
Saya tertarik untuk memberikan maklum balas kepada saranan Datuk Aliff Firdaus Abd Hadi, Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, yang mencadangkan agar Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) diletakkan di bawah seliaan YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri.
Cadangan ini menimbulkan satu persoalan asas: adakah beliau telah meneliti struktur semasa JWP di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM), dan juga struktur Kementerian Wilayah Persekutuan sebelum ini? Sejarah pentadbiran negara menunjukkan bahawa JWP tidak pernah berfungsi di bawah sebarang portfolio Timbalan Perdana Menteri.
Maka, cadangan tersebut bukan sahaja janggal, bahkan tidak berpijak pada realiti struktur kerajaan yang wujud. Ia juga tidak mempunyai sebarang rujukan sejarah atau peruntukan yang sahih. Sekiranya ingin membawa usul yang lebih konstruktif, cadangan untuk mengembalikan semula status JWP sebagai sebuah kementerian adalah jauh lebih wajar dan realistik.
Selain itu, kenyataan beliau yang menyatakan bahawa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Putrajaya (PPj) dan Perbadanan Labuan (PL) kini bergerak secara berasingan adalah tidak benar. Ketiga-tiga agensi ini sebenarnya diletakkan secara rasmi di bawah tanggungjawab Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) dan diselaraskan mengikut peruntukan Akta Fungsi-Fungsi Menteri 1969.
Manakala, Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) pula merupakan sebuah entiti Syarikat Berhad Menurut Jaminan (CLBG) dan Menteri yang bertanggungjawab kepada Wilayah Persekutuan akan dilantik sebagai Pengerusi berdasarkan Memorandum dan Artikel Yayasan yang berkuat kuasa. Maka, kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh Datuk Aliff adalah tidak tepat dan tidak bersandarkan fakta semasa.
Saya turut mengajak mana-mana pihak, termasuk Datuk Aliff sendiri, untuk meneliti dengan lebih objektif pelbagai inisiatif yang sedang dilaksanakan oleh JWP ketika ini. Antaranya termasuklah Program Usaha Jaya Insan (PUJI) yang terbukti memberikan manfaat terus kepada rakyat dalam usaha menoktahkan miskin tegar di Wilayah Persekutuan.
Selain itu, di bawah kepimpinan YB Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa sebagai Menteri, visi Bandar CHASE sedang digerakkan secara bersepadu merentasi Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan. Bandar CHASE ialah pendekatan pembangunan bandar Bersih (Clean), Sihat (Healthy), Terkehadapan (Advanced), Selamat (Safe) dan Mesra Alam (Eco-friendly), yang sedang diterjemahkan melalui pelbagai projek dan intervensi dasar di peringkat tempatan.
Justeru itu, dalam era keterbukaan maklumat dan kemajuan teknologi, adalah wajar sekiranya setiap usul yang ingin dikemukakan hadir dengan latar ulang kaji, kefahaman struktur serta penelitian yang mendalam. Setiap cadangan dasar harus bertolak dari kejujuran intelektual dan kematangan pandangan, bukan semata-mata untuk meraih perhatian politik jangka pendek.
NOR AZRINA SURIP @ NURIN AINA ABDULLAH
Setiausaha Politik kepada
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan)