Carian
March 11, 2021

PN Harus Berhenti Menuding Kesalahan Kepada Orang Muda

Kenyataan YB Senator Tengku Datuk Seri Zafrul, Menteri Kewangan bahawa 40 peratus golongan milenial didapati berbelanja melebihi kemampuan mereka tidak ubah dari sekadar amalan biasa Kerajaan Perikatan Nasional yang gemar menuding jari kepada rakyat terhadap sesuatu permasalahan yang berlaku.

Isu ini tidak wajar dipukul rata seolah-olah orang muda hari ini tidak tahu dan tidak bertanggungjawab dari segi pengurusan kewangan mereka tanpa terlebih dahulu meneliti aspek lain yang menyumbang kepada perkara ini.

YB Menteri Kewangan perlu mempunyai sikap empati dalam perkara ini dan meletakkan diri di tempat orang muda yang sedang bergelut dalam situasi dimana kurangnya peluang pekerjaan, tiada jaminan pekerjaan, kos sara hidup yang tinggi, perlu melakukan lebih dari dua kerja dan terpaksa berhadapan dengan bayaran gaji yang tidak berpadanan dengan tanggungan mereka.

Walaupun tidak dinafikan bahawa kepentingan literasi kewangan dan usaha yang digerakkan oleh pelbagai agensi seperti Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dalam hal ini, namun ia masih tidak dapat menyangkal isu pokok terutama yang berkaitan dengan peningkatan gaji yang perlahan ditambah dengan kadar gaji minimum yang masih rendah.

Memetik kajian yang dijalankan oleh Mercer Malaysia, sebuah firma perunding kerjaya telah mengeluarkan hasil dapatan pada penghujung tahun 2019 bahawa peratusan kenaikan gaji nominal di Malaysia setelah diambil kira kadar inflasi akan memberikan bacaan 2.6 peratus. Ketika itu Malaysia masih ketinggalan dengan peningkatan gaji sebenar di Singapura ialah sebanyak 3.5 peratus; Thailand (4.0 peratus); Vietnam (5.3 peratus); Indonesia (4.3 peratus); dan Filipina (2.8 peratus).

Dapatan tersebut diambil sebelum Pandemik COVID-19 melanda dan tentunya dalam keadaan proses pemulihan ekonomi yang terkesan teruk akibat COVID- 19, ini akan memberikan kebimbangan yang lebih ketara.

Kerajaan juga perlu mengambil kira kesan berganda yang turut telah menyumbang kepada kadar hutang isi rumah negara sepertimana pernah dilaporkan hingga melebihi 80% bagi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta laporan yang pernah Bank Dunia dedahkan sebelum ini bahawa 60% daripada kumpulan individu muflis di Malaysia adalah terdiri daripada golongan belia yang berumur di antara 25 tahun sehingga 44 tahun.

Walaupun hingga kini Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) masih gagal dibentangkan, namun kerajaan tidak boleh lepas tangan dalam menjelaskan kepada rakyat berhubung strategi kerajaan dalam meningkatkan gaji minimum, menambahkan peluang pekerjaan, menurunkan kadar pengangguran dan banyak lagi perkara yang berkaitan.

Tidak wajarlah Menteri Kewangan menegur orang muda mengenai pengurusan kewangan dengan pendapatan beliau yang jauh berbeza dengan orang biasa, tetapi beliau sepatutnya fokus mencari jalan penyelesaian bagi permasalahan mengakar yang kian membimbangkan ini terutamanya untuk meningkatkan pendapatan rakyat.

AKMAL NASIR
Ahli Parlimen Johor Bahru
Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia

Related Posts
crossmenuchevron-up