Saya menyambut baik inisiatif Jepun untuk menganjurkan persidangan mengenai kerjasama antara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD) pada Julai 2025.
Persetujuan Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia, untuk menyokong inisiatif berkenaan dan bersama-sama mempengerusikan mesyuarat menteri juga amat bermakna terutama dalam keadaan di mana seolah-olah tidak jelas halatuju dan masa depan Palestin sebagai negara merdeka.
Kerjasama sedemikian meskipun pra-syaratnya ialah gencatan senjata dan penamatan perang, namun memberi isyarat optimistik bahawa kebijakan dan kerjasama antara negara tetap waras terkait pembelaan rakyat, kebebasan, keamanan dan keadilan sejagat.
Sejajar dengan itu, saya berharap ASEAN dengan Malaysia sebagai Pengerusinya tahun ini, akan turut memainkan peranan lebih aktif sebagai jambatan penghubung antara Asia Tenggara, Asia dan Asia Barat demi keamanan, kestabilan serantau dan kebebasan ekonomi seperti yang dinyatakan oleh Ishiba, Perdana Menteri Jepun.
Pada masa yang sama, inisiatif lebih tangkas amat wajar digerakkan untuk menyingkirkan negara pengganas Israel daripada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di atas kekejaman genosid dan amalan apartid ke atas rakyat Palestin, pelanggaran keputusan ICJ dan resolusi PBB, serangan ke atas kakitangan PBB dan pengharaman aktiviti UNRWA. Kekebalan negara pengganas Israel wajib ditembusi kerana hingga waktu ini, pembunuhan dan serangan ke atas Gaza, Lubnan dan Yaman masih berlaku setiap hari.
Syed Ibrahim Syed Noh
Pengerusi Kaukus Palestin Parlimen Malaysia
Pengerusi Kaukus Parlimen Asia Tenggara untuk Pembebasan Palestin
Ahli Parlimen Ledang