Angkatan Muda Keadilan (AMK) melahirkan rasa kecewa dengan sikap Kementerian Belia dan Sukan yang dilihat seperti menindas para atlet yang banyak menyumbang kepada negara.
Dua hari lalu saya mempersoal tindakan Majlis Sukan Negara (MSN) memberhentikan 144 atlet daripada Program Latihan MSN termasuk atlet yang pernah mencipta sejarah untuk negara di peringkat antarabangsa.
Hari ini sekali lagi kita dikejutkan dengan pendedahan atlet 110m lari berpagar, Rayzam Shah Wan Sofian yang memberitahu elaun beliau telah dikurangkan dari Rm2,000 sebelum ini kepada hanya Rm800.
Beliau merupakan pemenang pingat emas acara 110m lari berpagar sukan SEA sebanyak 2 kali dan pingar perak sekali. Kata Rayzam dia memang terkilan dengan pemotongan tersebut dan dengan kadar sebegitu sudah pasti atlet sepetinya akan berdepan cabaran untuk memenuhi keperluan hidup seharian.
Mungkin di mata Kementerian Belia dan Sukan mereka ini hanya ahli sukan namun di mata rakyat mereka ini adalah wira negara yang mengharumkan nama negara bukan sahaja di asia malah di peringkat dunia.
Adakah ini balasan kepada mereka setelah mereka mengorbankan masa dan tenaga demi mengangkat nama negara dipersada pentas dunia?
Ketika mereka memenangi pingat dan lagu negaraku dilainkan di podium, mereka ini disanjung tinggi. Namun hari ini kerajaan melakukan kepada mereka seperti tidak bernilai.
Kita faham prestasi sukan negara merundum kerana kita berdepan dengan pandemik. Namun jangan jadikan ini alasan untuk menghukum mereka. Tindakan ini tidak akan memperbaiki mutu sukan negara tetapi hanya mengeruhkan lagi keadaan.
Menjadikan contoh isu gaji pemain bola sepak yang menjadi punca prestasi merundum, ini bukanlah langkah terbaik dari KBS mahupun MSN. Ini hanya menyukarkan MSN mencari pelapis atlet negara untuk masa depan.
Saya menggesa kerajaan mengambil serius perkara ini serta mempertimbangkan semula untuk membatalkan pemotongan elaun kepada atlet ini.
Di peringkat kerajaan pula mengurangkan peruntukan kepada industri sukan atas alasan untuk memberi fokus kepada memerangi pandemik sangat tidak bersesuaian dengan tindakan kerajaan hari ini apatah lagi pembaziran demi pembaziran dapat dilihat terutama dalam isu pantikan duta-duta khas bertaraf menteri yang hanya merugikan jutaan wang negara tanpa sebarang hasil.
CHUA WEI KIAT
ADUN RAWANG
SETIAUSAHA PENGELOLA AMK
KETUA AMK SELANGOR