1.Berdasarkan hasil kajian pada tahun 2012, seramai 5.7 juta orang (21%) di Malaysia terdedah kepada risiko banjir, dengan anggaran Purata Kerosakan Tahunan (AAD) sebanyak RM36 bilion setiap tahun.
2.Pada Disember tahun lalu sahaja, pantai timur Semenanjung Malaysia dilanda taburan hujan tertinggi sehingga menyebabkan 125,490 penduduk kehilangan tempat tinggal dan harta serta meragut 54 nyawa dari beberapa buah negeri.
3.Baru-baru ini juga, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) menganggarkan bahawa kos untuk mengatasi banjir di Malaysia adalah sehingga RM392 bilion dan akan mengambil masa sehingga 78 tahun.
4.Hakikatnya penebangan hutan berskala besar yang berterusan selama ini sama ada secara sah atau tidak juga telah meningkatkan risiko banjir terutamanya di negeri-negeri seperti Pahang, Kedah, Kelantan dan Terengganu.
5.Lebih malang lagi, prasarana dan infrastruktur yang ketinggalan zaman dengan penyelenggaraan yang lemah juga dikenal pasti menjadi antara faktor utama banjir di kawasan bandar. Hal ini juga ditambah lagi dengan perancangan pembangunan baru yang tidak mematuhi standard minimum telah memburukkan lagi keseluruhan sistem pengairan.
6.Usaha mitigasi impak banjir oleh kerajaan sekarang hanya banyak tertumpu pada langkah reaktif seperti pemberian pampasan tunai. Walau bagaimanapun, AMK Negeri Pahang berpandangan bahawa kerajaan juga harus memperkenalkan langkah proaktif dan langkah pencegahan bagi menghadapi kesan perubahan iklim.
7.Oleh yang demikian, kerajaan perlulah mempercepat pelaksanaan Pelan Adaptasi Perubahan Iklim. Kita harus mengadaptasi sistem yang komprehensif untuk menilai dan menentu ukur kapasiti negara dalam menangani kesan perubahan iklim secara maksimum, terutamanya banjir.
8.Menurut Global Forest Watch, penebangan pokok memberikan kesan yang besar terhadap penggondolan hutan di Malaysia dengan kehilangan sebanyak 8.39 juta hektar litupan pokok dari tahun 2001 sehingga tahun 2020 yang bersamaan dengan 29% daripada jumlah litupan pokok. Oleh itu, AMK Pahang menggesa kerajaan melaksanakan penguatkuasaan yang ketat supaya aktiviti penebangan hutan secara haram dapat dipertanggungjawabkan. Selain itu, peraturan pembangunan yang ketat juga mestilah dikuatkuasakan bagi mengelakkan pembangunan baharu yang terus menyumbang kepada peningkatan risiko banjir di kawasan sekitar.
9.AMK Pahang ingin menegaskan bahawa peri pentingnya semua pihak khususnya kerajaan mengambil langkah yang drastik dan berkesan dalam mengekang dampak perubahan iklim yang sekiranya tidak ditangani dengan cermat dan tepat akan menyebabkan konflik berpanjangan dengan alam (mother nature) termasuk banjir yang meragut nyawa dan harta rakyat.
Sekian.
CHAN CHUN KUANG
Ketua Angkatan Muda KEADILAN Negeri Pahang