Carian
July 6, 2021

Tiga Cadangan Penambahbaikan Institusi PDRM Bagi Menghadapi Cabaran Semasa

PDRM menghadapi cabaran yang besar dari segi kelengkapan aset dan logistik, gaji, kebajikan dan latihan anggota untuk menjalankan tugas penguatkuasaan undang-undang dan membanteras jenayah. Setiap anggota polis telah membuat pengorbanan dan mengambil risiko sebagai petugas barisan hadapan, tugas ini dirumitkan oleh pandemik Covid-19.

Justeru, kami membuat tiga cadangan penambahbaikan institusi kepolisan yang dipetik daripada Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia yang dipengerusikan oleh Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah pada 2005 (Laporan Tun Dzaiddin). Selepas 16 tahun, isu pokok dalam laporan ini masih belum dilaksanakan.

Tiga isu tumpuan untuk penambahbaikan PDRM yang harus disegerakan:

Pertama, memodenkan peranan PDRM untuk menghadapi cabaran semasa.

Perubahan iklim sosio-politik berkenaan kepolisan harus disusuli dengan usaha memodenkan PDRM bagi mengambilkira masyarakat yang lebih peka dengan hak mereka dan celik media sosial.

Daripada melihat polis sebagai satu pasukan, kita memerlukan anjakan minda untuk melihat pasukan polis sebagai satu perkhidmatan.

"PDRM must see itself more as a ‘service’ than as a ‘force’ and the guardian of the people’s rights though it will need to retain some of its paramilitary capabilities and characteristics..." - Laporan Tun Dzaiddin, Teras Strategik 2.2

Tugas pentadbiran boleh di-sumberluarkan kepada penjawat awam supaya membolehkan PDRM memberi fokus kepada fungsi utama - menjaga ketenteraman awam. Sumber manusia PDRM harus ditumpukan kepada ‘investigative policing’ (pengesanan, siasatan dan pendakwaan pesalah) dan mengurangkan tugas yang tidak memerlukan kemahiran kepolisan, atau diperalatkan oleh kuasa politik.

Dalam jangka panjang, pendekatan untuk menyah-pusatkan (decentralise) punca kuasa polis dapat mengeratkan hubungan polis dengan masyarakat. Bilangan polis bantuan di peringkat negeri dan tempatan harus ditambah, dan mengerakkan pengawasan komuniti (community policing) dengan kerjasama komuniti setempat dan sektor swasta.

Kedua, menjaga kebajikan anggota PDRM. Kerajaan harus mengutamakan isu kebajikan anggota polis seperti penggajian, peluang kenaikan pangkat dan penagihan sumber manusia dalam PDRM. Premis perumahan dan tempat kerja anggota PDRM perlu dinaiktaraf kepada tahap yang memuaskan.

"The performance of an organisation finally rests on the quality of its human resources and the way it is managed and developed." - Laporan Tun Dzaiddin, Teras Strategik 12.1

Pelantikan pegawai atasan PDRM tidak harus ditentukan oleh unsur-unsur politik. Lantikan jawatan penting dalam PDRM perlu melibatkan hakim bersara dan parlimen, Menteri Dalam Negeri tidak sepatutnya menjadi pengerusi.

PDRM harus dipertahankan sebagai badan bebas dan telus untuk memastikan bahawa ia boleh mengawal jenayah, membasmi korupsi dan mematuhi undang-undang. Ketiga, mekanisme yang telus untuk menangani aduan salahlaku polis. Untuk menjadikan PDRM sebagai sebuah pasukan profesional yang dihormati, kita harus menekankan dasar yang tidak bertolak ansur terhadap rasuah, keganasan dan salahlaku polis.

PDRM mesti diberi ruang dan sokongan untuk melaksanakan mandat, dalam masa yang sama PDRM harus menghormati undang-undang sedia ada ketika menjalankan tugas.

“…PDRM must continue to uphold the law, maintain law and order and combat crime, but must pursue these ends in compliance with human rights, restricting and infringing upon them only when necessary and permissible.” - Laporan Tun Dzaiddin, Teras Strategik 2.2

Strategi proaktif anti-rasuah dalam Laporan Tun Dzaiddin termasuk menggunakan kombinasi pendidikan dan latihan, melenyapkan peluang rasuah dalam sistem, penukaran tugas (job rotation) yang kerap dan juga mekanisme tetap seperti Suruhanjaya Siasatan Bebas.

Peranan PDRM bukan hanya sebagai penguatkuasa undang-undang tetapi juga sebagai penjaga (custodian) yang memberi khidmat kepada masyarakat. PDRM bukan alat politik untuk kegunaan kerajaan menakutkan rakyat. Reformasi institusi yang holistik dan menyeluruh adalah wajib untuk memastikan bahawa PDRM menjadi perkhidmatan yang diyakini dan dihormati.
SYED IBRAHIM SYED NOH (PKR)

YB FAIZ FADZIL (AMANAH)

SYAHREDZAN JOHAN(DAP)

Related Posts
crossmenuchevron-up