Carian
February 8, 2022

Penularan Covid Di Kampus IPT: Biro Mahahsiswa AMK Gesa Keselamatan Dan Kesihatan Mahasiswa Diutamakan

Biro Mahasiswa AMK Malaysia mengambil maklum akan isu penularan virus Covid-19 yang semakin merisaukan dalam kalangan warga kampus bagi beberapa kampus Institut

Pengajian Tinggi (IPT) di Malaysia khasnya di Universiti Malaya. Isu ini juga telah dan sedang diperjuangkan dan disuarakan oleh pimpinan Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) kepada pihak pentadbiran Universiti serta pihak kerajaan khasnya Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Oleh sebab ini adalah isu keselamatan dan kesihatan mahasiswa, Biro Mahasiswa AMK menggesa supaya pihak pentadbiran Universiti-universiti yang turut berhadapan dengan isu ini dan pihak KPT khasnya untuk bertindak proaktif dalam berhadapan dengan isu ini.

Tambahan pula, mahasiswa-mahasiswi kini kebanyakannya berada dalam fasa peperiksaan akhir untuk sesi akademik semasa. Oleh yang demikian, pihak pentadbiran universiti dan KPT digesa untuk menanggung sepenuhnya pembiayaan bagi ujian calitan RTK Covid-19 diambil oleh mahasiswa terutama melibatkan mahasiswa yang perlu mengambil peperiksaan secara berpusat di dewan peperiksaan atau secara bersemuka.

Peruntukan harus disediakan dengan segera bagi menggerakkan inisiatif ini untuk menjamin keselamatan dan kesihatan mahasiswa dari penularan wabak ini di kampus masing-masing.

Biro Mahasiswa AMK, dalam kes ini, turut menerima laporan dan aduan tentang hal yang sama ini dari mahasiswa daripada pelbagai IPT yang lain apabila mereka turut berhadapan dengan kerisauan dan masalah yang sama. Biro Mahasiswa AMK menggesa agar pihak pentadbiran IPT dan juga KPT mengambil cakna serta bertindak secara proaktif dengan segera bagi memastikan mahasiswa yang mengambil peperiksaan berada dalam situasi yang selamat kesihatan dan kebajikan mereka. Isu ini tidak boleh dipandang remeh kerana boleh melibatkan nyawa tanpa sebarang tindakan proaktif yang diambil.

Tambahan lagi, segala bentuk ikhtiar dan kebijakan yang dapat menjamin keselamatan mahasiswa perlu digerakkan segera termasuk mempertimbangkan cadangan yang disuarakan oleh pimpinan KMUM untuk sebarang ujian atau peperiksaan akhir diteruskan secara atas talian termasuk menyediakan kit ujian calitan RTK Covid-19 secara percumakepada mahasiswa-mahasiswi.

Biro Mahasiswa AMK Malaysia turut menghargai tindakan pantas yang diambil oleh beberapa pihak berkaitan terutama daripada YB Fahmi Fadzil, Ahli Parlimen Lembah Pantai yang telah menyumbangkan sebanyak 1000 unit kit ujian calitan RTK Covid-19 kepada pihak KMUM untuk diberikan kepada mahasiswa-mahasiswi Universiti Malaya secara percuma.

Biro Mahasiswa AMK juga berharap dan menggesa agar pihak pihak berkaitan terutama pihak pentadbiran IPT yang lain serta KPT juga turut bertindak dengan proaktif dalam berhadapan dengan isu ini.

Biro Mahasiswa AMK juga, dalam masa terdekat, akan berusaha mengedarkan kit ujian calitan RTK Covid-19 secara percuma kepada mahasiswa-mahasiswi di beberapa kampus IPT Malaysia khasnya kepada mahasiswa-mahasiswi yang akan atau sedang menjalani peperiksaan secara fizikal di kampus-kampus berkaitan.

BIRO MAHASISWA ANGKATAN MUDA KEADILAN (AMK) MALAYSIA

Related Posts
crossmenuchevron-up