Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia mengambil maklum akan isu yang menggemparkan seluruh rakyat Malaysia atas serangan demi serangan kepada pemain-pemain ternama bola sepak Malaysia. Bermula dengan serangan samun di Kuala Terengganu ke atas pemain pasukan Terengganu FC (TFC) , Akhyar pada khamis lalu mengakibatkan beliau cedera di kepala, kaki kiri dan lengan dan mengalami kerugian RM5,000.
Dua Hari kemudian pada 5 Mei, kita digemparkan lagi dengan insiden Bintang Selangor FC, Faisal Halim disimbah asid di sebuah pusat beli-belah. Terbaharu 7 Mei , pemain Johor Darul Takzim (JDT) Safiq Rahim pula di serang berhampiran pusat fatihan Kelab JDT oleh dua individu tidak dikenali pada malam Selasa.
Sukan adalah medium perpaduan yang kuat menyatukan bangsa Malaysia. Dengan sukan, tiada lagi dilihat ideologi, bangsa dan agama. Cukup anda ingin mengharumkan nama negara maka pelusuk anak bangsa akan menyokong anda.
Jangan sampai kejadian ini menyebabkan sukan terutamanya bola sepak dianggap tidak selamat buat anak muda kita. Sukan sepatutnya mengharmonikan bukan menyuramkan kehidupan masyarakat di tanah pertiwi ini.
AMK mewakili suara anak muda di Malaysia mengecam sekeras-kerasnya keganasan terhadap 3 atlet bola sepak Malaysia yang pasti menjejaskan imej sukan di Malaysia. AMK juga berharap masyarakat dapat bertenang dengan tidak mewujudkan sebarang spekulasi-spekulasi yang tidak berfakta dan andaian-andaian kerana insiden ini sedang berada dalam siasatan pihak PDRM.
AMK berharap kejadian seperti ini tidak berlaku dan pesalah dikenakan tindakan yang sewajarnya. Bersama kita berdoa atlet kita kembali pulih dan beraksi kembali di arena nasional dan antarabangsa. Sukan perpaduan kita, majulah sukan untuk Malaysia.
AZIZ SHARI
KETUA BIRO SUKAN
ANGKATAN MUDA KEADILAN MALAYSIA