Carian
May 11, 2021

Anwar Kecam Israel Menyerang Masjid Al-Aqsa dan Sheikh Jarrah

Regim pendudukan Zionis Israel sekali lagi menonjolkan politik samseng dan kezaliman yang berterusan di Masjid Al Aqsa dan di Sheikh Jarrah ke atas warga Palestin.

Perkembangan terkini dari wilayah itu cukup mengesankan jiwa-jiwa yang teguh menegakkan keadilan dan hak asasi manusia. Apa yang kita saksikan di Sheikh Jarrah tidak hanya soal diskriminasi dan dasar apartheid pemerintah di Tel Aviv yang konsisten, tetapi juga adalah penghakisan hak-hak asasi warga Palestin dengan pembantaian etnik sebagai matlamat.

Senario terbaru ini juga terus mempamerkan sikap majoriti negara Islam yang lesu dan bisu dalam menyatakan yang hak dan batil.

Warisan imperialisme Barat ini terus-terusan membawa derita dan malapetaka kepada warga Palestin, samada mereka itu penganut Islam, Kristian mahupun agama kaum Yahudi. Ini mengingatkan saya kepada apa yang pernah diungkapkan pemikir dan intelektual Palestin yakni Edward Said yang menyebut bahawa Israel "kamu tidak boleh memangsakan warga lain hanya kerana kamu pernah menjadi mangsa – ia mesti ada had".

Saya menggesa warga yang cintakan keadilan dan kesaksamaan untuk kembali menyikapi konflik ini dengan adil dan bertanggungjawab. Isu ini tidak hanya isu orang Islam, malah krisis kemanusiaan yang menjangkau persoalan ras ataupun agama.

Selain mengutuk keras sikap biadab Zionis Israel yang melanggar batas-batas kemanusiaan, kerajaan Malaysia dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mesti mengggunakan apa sahaja kuasa dan ruang yang ada dalam menyatakan bantahan.

ANWAR IBRAHIM

Related Posts
crossmenuchevron-up