August 8, 2025

Resolusi Mesyuarat Angkatan Muda Harapan

Angkatan Muda Harapan (AMH) telah bermesyuarat pada 7 Ogos 2025 dan membincangkan beberapa isu semasa. Sebagai suara rasmi anak muda dalam Pakatan Harapan, AMH tampil dengan pendirian bersama terhadap beberapa isu penting negara dan politik semasa.

1. Angkatan Muda HARAPAN (AMH) menyatakan sokongan penuh terhadap Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) yang telah dibentangkan oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim. RMK-13 adalah satu pelan hala tuju nasional yang menekankan pembangunan ekonomi berasaskan nilai, reformasi institusi, dan pengagihan saksama kepada semua rakyat Malaysia. AMH menyeru semua Ahli Parlimen untuk membahaskan RMK-13 secara matang, profesional dan berasaskan fakta, serta mengemukakan kritikan dan cadangan membina. Tindakan membandingkan ketebalan pelan semata-mata tanpa meneliti isi kandungannya hanyalah satu bentuk politik murahan yang tidak membantu negara.

2. AMH mencabar pembangkang untuk SEGERA mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri di Dewan Rakyat dan berhenti daripada memberikan pelbagai alasan dan terus bersandiwara. Sekiranya tidak berani membawa atau gagal dalam menjayakan usul tersebut, maka pembangkang harus akur dan memainkan peranan semak dan imbang secara konstruktif dan bertanggungjawab.

3. AMH akan turun ke seluruh pelosok negara untuk menjelaskan agenda reformasi Kerajaan MADANI kepada rakyat melalui siri jelajah, wacana dan dialog. Suara rakyat perlu didengar secara langsung, dan kerajaan perlu sentiasa dekat dengan denyut nadi masyarakat.

4. AMH mengecam sekeras-kerasnya kenyataan Dr Akmal Saleh yang menghina golongan OKU dalam reaksinya terhadap pengkritik. Kenyataan beliau sedang menghantar mesej bahawa semua yang tidak bersetuju pandangan dengannya adalah wajar diberikan kad OKU. Tindakan menggunakan golongan OKU sebagai bahan jenaka politik adalah satu bentuk diskriminasi yang sangat keji dan tidak bertanggungjawab. Dr Akmal Saleh harus memohon maaf secara terbuka kepada seluruh warga OKU di Malaysia atas kenyataannya yang tidak sensitif dan memalukan.

5. AMH beriltizam untuk menggerakkan Jawatankuasa Pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang dipimpin oleh Ketua AMH, YB Woo Kah Leong untuk merangka acuan strategik ke arah pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) yang selama ini telah menzalimi gerakan mahasiswa dan mengekang kebebasan mahasiswa.

6. AMH menyatakan solidariti penuh kepada Naib Ketua Pemuda Angkatan Muda Keadilan, Sdr Nabil Halimi yang disaman sebanyak RM1 juta oleh Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari. AMH menegaskan bahawa tindakan Nabil Halimi hanyalah satu bentuk ekspresi berdasarkan hak asasi dan kebebasan bersuara yang dijamin oleh Perlembagaan Malaysia.

7. AMH juga komited dalam usaha memperkasakan anak muda, namun berharap mekanisme pelaksanaan had umur 30 tahun untuk belia dapat ditambahbaik selaras dengan keperluan persatuan belia. AMH mengambil berat tentang kesinambungan kepimpinan belia. AMH berharap dasar ini mengambil kira realiti sosio-ekonomi, proses peralihan kapasiti kepimpinan, dan penglibatan inklusif semua pihak berkepentingan, terutamanya belia, demi memastikan kelangsungan dan keberkesanan gerakan belia.

AMH akan terus kekal sebagai benteng anak muda dalam memperjuangkan prinsip reformasi, keadilan sosial dan ruang demokratik. Kami menyeru semua pemimpin muda dari pelbagai parti agar bersatu dalam menjunjung maruah rakyat, dan tidak tunduk kepada politik murahan yang memecah-belahkan bangsa.

Kenyataan bersama oleh,

Ammar Atan

Ketua Penerangan Angkatan Muda Harapan

Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional

Ho Chi Yang

Setiausaha Publisiti DAPSY Kebangsaan

Fardy Bungga

Ketua Penerangan Pemuda UPKO

Danish Hairudin

Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan

Siti Nur Aisyah Mohamad Zain

Ketua Biro Komunikasi WARDA

Related Posts
crossmenuchevron-up