Syed Saddiq selepas meninggalkan dewan yang belum tamat memanggil sidang media untuk menyelar kerajaan hari ini sebagai NATO; No Action Talk Only. Kerajaan yang beliau baru tinggalkan beberapa hari lepas.
Wan Ahmad Fayhsal pula dalam gaya kebiasaannya sebagai seorang pakar istilah (jargon) politik menanggapi kerajaan ini sebagai pengamal pork barrel politic - politik tong babi.
Kedua-dua mereka pernah duduk bersama dan berasingan dalam kerajaan. Wan Fayhsal adalah mantan Pegawai Khas kepada Syed Saddiq sewaktu beliau menjadi Menteri di Kementerian Belia dan Sukan (KBS). Pasca Langkah Sheraton, Wan Fayhsal sendiri dilantik sebagai Timbalan Menteri di KBS selepas menikam Saddiq dari belakang. Saya yakin mereka telah berbaik semula hari ini. Alhamdulillah.
Buat Saddiq - menggelar kerajaan ini sebagai NATO atas tiga perkara; soal peruntukan buat pembangkang, pengisytiharan harta anggota kabinet, dan pengguguran kes rasuah - ini semua perkara yang sudah pun diperjelaskan menerusi banyak situasi yang berbeza. Di luar dan dalam Parlimen.
Dalam soal pengisytiharan harta; PM sejak Januari telah menyatakan ketegasan beliau dan mengkritik amalan pengisytiharan sedia ada sebagai “sandiwara” atau “gimik” dengan seterusnya mengarahkan agar mekanisma yang lebih telus dan menyeluruh disiapkan, bukan sekadar isytihar tanpa format yang khusus.
Tidak sekadar kenyataan media, ia disepakati menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah (JKKMAR) Siri 17 Bil. 1 Tahun 2023 yang dipengerusikan sendiri PM Julai lepas.
Dua perkara lain pula; pengguguran kes mahkamah yang tentu sekali saya yakin merujuk kepada kes TPM berbanding kes Pagoh; telah dijawab dalam Parlimen hari ini secara terperinci oleh YB Azalina Othman Said atas kapasiti beliau sebagai menteri yang menjaga undang-undang dan reformasi institusi, ditandai dengan komitmen kerajaan hari ini untuk memisahkan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya.
Malah isu DNAA TPM juga telah dibawa kepada perhatian Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen, selain bakal dijawab sendiri oleh PM dalam dewan 19 September.
Di masa yang sama, dalam soal peruntukan buat pembangkang; sudah berulang kali dalam dewan diingatkan untuk mereka memulakan rundingan bersama Kerajaan dalam soal tersebut; langkah yang sama dibuat oleh PH dalam penggal yang lalu; namun sehingga kini masih belum disambut dan hanya berulang kali digunakan sebagai modal untuk bercakar dalam persidangan Dewan Rakyat dan kemungkinan juga sebagai modal untuk membohongi rakyat di kawasan masing-masing seolah kerajaan ini zalim.
Tertanya juga; bagaimana dengan peruntukan di Muar yang sempat berada dalam blok kerajaan. Sudah habis dibelanja atau bagaimana?
Soal NATO - No Action Talk Only ini eloklah Saddiq jangan hanya cerminkan kepada perkara yang ikut selera beliau; cerminkan juga kepada dasar-dasar kebajikan rakyat yang dikemukakan menerusi Belanjawan 2023 yang lepas dan inisiatif yang sedang berjalan dalam menoktahkan kemiskinan tegar, menyelesaikan masalah dan keperluan asas rakyat termasuk sekolah dan fasiliti kesihatan, bekalan air bersih, pemulihan ekonomi pasca pandemik, dan transisi tenaga yang bakal bermula kelak.
Buat Wan Fayhsal; entah dari mana datang idea politik tong babi yang dinyatakan beliau; sedangkan kawasan beliau Machang sendiri adalah salah sebuah kawasan yang turut menerima peruntukan besar mencecah RM1.44 billion dalam bentuk infrastrktur asas termasuk jalan dan jambatan. Belum lagi dikira sekali dengan komitmen penyelesaian isu bekalan air yang turut mencecah billion ringgit.
Tertanya juga adakah politik tong babi ini turut mengambil kira berapa banyak juga tong minyak masak yang dimiliki oleh anak pemimpin Perikatan Nasional?
Adam Adli
Ketua AMK