Carian
January 26, 2022

Pembentangan Rundingan MTD Tidak Menjustifikasikan PRN Johor

1. Angkatan Muda KEADILAN Johor, merujuk kepada kenyataan media Pemuda UMNO Johor yang dikeluarkan pada 23.1.2022.

2. Melalui kenyataan media tersebut, Pemuda UMNO Johor telah mengulangi alasan yang diberi oleh Menteri Besar Johor bahawa Pilihanraya Negeri (PRN) Johor adalah perlu kerana Kerajaan Johor kononnya berada dalam “keadaan yang amat tidak stabil” dan “bergerak atas ihsan pembangkang”.

3. Rujukan telah dibuat secara khusus kepada “Rundingan Berkenaan Cadangan Membenarkan ADUN-ADUN Blok Pembangkang Untuk Mengambil Bahagian di Dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah, JTPD” yang dikemukakan oleh ADUN Jementah pada 28 November 2021 (“Rundingan MTD tersebut”) yang tidak dipersetujukan dengan 28 undi berbanding dengan 27 undi yang menyokongnya.

4. AMK Johor kesal bahawa alasan yang dikemukakan oleh MB Johor dan diulangi oleh Pemuda UMNO Johor tersebut adalah suatu fikiran terkemudian dan langsung tidak berasas sama sekali.

5. Rundingan MTD tersebut hanyalah suatu rundingan private yang dibawa oleh ADUN Jementah, seorang ADUN blok Pembangkang.

6. Berdasarkan adat kebiasaan sistem Westminster, jika pun rundingan sedemikian dipersetujukan, ianya adalah suatu perkara yang biasa dan tidak akan mengakibatkan pertumbangan sesebuah kerajaan.

7. Sebaliknya, jika UMNO Johor berpendapat bahawa Kerajaan Negeri yang dipimpin oleh YB Benut adalah kurang stabil setelah pemergian bekas ADUN Kempas, Datuk Osman Sapian, UMNO Johor seharusnya menggesa agar Kerajaan Negeri berunding dengan blok Pembangkang dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, bagi mencapai persefahaman politik yang matang, sama ada dalam bentuk suatu perjanjian keyakinan dan pembekalan (confidence and supply agreement, atau CSA) atau sebaliknya dengan secepat mungkin.

8. Rundingan untuk suatu persefahaman di antara Kerajaan Negeri dan blok Pembangkang dalam negeri Johor bagi menstabilkan kedudukan Kerajaan Negeri bukanlah suatu perkara yang baru.

9. Pada hujung tahun 2020, hasil daripada persefahaman yang dicapai di antara Kerajaan Negeri dan blok Pembangkang, persidangan DUN Johor telah dengan sebulat suara meluluskan Belanjawan Johor 2021. Sekiranya Menteri Besar Johor pada ketika itu boleh mengganggap ADUN-ADUN daripada blok Pembangkang sebagai ‘rakan strategik’, AMK Johor berpendapat bahawa tidak wujud apa-apa halangan di antara Kerajaan Negeri dan blok Pembangkang untuk merunding semula suatu persefahaman atas terma-terma yang baru, demi memastikan PRN Johor tidak diadakan sebelum PRU15.

10. Akan tetapi, demi menyebabkan tekanan yang tidak wajar kepada Perdana Menteri untuk membubarkan Dewan Rakyat sebelum 31 Julai 2022 bercanggahan dengan terma Memorandum of Understanding (MOU) yang telah pun dipersetujui di antara Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan, UMNO Johor telah mengambil langkah untuk menyebabkan pembubaran DUN Johor dan dengan itu mencetuskan pelaksanaan PRN Johor.

11. UMNO Johor telah berbuat demikian dengan kesedaran dan pengetahuan yang penuh bahawa pelaksanaan PRN Johor yang tidak serentak dengan pilihan raya bagi kerusi- kerusi Dewan Rakyat akan menyebabkan pembaziran wang rakyat yang tidak perlu dalam anggaran RM150 juta, yang seharusnya boleh digunakan untuk menyelesai masalah rakyat yang masih terkesan dengan pandemik COVID-19 dan banjir yang berlaku baru-baru ini.

12. Justeru, AMK Johor menzahirkan rasa kecewa terhadap kenyataan Pemuda UMNO Johor yang telah merampas nama “demokrasi” bagi menyembunyikan ketamakan UMNO Johor terhadap kuasa.

13. Sehubungan itu, AMK Johor menyeru agar pengundi-pengundi Johor membuat keputusan yang bijak bagi memastikan Johor tidak ditadbir oleh parti-parti politik atau sesetengah pemimpin-pemimpin politik yang terbukti sanggup menyusahkan rakyat demi kepentingan peribadi mereka sendiri.

ANGKATAN MUDA KEADILAN JOHOR

Related Posts
crossmenuchevron-up