1. Perikatan Nasional (PN) melalui Ketua Pemuda PN, Ahmad Fadhli Shaari digesa menarik semula cadangan untuk menggunakan logo dan tema yang berbeza, apatah lagi untuk digunakan di keempat-empat negeri ditadbir oleh pembangkang yang dikhuatiri akan terus memecahbelahkan rakyat Malaysia pada bulan Kemerdekaan ini.
2. Langkah Pemuda PN yang melancarkan logo dan tema yang berlainan daripada yang diumumkan Kerajaan Persekutuan bukan sahaja menunjukkan sikap kurang patriotik PN, malah bertentangan dengan matlamat sambutan Hari Kemerdekaan yang bersandarkan semangat federalisme.
3. Tambahan pula, penggunaan warna tema PN terhadap logo tersebut juga menzahirkan sikap berpuak-puak Perikatan Nasional secara melampau yang mengutamakan kepentingan parti melebihi kepentingan negara.
4. Oleh itu, Perikatan Nasional digesa untuk menghentikan konfrontasi yang berpanjangan antara negeri-negeri yang ditadbirnya dengan Kerajaan Persekutuan dan tidak terus menyimbah minyak ke api yang marak tatkala Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim telah menghulurkan tangan untuk memaut semula tali silaturrahim dengan semua pihak pascapilihan raya negeri.
5. Alangkah rugi sekiranya niat baik Perdana Menteri ini tidak disambut oleh Perikatan Nasional jika mereka memilih untuk terus berkonfrontasi dengan Kerajaan Persekutuan sekali gus menafikan semangat federalisme sehingga menggadai kepentingan rakyat.
ANGKATAN MUDA KEADILAN