Carian
April 28, 2021

Anwar Bimbang Gelombang Baru Covid-19 Di Malaysia

Saya ingin menyatakan rasa simpati kepada warga di beberapa negara yang sedang berdepan dengan gelombang jangkitan wabak yang menakutkan.

Pada hari Ahad yang lalu hampir 350,000 kes jangkitan dalam satu hari dilaporkan di India dengan 2,600 kematian. Turki juga telah menyaksikan peningkatan 8 kali ganda sejak awal tahun ini. Saya juga mengikuti beberapa laporan tentang keadaan hospital yang sesak dan hampir tidak mampu menampung jumlah pesakit, serta ada beberapa hospital lain turut berdepan dengan masalah kekurangan bekalan perubatan terutamanya di negara-negara membangun.

Gelombang jangkitan di peringkat dunia ternyata memprihatinkan, dan saya bimbang akan kehadiran gelombang baru jangkitan COVID-19 di Malaysia.

Kegagalan kerajaan PN dalam mengawal situasi ini serta kegagalan darurat dalam mengekang kadar jangkitan juga telah menyebabkan ramai kecewa dengan pendekatan yang diambil kerajaan, termasuk penguatkuasaan terpilih dalam hal SOP. Dengan kadar vaksinasi yang lembab saat ini, kadar penularan yang tidak terkawal tidak mustahil akan berlaku di Malaysia jika kita tidak berhati-hati.

Kita mesti tingkatkan disiplin untuk memastikan wabak ini menjadi tidak terkawal. Sempadan yang terbuka dan yang melanggar penjarakan sosial menjadi sebab gelombang terbaru ini.

Peningkatan kadar jangkitan COVID-19 hari ini akan dijadikan alasan untuk melanjutkan darurat, mengenakan SOP baru pergerakan dan untuk terus menutup Parlimen.
Kegagalan mengemudi negara di kala pandemik termasuk pembaziran, perbelanjaan tanpa semak imbang akan berterusan yang akan memanfaatkan kroni sambil mengorbankan kepentingan rakyat.

Saya mengalu-alukan keputusan untuk meningkatkan tempoh kuarantin kepada mereka yang dari luar negara meski terlambat dalam usaha mengekang varian COVID-19 yang baru. Saya mencadangkan pendekatan tambahan seperti berikut:

1. Tingkatkan Pengesanan Kontak – Pengesanan kontak yang berkesan dan efisien sangat penting dalam usaha mengekang penularan wabak ini. Saya bimbang dengan laporan bahawa KKM mengambil masa beberapa hari untuk memberitahu mereka yang positif COVID-19. KKM mesti kongsikan data dengan lebih terbuka termasuk purata hari yang diambil untuk memberitahu mereka yang terjangkit dan sumber tambahan mesti diperuntukkan untuk pemberitahuan yang pantas kepada pesakit-pesakit positif yang baru.

2. Bekerja Dari Rumah – Saya sokong agar dilaksanakan pendekatan bekerja dari rumah. Para majikan mesti diberi kuasa budi bicara, tetapi memandangkan kes sedang meningkat saya sokong sekiranya pekerja diberi ruang untuk melindungi diri masing-masing serta keluarga mereka.

3. Pematuhan SOP – Penguatkuasaan SOP yang tidak konsisten telah menimbulkan ketidakyakinan pada pendekatan yang diambil kerajaan. Saya menggesa rakyat Malaysia untuk terus patuhi SOP dan elakkan majlis serta perjumpaan di bulan ini dan pada Hari Raya kelak. Kita tidak boleh leka dalam hal ini.

4. Tingkatkan Penguatkuasaan Tentang Penganjuran Majlis dan Perjalanan – Memandangkan kerajaan gagal mengawal pandemik dan program vaksinasi yang lembab, saya sokong untuk ditingkat penguatkuasaan tentang aktiviti rentas negeri di kala Ramadan dan semasa sambutan Hari Raya kelak.

Kita mesti main peranan yang sebaiknya meski telah hilang keyakinan pada kemampuan kerajaan untuk mengawal wabak ini. Saya gesa semua untuk tingkatkan kewaspadaan dan disiplin di kala wabak hari ini.

Related Posts
crossmenuchevron-up