Carian
December 30, 2024

Adam Adli: Kuasa Pengampunan Bukan Modal Politik

Ketua Pemuda UMNO, Akmal Saleh seharusnya lebih berhati-hati dalam membuat kenyataan. Selain rujuk terlebih dahulu fakta mudah yang boleh diakses menerusi carian Google, beliau juga perlu memahami kuasa dan proses pengampunan oleh Yang di-Pertuan Agong seperti diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Fakta asas dan penting yang perlu Akmal ketahui adalah pengampunan Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada 2018 atas dasar pelanggaran prinsip keadilan telah pun melalui proses wajar termasuk pembentangan dan pertimbangan oleh Lembaga Pengampunan selaras Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan. Ini telah dilapor secara meluas oleh media ketika itu. Maka apa yang dipertikaikan oleh Akmal bukan sahaja meluru, malah memesongkan fakta yang diketahui umum.

Andai tidak cukup, Mahkamah Rayuan pada 2021 juga pernah membatalkan sebuah saman yang mempertikaikan pengampunan diraja yang dikurniakan kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Hal ini telah diputuskan secara tuntas melalui keputusan mahkamah, sewaktu Dato’ Seri Anwar dan Harapan berada di blok Pembangkang.

Pengurniaan pengampunan bukan keputusan yang dibuat sewenang-wenangnya mengikut desakan politik, tetapi dilindungi mekanisme yang telah ditetapkan undang-undang dan Perlembagaan. Kami di Harapan ketika itu menuruti proses ini dengan cermat dan hemah atas dasar memperakui keluhuran perlembagaan kita.

MADANI tidak mengamalkan politik dendam atas pertembungan lampau. Ini kerajaan gabungan yang dianggotai pelbagai parti demi kepentingan rakyat dan kestabilan negara. Sehabis baik ianya akan sentiasa dijaga.

Apakah Akmal mahu terus menutup sebelah mata terhadap pendekatan hari ini di bawah kerajaan Madani?

Dato’ Seri Najib Razak didakwa dan disabitkan kesalahan pada zaman Tun Dr. Mahathir; dijatuhkan hukuman penjara pula pada 2022 semasa zaman Dato’ Sri Ismail Sabri; semuanya melalui proses undang-undang yang tidak dipertikaikan, namun yang terus diserang adalah pentadbiran Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Hari ini, Dato’ Seri Najib Razak dan Rosmah Mansor masih diberi peluang sewajarnya melalui proses undang-undang yang adil, tanpa sebarang campur tangan politik.

Biar ada sejarah pertembungan politik yang runcing; keadilan berlandaskan hukum akan tetap ditegakkan hari ini; walaupun ia membawa risiko besar termasuk mencederakan reputasi politik Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Harapan khususnya dalam kalangan pendokong dan simpatisan kami.

Semua pihak termasuk Akmal Saleh harus menjadi contoh kepada kepentingan memegang kepada prinsip perlembagaan. Bukan semuanya mengenai politik individu atau keperluan pihak tertentu. Negara akan hancur tanpa dokongan terhadap perlembagaan kita.

Saya berpandangan, wajar bagi Akmal Saleh untuk menarik semula kenyataan beliau. Jangan kita pertikaikan bidang kuasa pengampunan YDPA sehingga mencalarkan pandangan terhadap keluhuran institusi. Jika tidak berhati-hati, kenyataan tersebut bukan lagi sekadar serangan politik, tetapi juga boleh dianggap sebagai tindakan yang tidak menghormati institusi Raja dan undang-undang tertinggi negara.

Adam Adli

Ketua Angkatan Muda KEADILAN

Related Posts
crossmenuchevron-up