Saya menyambut baik kenyataan YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menyeru anak muda untuk menjadi jurubicara kepada suara hati rakyat pelbagai bangsa demi mempertahankan kebenaran dan menegakkan keadilan.
Kenyataan ini amat tepat pada masanya, memandangkan peranan anak muda semakin penting dalam membawa perubahan dan membela nasib masyarakat, terutamanya golongan yang masih terpinggir.
Anak muda adalah tunjang masa depan negara. Idealisme dan semangat yang mereka miliki adalah aset yang berharga dalam mencorakkan masa depan Malaysia.
Justeru, saya menyeru anak muda untuk terus berani mencabar status quo dengan idea-idea baru, inovatif, dan progresif demi memastikan isu-isu rakyat seperti kemiskinan, pendidikan, dan pembangunan luar bandar diberi perhatian utama.
Namun, saya juga ingin menegaskan bahawa menjadi pemimpin muda bukanlah sekadar bergantung pada usia tetapi juga prinsip dan idealisme. Malangnya, ada segelintir tokoh muda yang memilih untuk mempertahankan perasuah dengan menormalisasi penyelewengan atas nama politik sempit, serta memainkan sentimen perkauman. Mereka ini sebenarnya mengkhianati semangat perjuangan anak muda yang tulus untuk membawa perubahan. Pemimpin seperti ini hanya akan
memecahbelahkan masyarakat dan menjejaskan pembangunan negara.
Oleh itu, saya menyeru agar anak muda di seluruh negara lebih berhati-hati dalam memilih pemimpin. Pilihlah mereka yang berintegriti, berprinsip, dan benar-benar memperjuangkan kepentingan rakyat, bukannya mereka yang hanya menjadi alat kepada kepentingan golongan tertentu.
Semoga anak muda terus menjadi pemangkin kepada Malaysia yang lebih makmur, adil, dan bersatu padu dengan menjunjung tinggi prinsip integriti dan berusaha membawa perubahan demi kesejahteraan semua lapisan masyarakat.
Dr. Mohammed Taufiq Bin Johari
Ahli Parlimen Sungai Petani
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Kedah