Angkatan Muda Keadilan (AMK) menzahirkan kebimbangan atas insiden terbaharu yang dilaporkan berlaku di salah sebuah rangkaian kedai serbaneka KK Mart di Perak. Tindakan khianat menggunakan bom petrol oleh pihak tidak bertanggungjawab tersebut dikhuatiri adalah respon terhadap insiden yang melibatkan isu penghinaan ke atas kalimah suci Allah tempoh hari.
Kita sedia maklum berkenaan insiden cetakan kalimah suci Allah pada stoking yang dijual oleh sebuah pasaraya KK Mart baru-baru ini telah memberi impak kepada masyarakat seluruh negara khususnya umat Islam apa lagi ketika kita sedang berada di dalam bulan Ramadhan.
Namun seperti yang ditekankan sebelum ini, kita tidak boleh bertindak di luar batas undang-undang dan rasional sebagai masyarakat. Kami khuatir insiden terbaharu di Perak tersebut menjadi pemulaan kepada keresahan awam yang tidak dapat dikawal. Oleh yang demikian, kami memohon pihak berkuasa untuk segera mengambil tindakan yang sewajarnya.
Kerajaan dan pihak berkuasa telah pun mengambil langkah tegas dengan mengenakan tindakan ke atas pihak terlibat termasuklah pendakwaan oleh Jabatan Peguam Negara dan serbuan premis oleh pihak berkuasa. Hari ini, pihak KK Mart turut didakwa di bawah Kanun Keseksaan di Mahkamah Sesyen kerana melukakan perasaan umat Islam.
Namun, segelintir pihak yang seharusnya memelihara keharmonian masyarakat yang kebanyakannya terdiri daripada pimpinan-pimpinan parti politik telah bersikap tidak wajar dan rasional kerana terus menunggang isu ini sehingga mengakibatkan berlaku kegiatan ekstrimisme dan perbuatan melampau.
AMK menolak sikap dan tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang menyemai benih kebencian melampau tanpa memikirkan akibat yang jauh lebih memudaratkan dalam kalangan masyarakat. Sebagai pemimpin sebuah negara berbilang kaum, sikap dan tindakan yang berlebih-lebihan sehingga menyebabkan kekacauan dan ancaman terhadap keharmonian masyarakat atas alasan apa sekalipun adalah perbuatan yang tidak bertanggungjawab dan sentiasa merugikan.
Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim sudah menegaskan agar segala keputusan hendaklah mengikut jalur hukum. Umat Islam sepertimana ditegaskan oleh Perdana Menteri perlu menjadi pendakwah bukannya “Qadhi” yang menjatuhkan hukuman. Perbuatan-perbuatan yang melebihi garis hukum negara akan membawa malapetaka lebih besar ke atas keamanan negara ini.
Mengambil teladan daripada hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim iaitu Baginda Nabi Muhammad SAW bersabda sebanyak tiga kali "musnahlah golongan yang melampau." Justeru, ini mengingatkan kita agar tidak mengambil sikap yang melampau dalam setiap tindakan dan perbuatan sehingga mencemar kemuliaan agama.
AMK mengakui kesan mudarat insiden penghinaan kalimah suci tersebut kepada rakyat Malaysia yang terkesan khususnya yang beragama Islam. Ia adalah insiden yang tidak boleh diterima. Namun begitu, kami yakin dengan kredibiliti pihak berkuasa dan menyerahkan sepenuh kepercayaan kepada mereka dalam menangani isu ini mengikut lunas undang-undang.
Kami menyeru pemimpin politik untuk menjadi suri teladan, bukan pencipta sempadan.
ANGKATAN MUDA KEADILAN MALAYSIA