Carian
August 13, 2021

Penolakan Pendaftaran MUDA Sebagai Parti Politik Tanpa Alasan Munasabah Tidak Sepatutnya Berlaku

Angkatan Muda Keadilan (AMK) mengambil maklum keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) menolak permohonan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) untuk didaftarkan sebagai sebuah parti Politik.

Pada hemat AMK, sebagai sebuah negara yang mengamalkan demokrasi setiap pertubuhan perlu diberi ruang untuk mendaftar secara sah selagi pertubuhan berkenaan tidak bercanggah dengan undang-undang negara.

AMK juga sedia maklum MUDA telah menghantar permohonan pendaftaran parti berkenaan pada 17 September 2020 dan membuat rayuan pada 4 Februari lalu serta memenuhi semua syarat yang telah ditetapkan dan sepatutnya layak mendapat kelulusan sebagai sebuah parti politik secara rasmi.

Namun mengapa permohonan tersebut ditolak? Adakah terdapat campur tangan politik dalam penolakan Pendaftaran MUDA setelah YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menolak untuk menyokong kerajaan Perikatan Nasional?

Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) sendiri pernah berdepan dengan situasi yang sama termasuk AMANAH, PSM serta beberapa parti politik yang cuba didaftarkan sebagai sebuah parti politik dalam blok pembangkang.

Malah Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sendiri pernah ditolak permohonan oleh ROS atas campur tangan pihak kerajaan ketika itu sehingga terpaksa menggunakan logo KEADILAN pada Pilihanraya Umum ke-14 lalu dan mencapai kemenangan.

Adakah kerajaan Perikatan Nasional cuba mengulangi perbuatan keji kerajaan Barisan Nasional dahulu? Ini jelas satu tindakan pengecut yang keterbelakang dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi berparlimen.

Penolakan pendaftaran MUDA sebagai sebuah parti politik tanpa alasan munasabah tidak sepatutnya berlaku dan AMK merasakan bahawa pihak ROS sebaliknya perlu memudahkan pendaftaran dengan membantu pihak MUDA memenuhi syarat-syarat yang diperlukan.
AKMAL NASIR
Ahli Parlimen Johor Bahru
Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia

Related Posts
crossmenuchevron-up