Carian
March 4, 2021

Hentikan Amalan #DUADARJAT Dalam Pemberian Suntikan Vaksin

Apabila YAB Perdana Menteri mengambil suntikan vaksin, tujuannya adalah untuk memberi keyakinan kepada rakyat mengenai kepentingan untuk menjayakan Program Imuninasi Kebangsaan.

Pada masa yang sama, tumpuan fasa pertama adalah untuk memastikan barisan hadapan “frontliners” kita diberikan keutamaan untuk suntikan vaksin.

Negara kita masih berhadapan dengan penularan Covid-19 dan mereka sanggup menggadaikan nyawa mereka untuk bertarung habis-habisan, maka wajarlah kita lindungi mereka semampu boleh.

Malangnya, proses ini dicemari dengan dakwaan ‘potong barisan’ dan kegopohon sekumpulan orang politik yang lebih ke depan untuk dapatkan vaksin daripada barisan hadapan.

Kemarahan rakyat terhadap pelaksanaan SOP secara Dua Darjat tidak diendahkan, kini giliran suntikan vaksin juga dilihat seolah-olah ada yang layanan khas.

Teguran Menteri yang bertanggungjawab, supaya penggiliran dibuat termasuk dikalangan EXCO Kerajaan Negeri, seperti tidak diendahkan.

Dimana silapnya?

Ketika Menteri berkenaan juga mengalu-alukan agar pemberi maklumat atau “whistleblowers” yang mengetahui amalan pemotongan barisan ini untuk tampil ke hadapan, Kerajaan Negeri lain membuat desakan sebaliknya supaya mereka ini dikenakan tindakan!

Adakah VVIP dilindungi dan rakyat biasa hendak dihukum?

Berdasarkan maklumat yang saya terima, mereka yang diketepikan ketika ini adalah termasuk “Frontliners” kesihatan seperti pemandu-pemandu Ambulans, kakitangan pergigian, farmasi dan hospital.

Ada dikalangan mereka ini seperti petugas Ambulans, terpaksa berdepan dengan kes positif saban hari.

Malah, jangan kita anggap anggota kesihatan seperti yang bekerja di Klinik Pergigian sebagai kurang risiko, apabila Pusat Kuarantin dibuka, mereka inilah yang dikerahkan dahulu.

Benarkah bila mereka cuba merayu dan buat petisyen, mereka kini menerima tekanan dan dipanggil orang atas?

Walaupun mereka bukanlah berpangkat tinggi, mereka inilah yang wajar diutamakan.
Mereka juga manusia, ada keluarga, ada kehidupan.

Mereka berdepan dengan risiko, berikan mereka keyakinan dan semangat, seadilnya mereka didahulukan suntikan vaksin dengan segera.

Mereka telah bersusah payah bekerja siang malam, lebih masa, elaun yang dijanjikan lambat serta ada yang tidak berjumpa keluarga begitu lama bagi memastikan keselamatan rakyat Malaysia terjamin.

Mereka ini kerja tanpa henti, dibekukan cuti sejak dari awal penularan wabak Covid19.
Bukan seperti Timbalan Menteri yang senang-senang bercuti 55 hari di luar negara!
Lebih malang rupanya diluluskan sendiri oleh YAB Perdana Menteri!!

Oleh itu, jangan biarkan orang-orang politik menyalahgunakan kedudukan mereka sehingga merampas hak dan keutamaan yang sepatutnya diberikan kepada ‘frontliners’.

Saya menggesa agar kerajaan bersikap telus dan memastikan kumpulan ‘frontliners’ diberikan keutamaan untuk menerima suntikan vaksin, dan melaporkan sebarang cubaan potong barisan (queue) oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

Related Posts
crossmenuchevron-up