Carian
July 29, 2021

Derhaka Terhadap Istana: Seluruh Kabinet Kerajaan Perlu Letak Jawatan

Merujuk kepada kenyataan akhbar terbaru yang dikeluarkan oleh Istana Negara, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah menzahirkan dukacita terhadap Menteri Undang-Undang, YB Takiyuddin Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun atas tindakan Kerajaan Malaysia membatalkan semua Ordinan Darurat tanpa mendapat perkenan baginda.

AMK yakin dan percaya tindakan Menteri Undang-Undang ini dibuat hasil keputusan kolektif Kabinet Perikatan Nasional di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Yassin.

AMK berpendirian tindakan membelakangkan Yang di-Pertuan Agong ini merupakan satu perbuatan pecah amanah dan jenayah yang bercanggah dengan Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

Oleh itu AMK mendesak Perdana Menteri Malaysia dan seluruh barisan kabinet Perikatan Nasional mengambil tanggungjawab dengan meletak jawatan serta merta.

AMK juga akan menggerakkan kempen Laporan Polis di seluruh negara bermula petang ini, bagi mendesak pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap Tan Sri Mahiaddin Yassin, YB Takiyuddin Hassan dan Tan Sri Idrus Harun atas perbuatan derhaka mereka terhadap titah Yang di-Pertuan Agong.

Sekian.

Akmal Nasir
Ketua AMK Malaysia
Ahli Parlimen Johor Bahru

Related Posts
crossmenuchevron-up