Carian
August 31, 2021

6 Cadangan Untuk Menyelamatkan Ekonomi Dan Menjamin Kesejahteraan Rakyat

KENYATAAN MEDIA YB DATO’ ABDUL HALIM HUSSAI EXCO PERDAGANGAN, INDUSTRI & PEMBANGUNAN USAHAWAN SEMPENA SAMBUTAN ULANG TAHUN KEMERDEKAAN KE-64 MALAYSIA

MERDEKA DARI WABAK COVID-19!
MERDEKA DARI KEMELESETAN EKONOMI!
MERDEKA DARI POLITIK YANG TIDAK MANFAATKAN RAKYAT!

30 Ogos 2021

64 tahun yang lalu, laungan Bapa Kemerdekaan di Dataran Merdeka menandakan kebebasan Malaya daripada jajahan British. 31 Ogos adalah hari keramat buat semua warga Malaysia tanpa kira kaum dan identiti, di mana kita menghayati pencapaian sejak kemerdekaan dan nikmat yang dikecapi hasil daripada perjuangan bapa-bapa pengasas negara.

Pada saat kita menghayati jiwa kemerdekaan dan mengibarkan Jalur Gemilang, keadaan pandemik Covid-19 di Malaysia masih berada di tahap yang genting dan membimbangkan, terutamanya di beberapa negeri seperti Pulau Pinang. Masyarakat Malaysia terpaksa mengharungi cabaran krisis tiga serangkai, iaitu krisis kesihatan, politik dan ekonomi pada ketika angka harian kes Covid-19 terus melonjak.

Meskipun negeri Pulau Pinang telah mencatat penularan kes Covid-19 yang tinggi kebelakangan ini, penularan jangkitan Covid-19 dan kes kemasukan pesakit ke ICU mula menunjukkan tanda penurunan di Lembah Klang dan juga Negeri Sembilan. Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham, tanda-tanda awal positif ini adalah kesan daripada kadar vaksinasi yang semakin di Lembah Klang.

Saya berpandangan bahawa usaha yang sama perlu dipraktikkan di kawasan luar Lembah Klang terutamanya di negeri-negeri yang masih mencatatkan kadar vaksinasi yang rendah. Setakat ini, hanya Wilayah Persekutuan Labuan dan dua negeri yang lain berada di Fasa 4 dan Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN). Efisiensi vaksinasi sepatutnya diperkasakan dengan koordinasi semua jabatan diperingkat negeri dan nasional agar pembukaan semula semua sektor ekonomi dan sosial disegerakan. Kadar pengangguran yang kembali meningkat pada kadar 4.8 peratus Jun lalu diiringi peningkatan kes tekanan mental, kemurungan dan bunuh diri telah menunjukkan kewajaran pembukaan sektor ekonomi dan sosial demi menyelamatkan mata pencarian, kesihatan dan kehidupan rakyat supaya normalisasi dapat dikembalikan sungguhpun dengan norma baharu seperti pematuhan SOP.

Pada masa yang sama, kerajaan perlu mengimbangkan antara keselamatan rakyat dan ekonomi negara, apabila Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) sebelum ini membayangkan bahawa hampir separuh daripada 1.15 juta perusahaan mikro, kecil dan sederhana akan berisiko gulung tikar sekiranya sektor ekonomi kekal tutup sehingga bulan Oktober.

Walaupun mantan Perdana Menteri telah mengumumkan kelonggaran untuk penerima vaksin lengkap dan memperluaskan lagi kemudahan sektor sosial dan ekonomi bagi negeri-negeri di bawah Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) hakikatnya ialah banyak lagi sektor yang tidak dibenarkan untuk beroperasi pada ketika ini terutamanya di negeri-negeri di bawah Fasa 1 dan 2 PPN.

Sehubungan itu, saya menyaran agar kerajaan mempertimbangkan 6 cadangan di bawah untuk menyelamatkan ekonomi dan menjamin kesejahteraan rakyat dengan tidak mengabaikan keselamatan masyarakat:

1. Semua perkhidmatan dan perniagaan adalah perlu (essential).

Dengan pemberian vaksin yang telah dan menghampiri 80 peratus untuk dos satu dan 50 peratus dos dua di kebanyakan negeri semua sektor perkhidmatan perlu dipertimbangkan untuk pembukaan semula dengan pematuhan garis panduan dan SOP yang ketat. Ini memandangkan semua sektor perkhidmatan juga adalah penyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara. Penutupan sebahagian sektor ini yang dianggap bukan keperluan utama atau ‘non-essential’ hampir 4 bulan telah melumpuhkan perniagaan sektor ini. Pengusaha dan rakyat yang yang bekerja dari sektor perkhidmatan yang diklasifikasikan bukan keperluan utama perlu dibenarkan membuka perkhidmatan dan kembali bekerja bagi menampung kos sara hidup akibat kehilangan pendapatan dalam tempoh ini. Contohnya, pengusaha dan pekerja fasiliti sukan, gimnasium, futsal, taman tema, zoo, premis pelancongan, tempat hiburan dan sektor pembinaan swasta yang sebahagiannya belum dibenarkan dibuka.

Kerajaan sepatutnya menyelaraskan garis panduan dan SOP untuk pembukaan semua sektor ekonomi, sedangkan pelancongan dalam negeri telah dibenarkan untuk penerima vaksin lengkap.

2. Kebajikan pekerja perlu dijamin.

Kerajaan mesti memastikan keberkesanan mekanisme untuk melindungi para pekerja yang telah dijangkiti Covid-19 daripada eksploitasi majikan. Para pekerja yang telah dijangkiti Covid-19 tidak patut dipotong gaji sewaktu menjalani tempoh kuarantin. Hal ini dapat mengelakkan para pekerja daripada tidak melaporkan kes jangkitan diri kepada majikan disebabkan ketakutan hukuman atau kehilangan kerja. Majikan perlu memberi jaminan gaji pekerja tidak dipotong jika mereka tidak hadir akibat tidak sihat.

3. Penetapan harga siling kit ujian kendiri Covid-19 pada harga yang berpatutan.

Kini, harga pasaran kit ujian kendiri Covid-19 sekitar RM25 hingga RM39 adalah terlalu mahal. Bukan semua lapisan masyarakat mampu memiliki kit ujian tersebut untuk saringan dari semasa ke semasa, terutamanya golongan B40. Sebaliknya di luar negara seperti di Eropah dan Jerman, kit ujian kendiri ini hanya dijual pada harga yang sangat rendah iaitu 1 Euro bersamaan RM5. Ada juga negara jiran seperti Singapura yang membekalkan kit percuma kepada rakyat.

Kerajaan perlu menetapkan suatu harga siling yang berpatutan di bawah RM10 untuk setiap kit ujian kendiri Covid-19 di pasaran. Selain itu, kerajaan juga boleh mempertimbangkan subsidi untuk keluarga B40 supaya tidak membebankan lagi golongan ini.

4. Wujudkan pusat panggilan atau ‘call centre’ yang efektif bagi mengendalikan kes-kes kecemasan dan memperlengkapkan kemudahan fizikal dan peralatan hospital siapsiaga menampung keperluan kes-kes Covid-19.

Kebelakangan ini, banyak kejadian kematian yang dilaporkan akibat daripada kelewatan menerima rawatan Covid -19 dan ‘Brought In Death’ di hospital.

Untuk mengelakkan mangsa Covid-19 daripada sebarang kelewatan dalam penerimaan rawatan, kerajaan dan agensi berkenaan perlu mempertingkatkan keberkesanan pusat panggilan (call centre) yang sedia ada supaya setiap panggilan daripada individu yang dijangkiti atau menghadapi simptom dapat dijawab dalam kadar segera.

Kerajaan patut menambahkan bilangan sumber manusia sekiranya diperlukan di setiap pusat panggilan bahkan fasiliti perubatan supaya nyawa rakyat dapat diselamatkan segeranya.

5. Galakkan masyarakat tanpa tunai (cashless society) sebagai persediaan pembukaan semua sektor ekonomi.

Bagi menyiapsedia masyarakat Malaysia ke arah kehidupan bersama-sama Covid-19, kerajaan perlu menggalakkan penggunaan sistem tanpa tunai untuk setiap pembayaran dalam kehidupan seharian rakyat sebelum pembukaan semula semua sektor ekonomi dan sosial.

Ini bukan sahaja membawa negara kita ke arah negara maju bahkan juga mewujudkan persekitaraan yang selamat untuk mesyarakat kembali kepada kehidupan biasa.

6. Penambahbaikan sistem pendidikan di bawah pandemik agar kualiti pendidikan tidak terjejas.

Ketidaktentuan dasar dalam pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (PdPR) oleh kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan telah mengakibatkan kualiti pendidikan para pelajar terjejas, terutamanya pelajar dari keluarga B40.

Ramai pelajar dari keluarga B40 yang tidak berkemampuan untuk memiliki peranti bagi tujuan PdPR terpaksa mengabaikan pelajaran. Ada yang terpaksa berkongsi sebuah peranti dalam keluarga besar yang beranak ramai. Kerajaan seharusnya memastikan setiap keluarga atau pelajar memiliki peranti yang secukupnya sebagai persediaan untuk pelaksanaan PdPR dengan berkesan.

Selain itu, kerajaan juga perlu memastikan jaringan internet mampu dicapai di setiap kawasan kerana faktor internet yang tidak stabil telah menjejaskan keberkesanan pelaksanaan sistem PdPR khususnya di kawasan pedalaman.

Akhir kata, setelah sekian lama kita bertarung dengan musuh yang tidak kelihatan, tiba masanya untuk kita membina sebuah negara yang berdaya tahan supaya nyawa rakyat dan ekonomi dapat dijamin pada ketika kita terpaksa meneruskan kehidupan bersama dengan wabak Covid-19. Langkah-langkah pembukaan semula ekonomi negara dan sektor sosial wajar dipraktikkan dengan lebih fleksible tanpa mengabaikan pematuhan SOP yang ketat dari semasa ke semasa. Semoga rakyat dan negara kita memiliki jiwa yang kental dalam mengharungi pelbagai cabaran pada masa yang sukar ini.

Selamat menyambut Ulang Tahun Kemerdekaan yang ke-64, Malaysia tanah airku!

YB DATO’ ABDUL HALIM HUSSAIN

Related Posts
crossmenuchevron-up