Tindakan sekumpulan anak muda di Parit Raja, Batu Pahat yang menunjukkan rasa protes dan mengangkat kain rentang bertulis “kerajaan gagal” perlu dilihat dalam kerangka yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan melalui Perkara 10 (1) berhubung kebebasan bercakap dan berhimpun.
Ini merupakan isyarat jelas kekecewaan dan kemarahan rakyat terutama anak muda terhadap kerajaan yang jelas gagal menangani pelbagai isu seperti kos sara hidup, pengangguran, perniagaan yang terjejas teruk, peningkatan jangkitan wabak COVID19, undang-undang dan peraturan dua darjat, pendidikan yang cacamarba dan banyak lagi yang boleh disenaraikan.
Luahan kekecewaan, kemarahan serta rasa tidak puas hati rakyat juga boleh dilihat di media sosial dan siri demonstrasi yang telah diadakan di hadapan parlimen dan beberapa lokasi lain termasuklah di Johor Bahru pada Mac lalu.
Maka amat tidak wajar rakyat yang menggunakan hak mereka sepertimana terkandung dalam perlembagaan terus ditekan, diugut mahupun didakwa dengan pelbagai pertuduhan sedangkan suara mereka yang sepatutnya disalurkan melalui Ahli Parlimen dan Adun gagal diterjemahkan melalui saluran yang sepatutnya lantaran penggantungan sidang Parlimen dan Dun.
Sehubungan itu, dalam situasi rakyat yang begitu tertekan mutakhir ini, kerajaan wajar mengambil pendekatan lebih lunak dengan mendengar luahan dan aduan yang ingin mereka sampaikan. Kerajaan usah terlalu cepat mengambil tindakan kepada rakyat tatkala amalan dua darjat masih berlaku dan gagal ditangani.
Perikatan Nasional yang dipertikaikan keabsahan ini diingatkan agar tidak begitu angkuh ketika berdepan dengan rakyat terutama anak muda. Janganlah kerana ingin menutup kegagalan dalam pemerintahan, ruang untuk rakyat bersuara ditutup dan disekat.
Hashtag Kerajaan Gagal yang dimulakan di media sosial telah mendapat sambutan hangat rakyat Malaysia. Sehubungan itu, AMK Johor menyeru agar kempen #KerajaanGagal ini terus diperhebat sesuai dengan kegagalan berterusan kerajaan PN pada hari ini.
OMAR MOKHTAR A MANAP
Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan Negeri Johor
MUHAMMAD FAEZUDDIN MOHD PUAD
Exco Angkatan Muda Keadilan Negeri Johor