October 2, 2025

Solidariti dan Seruan Diplomatik Pembebasan 10 Rakyat Malaysia di Flotilla Gaza

Biro NGO & Sukarelawan Angkatan Muda Keadilan menzahirkan solidariti penuh kepada sepuluh (10) rakyat Malaysia yang telah ditahan pada 2 Oktober 2025 di zon merah pesisir Gaza ketika menyertai misi Global Sumud Flotilla. Misi ini digerakkan dengan tujuan tunggal, iaitu menyampaikan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Gaza yang terus hidup dalam kesengsaraan akibat sekatan berpanjangan.

Kami amat bimbang terhadap keselamatan mereka. Para sukarelawan ini bukan penjenayah, sebaliknya insan berhati mulia yang memilih untuk berdiri di barisan hadapan misi kemanusiaan. Penahanan mereka merupakan pencabulan terhadap undang-undang antarabangsa dan satu tamparan kepada nilai kemanusiaan sejagat. Keprihatinan kami bukan sahaja kepada mereka yang ditahan, tetapi juga kepada keluarga di tanah air yang kini menanggung keresahan menanti khabar tentang insan tersayang.

Kami percaya Kerajaan Malaysia, melalui Wisma Putra, akan terus memainkan peranan aktif dan menggunakan segala saluran diplomatik termasuk di peringkat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan juga kerangka ASEAN. Malaysia harus menggerakkan sokongan serantau agar suara Asia Tenggara bergema lebih lantang menuntut pembebasan segera para tahanan serta memastikan akses bantuan kemanusiaan ke Gaza tidak lagi disekat. Solidariti ASEAN penting untuk menunjukkan bahawa rantau ini juga menolak sebarang pencabulan terhadap undang-undang antarabangsa dan prinsip kemanusiaan.

Pada masa yang sama, kami menyeru komuniti antarabangsa untuk bersama-sama menyatakan pendirian tegas. Penahanan para aktivis flotilla ini adalah satu pengkhianatan kepada prinsip asas kemanusiaan. Tindakan menyekat bantuan kepada mereka yang lapar dan terperangkap adalah sesuatu yang tidak boleh diterima oleh hati nurani mana-mana bangsa yang cintakan keadilan. Kami menuntut agar semua tahanan dilayan dengan berperikemanusiaan, selaras dengan Konvensyen Geneva, dan dibebaskan segera tanpa syarat.

Kami juga mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk menyatakan solidariti. Sama ada melalui doa, solat hajat, kempen kesedaran atau himpunan aman, suara kita mesti bergema. Setiap doa dan sokongan moral adalah tanda bahawa kita tidak pernah meninggalkan mereka sendirian. Misi kemanusiaan bukan satu jenayah, malah ia adalah bukti kasih sayang sesama manusia yang seharusnya diraikan, bukan ditindas.

AMK akan terus memantau rapat perkembangan isu ini. Kami berdiri teguh bersama sukarelawan flotilla yang berani ini serta rakyat Palestin yang mereka perjuangkan. Selagi keadilan belum ditegakkan dan kebebasan belum diperoleh, solidariti ini akan terus hidup.

Mohd Shafiq Iqram Abdullah

Biro NGO & Sukarelawan

Angkatan Muda Keadilan (AMK)

Related Posts
crossmenuchevron-up