Angkatan Muda Keadilan (AMK) mengambil maklum terdapat Program Podium yang tidak diberi peruntukan oleh Kerajaan dan telah menyebabkan atlet-atlet digugurkan mulai tahun 2022.
Namun AMK ingin mempersoalkan ketika Program Podium ini tidak diberi peruntukan dalam Bajet 2022 dengan alasan Kerajaan mahu memberi fokus kepada isu Covid19 serta pembangunan ekonomi, tetapi bagaimana boleh muncul bekalan makanan bermasak di Institut Latihan KBS yang bernilai RM43juta dalam Bajet 2022.
Semenjak di bawah pemerintahan kerajaan Perikatan Nasional, isu kebajikan atlet terus menjadi masalah utama, malah beberapa program pembangunan atlet juga tidak diutamakan sehingga atlet yang mempunyai rekod cemerlang digugurkan.
Sebelum ini Menteri KBS, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menegaskan sebanyak RM40 juta lagi diperlukan untuk membolehkan program latihan atlet berprestasi tinggi dapat dilaksanakan seperti yang dirancang sebelum ini. Program Podium yang diperkenalkan lima tahun lalu terpaksa ditamatkan pada tahun ini sekali gus memaksa pihaknya untuk 'mengorbankan' hampir separuh atlet dalam program berkenaan.
Persoalannya, adakah penyediaan makanan lebih penting berbanding dengan peruntukan latihan atlet? Adakah pembangunan bagi mencari pelapis atlet yang boleh mengharumkan nama negara tidak lagi sesuatu yang penting bagi kerajaan hari ini?
Sebagai makluman Program Podium telah dilaksanakan pada tahun 2016 bagi melahirkan atlet berprestasi tinggi, pada tahun 2018 peruntukan untuk Podium Program adalah Rm90 juta dan pada tahun 2019 peruntukan bagi program melonjak sehingga Rm118juta.
Di sebalik kekangan kewangan sehingga elaun para atlet dipotong dan lebih separuh atlet diberhentikan dari menyertai Program Podium, KBS membuka kontrak berjumlah Rm43juta bagi membekalkan makanan walaupun sebelum ini Faizal Azumu menyatakan KBS memerlukan Rm40juta bagi meneruskan Program Podium.
Melalui Bajet 2022 ini ternyata pihak KBS sendiri tidak menggunakan peruntukan yang ada dengan sebaik mungkin bagi industri sukan dan atlet, sebaliknya hanya fokus kepada perkara yang kurang penting.
Chua Wei Kiat
ADUN Rawang
Ketua AMK Selangor
Setiausaha Pengelola AMK Malaysia