Mutakhir ini rata-rata pekerja e-panggilan telah bangkit menyuarakan isu yang mereka hadapi. Antara isu yang dibangkitkan ialah jumlah pendapatan yang semakin menurun, isu syarikat e-panggilan yang terus mengawal hampir kesemua aspek perjalanan kerja penunggang p-hailing seperti seorang pekerja tetapi tidak mengiktiraf mereka sebagai pekerja dan tidak dapat dilindungi di bawah Akta Pekerja 1955.
Ramai penunggang e-panggilan sebelum ini telah menyuarakan keluhan mereka. Malangnya, kerajaan yang pekak kedadak dan buta tuli ini gagal untuk memahami masalah akar yang dialami oleh pekerja e-panggilan.
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong telah memaklumkan bahawa penunggang p-hailing selepas ini akan diminta memperoleh lesen GDL. Keputusan kerajaaan untuk mengenakan syarat ini akan menyusahkan lebih ramai pihak terutamanya penunggang p-hailing. Amat tidak wajar untuk kerajaan susahkan lagi pekerja e-panggilan ini dengan pelbagai kerenah birokrasi.
Beberapa penunggang p-hailing telah menghubungi pihak kami dan meluahkan bantahan mereka terhadap cadangan Menteri Pengangkutan kerana ia akan membebankan mereka dari segi kos dan masa. Rata-rata penunggang p-hailing yang mencari rezeki dengan pekerjaan ini, akan terpaksa cari pekerjaan lain kerana tidak mampu untuk mendapatkan lesen GDL.
Piket penunggang p-hailing tempoh hari wajar menjadi amaran kepada kerajaan untuk kemukakan solusi yang pragmatik, berkesan dan menyeluruh. Lain sakit, lain diubat, lain luka, lain dibebat.
Secara dasarnya, Kerajaan dan Kementerian Pengangkutan harus pastikan menggubal polisi yang mampan demi menjaga kebajikan semua pekerja p-hailing. Regulasi dari pihak Kerajaan perlu untuk mengelak pertukaran dan perubahan skim pembayaran oleh syarikat korporat secara sesuka-hati.
Kedua, rundingan diantara rider e-hailing/p-hailing dengan syarikat berkaitan perlu dibuat untuk mengenal pasti isu akar supaya solusi yang efektif dapat dirangka.
Ketiga, kerajaan perlu pastikan keselamatan semua pekerja p-hailing dijaga rapi dengan bukan hanya memperkenalkan insurans tetapi juga dengan iktiraf mereka sebagai pekerja di bawah Akta Pekerja 1955. Kerajaan haruslah mengaji kes terkini di Mahkamah Agong UK Uber BV lwn. Aslam & ors yang memutuskan bahawa pekerja p-hailing adalah diiktiraf sebagai pekerja.
Keempat, kerajaan sepatutnya membuat regulasi dan adjudikasi kesemua isu yang dihadapi oleh penunggang hailing secara pantas, efisyen dan rendah kos dengan menubuhkan satu badan bebas untuk menyelesaikan sebarang pertikaian.
Yang terakhir, Kerajaan juga sepatutnya memikirkan perancangan jangka masa panjang kelangsungan penunggang p-hailing. Tidak selamanya p-hailing perlu menjadi pilihan kerjaya utama. Mereka sepatutnya diberi latihan atau peluang menguasai kemahiran tertentu untuk mereka terokai bidang-bidang lain.
Lambakan penunggang p-hailing juga terjadi akibat kelesuan pihak kerajaan yang gagal mewujudkan peluang pekerjaan yang sesuai.
Secara tuntasnya, kerajaan perlu buka mata, buka hati dan buka minda untuk menyelesaikan masalah yang berlaku. Dengar keluhan rakyat dan orang ramai. Sudahlah jadi angkuh dan sombong.
Bryan Ng Yih Miin
Pengarah Strategi AMK PKR
Pengerusi Ehailing Taskforce PKR