Carian
October 4, 2022

ANGKATAN MUDA KEADILAN FOKUS PERSEDIAAN MENGHADAPI BANJIR

1.Seluruh anggota Majlis Pimpinan Angkatan Muda KEADILAN (MPAMK) Pusat telah menghadiri pemukiman pada 30 September (Jumaat) sehingga 1 Oktober (Sabtu) bagi membincangkan beberapa gerak kerja Angkatan Muda KEADILAN (AMK) secara menyeluruh. 

2.Pemukiman telah membincangkan hal-hal terkait anak muda seperti isu kos pendidikan tinggi yang melambung naik, masalah pengangkutan awam yang menjejaskan anak muda yang baru bekerja, perlindungan sosial (social security) yang tidak dimaksimumkan keupayaannya dan peningkatan kadar pengangguran (employment) dan guna tenaga tidak penuh (underemployment) akibat kegagalan kerajaan fokus menyediakan mekanisme mewujudkan banyak pekerjaan yang bermaruah serta solusi-solusinya berdasarkan beberapa kenyataan media yang dikeluarkan oleh beberapa Ketua Angkatan Muda KEADILAN peringkat Negeri sepanjang minggu lalu. 

3.Selain membincangkan gerak kerja strategik menuju pilihan raya, fokus pemukiman kali ini adalah terhadap persediaan gerak kerja AMK menghadapi banjir khususnya persediaan sebelum banjir. Kami juga menginsafi amaran yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia yang menjangkakan keadaan dan kesan banjir pada tahun ini yang lebih besar. 

4.Sehubungan dengan itu, AMK juga akan menggerakkan Galang Dana Kit Banjir AMK sebagai salah satu usaha raih dana (crowdfunding) untuk menyediakan kit persediaan banjir termasuklah jaket keselamatan, wisel, beg kalis air, lampu suluh, bar tenaga dan beberapa item lain dengan sasaran awal sebanyak 1000 kit sebagai salah satu inisiatif awal menghadapi banjir.

5.AMK juga menempelak keputusan oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang mahukan pilihan raya diadakan pada tahun ini. Keputusan yang diambil ini bermakna setiap rakyat Malaysia akan disusahkan lagi kerana terpaksa bergelut dengan survival nyawa dan harta benda akibat banjir dalam keadaan segala sumber yang ada tidak boleh dimaksimumkan untuk membantu rakyat yang seawal sekarang bersiap siaga menghadapi banjir kerana akan turut digunakan untuk pilihan raya. 

6.Keghairahan UMNO yang mengasak semua pihak supaya pilihan raya diadakan dengan segera tanpa mengambil kira keadaan mendesak rakyat sekarang menunjukkan kehilangan pertimbangan mereka dalam mengutamakan kemaslahatan harta dan nyawa rakyat, malah lebih ironi lagi tatkala banyak pihak termasuk AMK melakukan persediaan menghadapi banjir dalam tempoh waktu ini mereka tanpa segan silu menggasak supaya pilihan raya diadakan segera. 

ADAM ADLI ABD HALIM

Ketua Angkatan Muda KEADILAN Malaysia

Related Posts
crossmenuchevron-up