February 14, 2025

Penyelarasan Harga Lantai Padi: Langkah Tepat Bela Pesawah

Saya menyambut baik dan mengucapkan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri atas pengumuman penyelarasan harga lantai belian padi daripada RM1,300 kepada RM1,500 per metrik tan yang akan berkuat kuasa pada 16 Februari 2025. Keputusan ini adalah bukti komitmen Kerajaan MADANI dalam membela nasib pesawah, khususnya di Kedah yang merupakan antara penyumbang utama pengeluaran padi negara.

Penyelarasan ini, yang merupakan kali kedua dalam tempoh dua tahun selepas kenaikan daripada RM1,200 ke RM1,300 pada 2023, jelas menunjukkan kesungguhan kerajaan untuk meningkatkan pendapatan pesawah selepas hampir sedekad harga lantai belian padi tidak berubah. Dengan kenaikan ini, pesawah bukan sahaja memperoleh pendapatan yang lebih baik, malah ia memberikan jaminan ekonomi yang lebih stabil kepada golongan yang bergantung kepada industri padi sebagai sumber utama kehidupan.

Lebih penting, Kerajaan MADANI juga memastikan langkah ini tidak membebankan rakyat dengan memperuntukkan subsidi sekitar RM150 juta kepada pengilang padi bagi mengekalkan harga jualan maksima beras putih tempatan pada kadar RM2.60 sekilogram. Ini adalah pendekatan menyeluruh yang memastikan kesejahteraan pesawah dan rakyat terus terpelihara.

Saya turut menghargai peranan BERNAS, khususnya Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary, yang telah menunjukkan komitmen dalam membantu golongan pesawah dengan menyalurkan tambahan RM30 juta kepada pesawah miskin. Inisiatif ini melengkapi usaha Kerajaan dalam memastikan bantuan terus sampai kepada mereka yang memerlukan.

Sebagai Ahli Parlimen bagi kawasan yang sebahagian besarnya terdiri daripada pesawah, saya amat menyokong langkah ini dan akan terus memperjuangkan kepentingan komuniti pesawah agar kebajikan mereka sentiasa terjamin. Saya juga berharap agar lebih banyak langkah progresif seperti ini dapat diperkenalkan demi meningkatkan kesejahteraan sektor pertanian negara.

Dr. Mohammed Taufiq Bin Johari
Ahli Parlimen Sungai Petani

Related Posts
crossmenuchevron-up