
Saya mengambil maklum perkembangan melibatkan Saudara Kamil Munim berhubung kenyataan beliau yang telah mendapat perhatian umum.
Sebagai Naib Ketua AMK Malaysia, saya menzahirkan sokongan penuh terhadap Saudara Kamil Munim dalam mempertahankan prinsip ketelusan, akauntabiliti dan hak untuk menuntut penjelasan terhadap sebarang perkara yang menyentuh kepentingan awam.
Angkatan Muda KEADILAN tidak pernah menolak peranan masyarakat umum dalam sebuah negara demokrasi. Malah, masyarakat mempunyai tempat yang penting dalam memperkukuh semak imbang, kebebasan bersuara dalam pembangunan negara.
Namun, kebebasan bersuara juga harus berjalan seiring dengan prinsip kebertanggungjawaban. Apabila wujud persoalan yang menyentuh kepentingan rakyat, ketelusan dana, kedaulatan negara dan kestabilan demokrasi maka adalah wajar untuk perkara tersebut dijawab dan diperjelaskan secara terbuka kepada rakyat
Menuntut penjelasan bukan satu serangan, bertanya bukan satu ugutan dan mengangkat persoalan demi kepentingan awam bukan bermaksud menafikan demokrasi.
Dalam hal ini, saya percaya Saudara Kamil Munim telah mengambil pendirian atas dasar tanggungjawab politik dan kepentingan rakyat bukan atas niat untuk menyerang mana-mana pihak secara tidak adil.
Sekiranya mahkamah menjadi pilihan sebagai ruang untuk menyelesaikan perkara ini maka proses tersebut harus dihormati sepenuhnya.
Angkatan Muda KEADILAN akan terus mempertahankan ruang demokrasi yang
sihat. Ruang yang membenarkan rakyat untuk bersuara dan menuntut penjelasan secara bertanggungjawab.
𝐏𝐑𝐀𝐕𝐈𝐍 𝐌𝐔𝐑𝐀𝐋𝐈
𝐍𝐀𝐈𝐁 𝐊𝐄𝐓𝐔𝐀 𝐀𝐌𝐊 𝐌𝐀𝐋𝐀𝐘𝐒𝐈𝐀