
Sifat ihsan membentuk keperibadian seorang insan. Bagaimana kita sebagai sebuat masyarakat yang melibatkan pelbagai pemegang taruh boleh melindungi anak-anak di sekolah daripada dizalimi sehingga mengakibatkan kecederaan emosi mahupun fizikal sehingga kehilangan nyawa? Adakah semakin sukar bagi anak-anak kita untuk menyedari tingkah-laku mereka yang melampaui batas kemanusiaan?
Kanak-kanak belajar melalui pemerhatian atau pembelajaran sosial sebagaimana diungkap teori kognitif sosial oleh pakar psikologi, Albert Bandura. Teori ini menjelaskan perilaku manusia dalam konteks interaksi berbalas yang berhubungkait antara kognitif, perilaku dan pengaruh persekitaran.
Keadaan persekitaran sekitar individu sangat berpengaruh pada tempoh pembelajaran sosial ini. Misalnya seorang kanak-kanak yang hidupnya dalam persekitaran penindasan, maka kanak-kanak tersebut akan cenderung untuk menindas, atau sekurang-kurangnya menganggap bahawa penindasan itu merupakan perkara yang tidak salah serta tidak memudaratkan dirinya.
Budaya dan dinamik ruang pembelajaran di sekolah harian dan berasrama penuh amat berbeza, namun kedua-duanya memilik aspek yang positif dan negatif tersendiri. Namun apa yang dipertikaikan pada hari ini adalah, bagaimana pembangunan sahsiah seorang insan itu jauh terpesong dari penerapan nilai manusiawi?
Pembentukan keperibadian anak-anak ini akan dibawa ke pengajian tinggi kemudiannya ke alam pekerjaan. Sekiranya mangsa mengalami trauma dan dipendamkan sehingga alam dewasa, pasti akan membawa kepada lebih kemudaratan. Bagaimana kita hendak membendung amalan buli dan sekaligus memberikan pengaruh lebih positif bagi pembangunan kognitif anak-anak?
Langkah jangka masa panjang sudah tentu bermula dengan pembentukan polisi pemegang taruh melibatkan kementerian dan agensi-agensi di bawah selia yang wajib menjadikan tanggungjawab utama agar telus ketika mentadbir. Perkara ini harus dibahaskan secara lebih cermat oleh setiap ahli politik kerana mereka juga sedang diperhati anak-anak!
Hari demi hari apabila melihat ahli parlimen bertikam lidah tanpa secara beradab sehingga Yang Dipertua Dewan Rakyat terpaksa menggantung seorang ahli parlimen pembangkang mengikut peraturan mesyuarat 42 (2) kerana mencabar ahli parlimen lain untuk bertumbuk di luar. Bagaimana hendak menjadi teladan kalau kita yang diberi amanat oleh rakyat untuk berbahas secara professional tetapi bersikap sedemikian?
Semuanya bermula dengan niat setiap insan untuk bersifat lebih bertanggungjawab terhadap insan lain. “A life lived for others is a life worth living” pernah diungkapkan Albert Einstein yang memberi pengertian kepada altruisme iaitu sikap atau prinsip yang mengutamakan kebajikan atau kebahagiaan orang lain daripada diri sendiri. Pengajaran di sini adalah untuk kita mengimbangi keputusan dalam hidup dengan mempertimbangkan kehidupan orang sekeliling kerana itulah erti hidup bermasyarakat.
Anak-anak juga harus digalak untuk mengambil bahagian dalam aktiviti kesukanan atau seni bela diri bagi menanam sifat disiplin dan keyakinan diri. Pendedahan awal kepada hormat kendiri atau self-respect, berupaya melahirkan sifat kebertanggungjawaban yang tinggi. Berdasarkan pengalaman mempelajari seni bela diri dari kecil sehingga kini walaupun kian dewasa, saya dapat perhatikan interaksi antara anak-anak dan remaja lebih positif dan bersandar kepada sifat kepimpinan.
Harapan saya adalah agar kita dapat menerapkan nilai adab dan sifat manusiawi dalam diri kerana sedarilah bahawa tingkah-laku kita sentiasa diperhati dan diteladani oleh orang sekeliling. Jadikan amalan anda sebagai satu legasi yang ingin diingati masyarakat dan ingatlah kembali semangat perpaduan yang diwarisi sejak kemerdekaan dahulu.
Aidi Amin Yazid
Timbalan Setiausaha Agung KEADILAN