Saya mengambil maklum berkenaan Solidariti Penjawat Awam: Sumbangan Melalui Pengurangan Gaji Penjawat Awam Dalam Mendepani Pandemik Covid-19 yang saya kiranya ianya sangat baik. Lebih-lebih lagi sumbangan melalui penolakan 100% gaji YAB Perdana Menteri, YB Menteri dan YB Timbalan Menteri akan tetapi tidak dimaklumkan dengan jelas adakah elaun lain turut dipotong?.
Namun, gaji penjawat awam bagi gred 56 hingga 29 tidak perlu ditetapkan kadar sebegitu seolah-olah mereka dipaksa untuk menyumbang kepada Akaun Amanah Bencana.
Kerajaan tidak boleh membuat pemotongan pada satu kadar kerana tanggungan bagi penjawat ini berbeza.
Saya mencadangkan agar sumbangan/pemotongan ini dibuat secara sukarela mengikut kemampuan penjawat awam tersebut. Saya kira melalui kaedah ini akan mendapat lebih dari RM 30 juta yang dianggarkan oleh kerajaan.
Kos sara hidup yang tidak menentu ketika pandemik ini tidak menjamin gaji penjawat awam itu mencukupi.
Saya juga mencadangkan agar pemain industri perkilangan yang dibenarkan beroperasi ketika tempoh ‘lockdown’ ini turut dipelawa dalam menyumbang kepada Akaun Amanah Bencana.
YB Dato Hj Abdullah Sani Bin Abdul Hamid
Ahli Parlimen Kapar
Jurucakap Pekerjaan & Hak Pekerja Parlimen Keadilan