Baru semalam Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim (PMX) dalam ucapan beliau menempelak sikap berlebihan sesetengah pemimpin pembangkang dalam berpolitik; termasuk mimpi-mimpi untuk kembali ‘tebuk atap’.
Kurang beberapa jam kemudian sahabat saya YB Fadhli Shaari mengeluarkan kenyataan seperti di bawah. Tekun juga beliau mengikuti ucapan PMX.
Kawasan yang diwakili beliau, Pasir Mas di Kelantan antara yang menerima peruntukan agak sihat menerusi inisiatif Belanjawan tahun ini, tidak termasuk peruntukan-peruntukan tambahan yang diumum dari semasa ke semasa oleh PMX dan Menteri-menteri yang turun padang sepanjang beberapa bulan lepas, sesuai matlamat untuk menyelesaikan masalah-masalah lapuk yang menjejaskan kualiti kehidupan dan sosio ekonomi di kawasan terbabit.
Penyaluran segala bentuk bantuan dan pembangunan infrastruktur yang berterusan menerusi agensi-agensi Pusat dan Negeri ini harus dilihat sebagai tanda bahawa Kerajaan Madani tidak mengulangi resmi lama di mana kawasan pembangkang terus-menerus ditekan dan dibantutkan dari segi pembangunan ekonomi dan sosial sehingga menjerut rakyat. Ini norma baharu di bawah Kerajaan Madani yang perlu diakui semua.
Atas yang demikian, saya yakin sahabat saya YB Fadhli Shaari juga boleh memperakui dan mengiktiraf usaha, tumpuan dan sikap Kerajaan Madani terhadap negeri dan kawasan beliau. Beberapa kali di Dewan Rakyat telah beliau bangkitkan soalan-soalan berkaitan pembangunan di kawasan beliau yang dijawab dengan baik oleh wakil-wakil kementerian berbeza.
Dalam mengiktiraf dan menghormati kedudukan wakil rakyat pembangkang pula, PMX semalam turut menekankan langkah Kerajaan Madani yang tidak melantik penyelaras politik di kawasan-kawasan Parlimen diwakili Pembangkang. Dari semasa ke semasa, tangan terus dihulur tanda kesediaan untuk menjalinkan kerjasama, sayangnya sering ditepis dengan kasar oleh yang tidak mahu bergerak kehadapan.
Perjanjian Persefahaman yang ditawarkan pun terus ditolak mentah-mentah oleh pimpinan utama Pembangkang tanpa timbang tara lanjut. Apakah ini sudah ditanyakan kepada wakil-wakil rakyat lain yang mungkin mempunyai pandangan berbeza?
Dalam soal membuktikan keberanian politik, seperti yang dibangkitkan oleh YB Fadhli, berapa kali harus Dato’ Seri Anwar Ibrahim menyatakan sikap dan keterbukaan beliau? Di pihak Kerajaan, sudah pun kita memberi respons kepada usul Dewan Pemuda sebelum ini; jika ada hasrat untuk mendesak PMX melepaskan jawatan, sila bawa ke Dewan Rakyat, bukan hanya di Dewan Pemuda atau Sidang Muktamar.
Tiada siapa yang berselindung di sebalik sebarang keterikatan yang menjerat seperti yang cuba digambarkan YB Fadhli. Persefahaman sejak awal yang membawa kepada penubuhan kerajaan hari ini jelas adalah berasaskan rundingan terbuka yang diikuti rapat oleh semua pemerhati sejak hari pertama. Diabsahkan juga menerusi undi percaya di Dewan Rakyat. Jika masih tidak yakin dan perlu ulang tayang, sila usulkan semula di Dewan Rakyat dalam persidangan akan datang.
Gegak-gempita tanpa tindakan wajar tidak membawa sebarang hasil. Hanya riuh dan hingar untuk menimbulkan suasana bingit dalam medan politik tempatan.
Atau mudahnya kita simpulkan sahaja bahawa serangan-serangan yang dituju sekarang tidak lain hanya atas dasar mahu terus berpolitik tanpa sudah, kekecewaan ke atas diri sendiri, sindrom penafian, dan keinginan untuk kembali berkuasa semata-mata. Jika itu dasarnya; tidaklah mampu untuk kita halang mereka dari terus menyerang dan mencerca tanpa asbab sebegini.
Kerajaan Madani hanya akan terus bekerja sehingga mandat dipulangkan semula kepada rakyat kelak.
Nota kaki: Sudah-sudahlah mengukur politik dengan stereotaip seksis siapa lebih “jantan”. Yang diajar kepada kita dalam mengukur keupayaan memimpin bukannya aras ‘machismo’ seseorang, tetapi sifat junjungan besar kita; Siddiq, Amanah, Tabligh, dan Fathonah.
Adam Adli Abd Halim
Ketua Angkatan Muda KEADILAN