Saya menggesa Ketua Polis Negara untuk segera menghentikan segala bentuk tekanan dan gangguan terhadap saudara Rafizi Ramli.
Tindakan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang turut merampas telefon bimbit milik beliau untuk tujuan siasatan terkait projek kapal tempur pesisir (LCS) juga agak keterlaluan.
Langkah ini ternyata suatu intimidasi terhadap beliau dalam menentang gejala rasuah di negara ini seperti yang pernah berlaku kepada anak-anak muda dan mahasiswa dalam Himpunan Turun.
Pihak polis juga harus berlaku adil dalam hal ini termasuk menyiasat Datuk Dr Abd Latiff Ahmad kerana laporan polis terhadap beliau turut dibuat tempoh hari.
Harus diingat amalan dua darjat seperti ini tidak harus diamalkan sebaliknya perlu benar-benar telus menjalankan siasatan tanpa sebarang tekanan dikenakan.
ANWAR IBRAHIM