Carian
May 9, 2021

Aminuddin: Tiga Tahun Menunai Janji, Menggalas Harapan

Hari ini genap tiga tahun Pakatan Harapan memerintah Negeri Sembilan.

Mandat ini adalah milik rakyat. Kami hanya mampu berada di tampuk kuasa dengan izin yang Maha Esa dan setelah mendapat kepercayaan melalui pilihan raya. Di atas jalan demokrasi kita berdiri dan kami yakini. Sewajarnya ia mesti dihormati.

Pantas masa berlalu. Namun, kerja buat kita masih banyak. Syukur kepada Allah kerana hingga waktu ini kita masih bertahan. Setia pada kebenaran dan menjunjung keadilan.

Kekal fokus menjaga integriti kerana ia adalah kunci kepada sebuah kerajaan yang stabil. Di samping kita terus berusaha memperkukuh muafakat kerana ia adalah tonggak kesepaduan rakyat dan pemimpin. Kesejahteraan negeri bergantung kuat kepada faktor utama ini.

Tiga tahun berlalu, kita tekad menunai janji dan menggalas harapan. Alhamdulillah, hasil negeri meningkat saban tahun sejak Pakatan Harapan mengambil alih negeri ini. Rezab yang mencecah RM1.06 bilion itu bukti bahawa kita mampu melakukan yang terbaik.

Sejak 2018, kita cuba memperkenalkan inisiatif baru dalam belanjawan negeri. Hasilnya pada tahun 2021, sebanyak 53 insentif telah diperluas dan telah memberi manfaat kepada banyak segmen masyarakat tanpa mengenal kaum, batas umur serta tahap sosio-ekonomi.

Rakyat tetap menjadi keutamaan

Setakat hari ini, lebih 90 peratus manifesto Pakatan Harapan Negeri Sembilan telah berjaya kita tunaikan. Tanah adat di berdaya kembali, tanah terbiar diusaha dan hak milik kekal telah kita serahkan.

Sungguh bagai dikata, kita yang berjanji tidak akan pernah lupa. Keberanian rakyat melakukan perubahan bermakna harus kita jaga. Sebagai mengenang jasa, kami akan terus setia, sesekali tidak akan pernah khianat.

Telah terlalu banyak pengorbanan, linangan air mata dan episod suka duka yang kita lalui sehingga tanggal 9 Mei 2018 menatijahkan citra kemenangan. Hari ini begitu keramat, terakam dalam lipatan sejarah.

Ulangtahun Ketiga Pakatan Harapan mentadbir negeri ini. Sekalung penghargaan kami ucapkan kepada seluruh yang berjasa sama ada yang masih hidup atau yang telah berlalu pergi.

Mewakili saf kepimpinan Pakatan Harapan dan selaku Menteri Besar Negeri Sembilan, saya mendambakan untaian doa daripada semua rakyat jelata. Sisipkan tanda ingatan terutama di akhir Ramadan ini agar kerajaan kita kekal utuh dibawah rahmat Ilahi.

Rakyat tetap menjadi keutamaan. Budi tetap kami kenang. Teruslah menegur jika ada kesilapan. Salinglah membahu pada jalan kebaikan. Bantu betulkan kami sekiranya kami telah tersasar jauh daripada matlamat asal perjuangan. Usah menyanjung atas nama kezaliman.

Salam muhibbah. Bulatkan azam untuk terus berkhidmat.

Negeri Sembilan Bersih, Muafakat, Sejahtera.

Dato’ Seri Aminuddin Harun,
YAB Menteri Besar Negeri Sembilan,
Pengerusi Pakatan Harapan Negeri Sembilan,
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KeADILan Negeri Sembilan.

Related Posts
crossmenuchevron-up