh UMNO dan BN.
Muhyiddin memberi alasan negara perlu diselamatkan dari UMNO dan BN sebagai alasan untuk bekerjasama dengan PH. Kata Muhyiddin, kalau tidak kita berdepan dengan rasuah, penyelewengan kuasa dan lain-lain.
Sedang Muhyiddin takut dengan rasuah dan penyelewengan kuasa UMNO, Muhyiddin juga yang menerima ahli-ahli Parlimen UMNO yang terpalit dengan rasuah masuk ke PPBM demi untuk beliau menjadi Perdana Menteri.
Muhyiddin takut dengan kerosakan yang akan dibawa UMNO, tetapi Muhyiddin dan PN juga yang membentuk kerajaan bersama-sama dengan UMNO. Perdana Menteri dan menteri-menteri kanan sekarang bukan dari PH, mereka dari UMNO.
Lebih baik Muhyiddin menyatakan secara terbuka PN ingin bekerjasama dengan PH demi kepentingan peribadi dan kuasa (bukan untuk kepentingan negara) sebab kami tidak bodoh.
Kami mungkin muda tapi kami tidak bodoh.
KEADILAN dan PH akan terus meyakinkan rakyat melalui usaha kami menentang rasuah, membasmi politik kebencian perkauman dan membawa idea-idea baru untuk menyelesaikan masalah rakyat.
Kalau kami jadi kerajaan, kami akan tadbir kerajaan dengan prinsip dan pendekatan kami. Kalau kami kekal pembangkang, kami akan pastikan kerajaan tidak sakau duit rakyat.
Itu lebih bermaruah dari berpakat hanya untuk mendapat kuasa.
RAFIZI RAMLI