Carian
August 24, 2021

Ismail Sabri Buat Lawatan Sambil Belajar?

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) hari ini mempersoalkan tindakan YAB Dato' Seri Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri dan gerombolan yang dilihat seperti tidak ada perasaan empati dan simpati ketika lawatan ke Kedah yang terjejas akibat banjir lumpur yang berpunca dari kepala air Gunung Jerai.

Sementara kita hargai dengan peruntukan yang disalurkan bagi membaiki kerosakan dan membantu mangsa-mangsa banjir, namun lawatan beliau semalam seolah-olah tidak memahami derita dan kesengsaraan mangsa-mangsa bencana.

Adakah benar seperti gambar tular yang menunjukkan terdapat sekumpulan Ahli-ahli Parlimen UMNO seperti YB Pasir Salak, YB Padang Terap, YB Kuala Krau, YB Rompin, YB Lipis dan YB Jempol yang menaiki pesawat eksekutif bersama Perdana Menteri?

Tidak hairan apabila terdapat pandangan netizen di laman media sosial yang menganggap ini sebagai lawatan sambil belajar yang merugikan tanpa menghiraukan kesukaran rakyat.

Selain itu, terdapat satu rakaman video yang menunjukkan YAB Perdana Menteri dan kumpulannya gagal mematuhi SOP terutamanya penjarakkan fizikal dengan kehadiran yang sangat ramai, malah rombangan kenderaan dikatakan melebihi 50 buah kereta?

Apakah ini contoh yang baik daripada seorang Perdana Menteri yang sebelum ini ditugaskan menyediakan serta mengumumkan SOP bagi mengekang penularan wabak Covid-19?
Selain itu apakah keperluan didirikan sebuah billboard besar yang tertera ayat "selamat datang dan tahniah YAB Dato' Sri Ismail Sabri Bin Yaakob atas pelantikan sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-9" di tengah-tengah kawasan bencana?

Adakah ini program ‘gimik’ untuk beliau memperkenalkan diri kepada mangsa-mangsa bencana yang masih menanggung beban musibah bahawa beliau adalah Perdana Menteri Malaysia yang baharu?

Moga teguran anak muda ini dapat diterima dan seeloknya tumpukan segera kepada permasalahan wabak Covid-19 serta suasana ekonomi yang semakin meruncing.

AKMAL NASIR
Ahli Parlimen Johor Bahru
Ketua AMK Malaysia

Related Posts
crossmenuchevron-up