Carian
May 16, 2021

Pendirian Tegas AMK Mengecam Keganasan Israel Terhadap Rakyat Palestin

Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK Malaysia) mengecam sekeras-kerasnya serangan berterusan yang tidak berperikemanusiaan tentera Zionis Negara Haram Israel ke atas Rakyat Palestin ketika umat Islam sedang menyambut penghujung Ramadhan dan Perayaan Aidilfitri.

Masyarakat Malaysia dan antarabangsa perlu melihat perkara ini dalam suatu kerangka yang lebih besar sebagai isu kemanusiaan yang merentasi sebarang perbezaan ideologi politik, agama, dan kaum. AMK Malaysia dan Parti Keadilan Rakyat pastinya teguh bersama-sama dengan semua negara yang menentang serangan dan pencerobohan ke atas Palestin ini.

Tindakan keji dan biadap Zionis Israel ini sepatutnya mendapat kecaman sebulat suara masyarakat antarabangsa dan perlu segera dikategorikan sebagai jenayah perang oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Isu Palestin yang telah berlarutan berabad lamanya sejak Pengisytiharan Balfour pada tahun 1917 menjadi titik mula usaha penubuhan negara yahudi di bumi Palestin. Dengan rentetan keganasan, pembunuhan, dan kemusnahan yang dialami oleh Negara Palestin menjadi bukti kukuh bahawa apa yang berlaku kini merupakan usaha “penghapusan etnik” secara besar-besaran.

Tindakan Zionis Israel yang memulakan serangan ini jelas bertentangan dengan usaha pelan damai dan mencabuli undang-undang antarabangsa serta hak asasi manusia yang sepatutnya dipertahankan.

Maka AMK Malaysia ingin menyinggung kenyataan Perdana Menteri sewaktu perutusan khas terkait isu Palestin yang mengiktiraf usaha penyelesaian dua negara tatkala Zionis Israel terus mengganas. Ini menjadi persoalan sekiranya penyelesaian dua negara ini berlaku (walaupun agak mustahil), adakah Perikatan Nasional akan mengambil pendirian untuk mengiktiraf Israel?

Oleh itu, pendirian tuntas dalam hal ini perlu diterjemahkan melalui usul tergempar Sidang Parlimen dalam kadar segera.

AMK Malaysia turut menghargai sokongan rakyat Malaysia dalam membantah serangan tidak berperikemanusiaan Israel terutama sekali dari kalangan badan-badan bukan kerajaan yang giat menggerakkan usaha mengumpul dana serta peranan cukup hebat netizen dalam memberi kesedaran kepada masyarakat dunia terhadap situasi sebenar yang berlaku di Palestin.

AKMAL NASIR
Ahli Parlimen Johor Bahru
Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia

Related Posts
crossmenuchevron-up