Parti Keadilan Rakyat telah menetapkan garis masa ke arah memuktamadkan calon-calon untuk Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15) menjelang mesyuarat Suruhanjaya Pilihanraya untuk menetapkan tarikh penamaan calon dan hari mengundi.
Oleh itu, calon-calon KEADILAN akan dimuktamadkan selewat-lewatnya 19 Oktober 2022.
Sentimen pengundi sejak dua tahun lalu menunjukkan keputusan pengundi bukan lagi dipengaruhi oleh parti yang bertanding semata-mata. Kaji selidik menunjukkan secara konsisten bahawa faktor kewibawaan calon menyumbang 50% dari keputusan pengundi.
Oleh itu, mengambil kira sentimen pengundi yang menuntut mutu calon-calon yang lebih baik dari parti-parti yang bertanding, KEADILAN memperkenalkan proses saringan dan penilaian calon yang lebih telus, seragam, objektif dan demokratik.
Tatacara saringan dan penilaian calon yang digunakan dihuraikan secara terperinci di dalam Pekeliling JPRP Bil 2/2022 yang dilampirkan bersama.
Prinsip-prinsip yang diguna pakai untuk memastikan proses saringan dan pemilihan calon kali ini dapat melonjakkan kewibawaan calon-calon yang diketengahkan (seperti yang dihuraikan di dalam Pekeliling) adalah seperti berikut:
1. Proses saringan dan penilaian adalah lebih telus supaya pengundi, anggota parti dan bakal calon tahu kriteria dan proses pemilihan
2. Pemilihan calon adalah lebih demokratik dengan melibatkan semua peringkat dalam dan luar parti untuk memastikan pandangan seberapa banyak pihak (pengundi, pimpinan akar umbi dan pimpinan pusat) diambil kira
3. Senarai pendek calon ditentukan bersama oleh satu Jawatankuasa Calon yang dipengerusikan oleh Timbalan Presiden dan Naib-naib Presiden
4. Kriteria penilaian calon adalah lebih adil dan terbuka seperti di bawah:
KRITERIA
PEMBERAT (%)
Rekod berkhidmat di dalam parti, termasuklah:
i) Senarai kekananan (seniority) di dalam struktur parti mengambil kira penglibatan dan tanggungjawab di peringkat pusat, negeri dan cabang.
ii) Pencalonan rasmi yang diputuskan bersama secara sah di peringkat cabang, MPP Angkatan Muda atau Wanita.
30%
Kekuatan jentera pilihanraya yang telah dibina dan prestasi kempen lapangan untuk memenangi pengundi berdasarkan data jumlah sukarelawan/ petugas dan kekerapan aktiviti lapangan di kerusi-kerusi yang ingin ditandingi (seperti terkandung di dalam rekod aplikasi pilihanraya CISTA).
20%
Keterampilan dan kesesuaian menjadi wakil rakyat dengan mengambil kira latar pendidikan, kelayakan dan pengalaman profesional, kepakaran yang boleh menyumbang nilai tambah kepada keberkesanan sebagai wakil rakyat dan kewibawaan peribadi.
20%
Sumbangan kepada masyarakat di luar politik dalam pelbagai bentuk termasuk kerja-kerja sukarelawan, pakar dalam industri dan bidang tertentu, kepimpinan badan bukan kerajaan (NGO) dan seumpamanya.
20%
Capaian media sosial untuk mengukur kemahiran berkomunikasi dan sebaran maklumat dengan orang ramai.
10%
5. Senarai pendek calon-calon yang dikemukakan kepada Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk dimuktamadkan telah melalui proses saringan dan penilaian yang rapi
KEADILAN mengucapkan terima kasih kepada ribuan rakyat Malaysia yang tampil menyatakan minat untuk menjadi calon. Jumlah pendaftaran di laman www.calonkeadilan.org setakat jam 10 pagi ini adalah 1,673 calon.
Sekretariat Calon kini sedang menapis dan memberi pemarkahan awal supaya semua calon-calon berpotensi mula dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Calon pada malam ini.
Saya berpendapat tumpuan rakyat untuk membezakan parti-parti yang bertanding dalam PRU15 adalah kepada kewibawaan, kepelbagaian, kemahiran profesional dan kesesuaian calon-calon yang diketengahkan.
Ini menjadi salah satu niche yang akan diberi tumpuan oleh KEADILAN untuk membezakan kami dari parti-parti dari BN dan PN.
https://drive.google.com/.../1Kyx.../view...
Pengarah Jabatan Pilihanraya KEADILAN merangkap Timbalan Presiden KEADILAN
Pertanyaan:
Pengarah Komunikasi & Jurucakap Jabatan Pilihanraya KEADILAN