Carian
November 5, 2021

Batal Proklamasi Untuk PRN Sarawak Bukti GPS Tidak Peduli Kesihatan Rakyat Dan Takut Undi Anak Muda

Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sarawak berasa kesal dan pelik dengan keputusan kerajaan untuk menamatkan proklamasi darurat Sarawak dengan lebih awal bagi mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12. Berbeza dengan negeri Melaka, Sarawak telah diberi ruang di bawah pengisytiharan darurat dan hanya perlu mengadakan PRN selepas 60 hari darurat yang sepatutnya ditamatkan pada 2 Februari 2022.

Seperti yang dilaporkan dalam media kebelakangan ini, Sarawak masih diancam oleh penularan varian Delta. Melainkan dalam keadaan terdesak, aktiviti yang akan meningkatkan pergerakan dan pengumpulan orang ramai adalah sangat membahayakan. Oleh itu, adalah tidak wajar dan tiada keperluan terdesak untuk PRN diadakan pada masa terdekat ini memandangkan proklamasi darurat Sarawak sepatutnya berakhir pada bulan Februari 2022.

AMK Sarawak juga melihat bahawa alasan sebenar GPS untuk mengadakan PRN pada tahun ini adalah bertujuan bagi mengelak pelaksanaan Undi-18. Tindakan ini jelas menafikan hak golongan yang berada dalam linkungan 18 ke 20 daripada mengundi dalam PRN kali ini. AMK Sarawak berpandangan tiada alasan lain mengapa GPS bertindak sedemikian kecuali takut dan gementar dengan undi anak muda.

AMK Sarawak juga kecewa terhadap Ketua Menteri Sarawak yang lebih mengutamakan percaturan politik daripada kepentingan rakyat dalam membuat keputusan untuk mengadakan pilihan raya negeri dalam masa terdekat ini. Ketua Menteri Sarawak gagal menunjukkan dirinya adalah berlainan daripada rakan sekutu mereka yang mencetuskan pilihan raya di Sabah dan Melaka demi agenda politik diri.

Apa yang berlaku telah terjadi. Menurut Ordinan Darurat dan Perlembagaan Negeri Sarawak, PRN harus diadakan dalam 60 hari dari tarikh pembatalan proklamsi darurat. AMK Sarawak merayu kepada seluruh rakyat negeri Sarawak agar lebih berhati-hati dalam menghadapi PRN kali ini. Sesungguhnya musuh kita yang sebenar bukanlah mana-mana individu atau kelompok politik, tetapi penyakit Covid-19 yang telah mendatangkan malapetaka kepada kita dalam dua tahun ini.

AMK Sarawak juga ingin mengingatkan kepada rakyat Sarawak bahawa tindakan GPS hari ini jelas menunjukan sikap sebenar mereka yang tidak mempedulikan keselamatan rakyat demi mencapai matlamat mereka untuk berkuasa dan menghalang Undi 18 daripada dilaksanakan.
SAIFUNNIZAM SAM
Ketua Angkatan Muda Keadilan Sarawak

CHIEW CHOON MAN
Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan Sarawak

Related Posts
crossmenuchevron-up