Carian
September 1, 2021

Hentikan Ugutan Terhadap Aktivis

Angkatan Muda Keadilan (AMK) mengecam tindakan mengugut, mengancam serta gangguan berbentuk seksual ke atas aktivis anak muda saudari Shakila Zen oleh individu tertentu yang telah mendatangkan ancaman keselamatan terhadap beliau.

Saudari Shakila merupakan seorang aktivis alam sekitar yang giat melawan aktiviti pemusnahan alam terutama hutan simpan dan penambakan pantai.

AMK dimaklumkan pada 30 Ogos 2021, Saudari Shakila telah menerima satu bungkusan daripada individu tidak dikenali yang mengandungi surat ugutan serta satu replika tangan yang dipotong dan berlumuran darah. Pada hari berikutnya, 31 Ogos 2021, beliau telah menerima satu pesanan teks di aplikasi Whatsapp yang berbaur seksual serta mendedahkan maklumat peribadi beliau.

Beliau telah membuat dua laporan polis berkenaan dengan kejadian tersebut pada 30 & 31 Ogos 2021 di IPD Klang Utara.

Pada hemat kami tindakan mengugut dan mengancam merupakan satu tindakan intimidasi yang sangat melampau apatah lagi ugutan itu seperti membawa kepada ugutan menvederakan malah membunuh. Tindakan ini tidak boleh diterima.

Kami memandang serius perkara ini dan berharap pihak Polis dapat menangkap pelaku dengan segera serta memdedahkan pihak yang mengupah pelaku untuk mengugut saudari Shakila.

Saya sendiri pernah melalui perkara sama apabila berdepan ugutan bunuh pihak tertentu pada akhir 2019, namun langsung tidak melemahkan semangat dan gerak kerja.
Budaya samseng dengan mengugut dan mengancam aktivis wanita yang bersuara tidak boleh dibiarkan. Ini akan jadi satu amalan biasa 'kuasa besar' yang tergugat dengan suara anak muda dan perkara ini perlu ditamatkan.

AMK akan terus menyokong dan mendokong suara anak muda dalam melawan sistem yang tidak adil, penindasan, korupsi dan pemusnahan alam.

Solidariti kami buat saudari Shakila Zen.

#LawanIntimidasi

Sekian.

 

AKMAL NASIR
Ahli Parlimen Johor Bahru
Ketua AMK Malaysia

Related Posts
crossmenuchevron-up